Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Jabatan Majlis Ugama Islam

JABATAN MAJLIS UGAMA ISLAM


MISI

Mendukung kewibawaan Majlis Ugama Islam sebagai penggubal dan penentu dasar pentadbiran Ugama Islam yang berkesan dan cemerlang di Negara Brunei Darussalam.


MATLAMAT

i. Membantu Majlis Ugama Islam menggubal dasar untuk diterapkan dan dilaksanakan di Negara ini.
ii. Memastikan setiap dasar dan keputusan Majlis Ugama Islam dilaksanakan.
iii. Mentadbir dan melaksanakan kehendak Akta Majlis Ugama Islam dan Mahkamah-Mahkamah Kadi
penggal 77 dan Akta-Akta atau Perintah-Perintah yang berkaitan dengan Majlis Ugama Islam.
iv. Mengkaji dan meneliti isu-isu keugamaan dan semasa bagi penetapan dasar yang akan dibuat oleh
Majlis Ugama Islam.
v. Mentadbir dan mengawal harta-harta Majlis Ugama Islam.


SEJARAH PENUBUHAN

Sebelum penubuhan Majlis Ugama Islam, terdapat sebuah badan yang dinamakan Majlis Penasihat Syariah yang ditubuhkan dalam tahun 1948 yang dipengerusikan sendiri oleh Sultan dan ahli-ahlinya adalah terdiri daripada beberapa orang pembesar negara dan ahli-ahli ugama. Badan ini berjalan sehingga penubuhan Majlis Ugama Islam.


Majlis Ugama Islam ditubuhkan pada tahun 1956 pada zaman pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Maulana Al-Sultan Sir Muda Omar Ali Saifuddin Sa’adul Khairil Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang ke 28 iaitu ayahanda kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzadin Waddaulah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.


Penubuhan Majlis Ugama Islam adalah menurut Undang-Undang No. 20/1955 Undang-Undang Majlis Ugama Dan Mahkamah-Mahkamah Kadi 1955 yang berkuatkuasa pada 1hb. Februari 1956. Undang-Undang ini adalah digubal berdasarkan Undang-Undang Majlis Ugama dan Mahkamah-Mahkamah Kadi Negeri Kelantan.


Dengan tergubalnya undang-undang itu juga, maka jawatan mufti diwujudkan, kedudukan kadi-kadi dan mahkamah-mahkamah kadi ditinggikan dan dikemaskan pada ketika itu. Undang-Undang tersebut telah dipinda pada tahun 1984 dan kini dikenali dengan gelaran Akta Majlis Ugama Islam dan Mahkamah-Mahkamah Kadi Penggal 77 Undang-Undang Negara Brunei Darussalam pindaan 1984.


Pada masa ini sebahagian daripada Akta Majlis Ugama Islam dan Mahkamah-Mahkamah Kadi Penggal 77 yang berkaitan dengan Jawatankuasa Kehakiman dan Mahkamah-Mahkamah Kadi dan yang berkaitan dengan Pernikahan, Perceraian dan Nafkah telahpun dimansuhkan mulai 1hb. Muharram 1422 bersamaan 26hb. Mac 2001 setelah berkuatkuasa Akta Mahkamah-Mahkamah Syariah Penggal 184 dan Perintah Darurat Undang-Undang Keluarga Islam.


Dengan berkuatkuasanya Akta Mahkamah-Mahkamah Syariah Penggal 184 itu maka seorang Ketua Hakim Syar’ie dan Hakim-Hakim Mahkamah Syariah telah dilantik yang terdiri daripada Penal Tetap Hakim Mahkamah Rayuan Syariah, Hakim-Hakim Mahkamah Tinggi Syariah dan Hakim-Hakim Mahkamah Rendah Syariah. Manakala Mahkamah-Mahkamah Syariah telah diwujudkan dan terdiri daripada 3 peringkat mahkamah iaitu Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rayuan Syariah.


STRUKTUR ORGANISASI


ALAMAT DAN LOKASI


Tingkat 3, Bangunan Tambahan Kementerian Hal Ehwal Ugama, Jalan Dewan Majlis, Bandar Seri Begawan, BB3910, Negara Brunei Darussalam.

PAUTAN BERKAITAN