JABATAN PENGAJIAN ISLAM
🎯MISI
Meningkat dan memantapkan sistem pendidikan dan pelajaran ugama menerusi pengurusan dan pendekatan yang berkesan dan dinamik melalui persekolahan Arab, persekolahan ugama dan mata pelajaran Pengetahuan Ugama Islam (IRK) ke arah melahirkan:
i Ulama dan cendekiawan Islam yang berwibawa dalam pelbagai disiplin ilmu.
ii Pelajar yang berilmu, beriman, beramal dan berakhlak mulia.
iii Insan yang taat kepada Allah, Rasul dan pemimpin serta berakhlak mulia dan bermoral.
Berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah, Perlembagaan Negara Melayu Islam Beraja (MIB), Falsafah Pendidikan Negara dan Undang-Undang yang berkaitan.
🏁MATLAMAT
Meningkatkan kualiti pendidikan Islam secara formal dan tidak formal bagi pembinaan dan pembentukan insan yang taat berugama, berkepandaian, berakhlak mulia dan taat kepada negara serta pemimpin bagi mendukung falsafah Negara Melayu Islam Beraja.
🏢PENGENALAN
Jabatan Pengajian Islam bertanggungjawab mengurus dan mengendalikan pendidikan Arab dan ugama secara formal kepada rakyat dan penduduk negara ini. Justeru itu, pihak Jabatan mengambil peranan yang penting dalam menanai tanggungjawab besar ini dengan mengendalikan sistem persekolahan Arab dan ugama dengan:
-
Menyediakan lebih banyak kemudahan pengajaran dan pembelajaran.
-
Membuat pemantauan yang berkesan dan berterusan di persekolahan Arab dan ugama.
-
Meningkatkan kualiti pegawai, guru dan kakitangan Jabatan Pengajian Islam melaluilatihan/ bengkel/ kursus.
Sistem pendidikan ugama diperkukuhkan lagi dengan menjadikan mata pelajaran Pendidikan Islam (PI) di peringkat sekolah rendah & menengah dan IBTE di bawahkawalan Kementerian Pendidikan sebagai mata pelajaran teras.
Jabatan Pengajian Islam turut memberikan perkhidmatan pendidikan ugama melaluikelas/kursus bimbingan ugama bagi pegawai-pegawai dan kakitangan di sektor-sektorkerajaan dan swasta dan juga Kelas Dewasa Ugama bagi masyarakat awam.
🛠️FUNGSI
-
Meningkatkan keberkesanan perancangan dan pengurusan sumber-sumber utama Jabatan yang meliputi prasarana (peralatan dan bangunan), sumber kewangan,sumber manusia dan data maklumat.
-
Membentuk peribadi Muslim dan menanamkan kepercayaan Islam sebagai cara hidupyang lengkap.
-
Membudayakan penggunaan data dan ICT dalam pengurusan harian.
-
Meningkatkan kualiti tenaga pengajar melalui proses penyeliaan dan pemantauan yang efektif.
-
Meningkatkan kualiti pelajar-pelajar bagi melahirkan sumber tenaga manusia yangberpendidikan ugama dan berkemahiran melalui kurikulum dan kokurikulum yangterancang dan sistematik.
Jabatan Pengajian Islam bertanggungjawab mengurus dan mengendalikan pendidikan Arab & Ugama bagi:
- 7 Buah Sekolah Arab
- 147 Buah Sekolah Ugama
- 225 Buah Sekolah Rendah, Menengah, PTE & IBTE
- 29 Buah Institusi Khas
🏛️SEJARAH PENUBUHAN
Jabatan Hal Ehwal Ugama ditubuhkan pada tahun 1954 diikuti dengan penubuhan satu Jawatankuasa bagi mengelola sekolah-sekolah ugama di Negara Brunei Darussalam pada tahun 1955. Pada tahun 1956 pendidikan ugama secara formal mula dilaksanakan.
Pada tahun 1967, Pelajaran Ugama diletakkan di bawah kawalan Penguasa Pelajaran Ugama. Pada tahun 1971, pentadbiran Bahagian Pelajaran diperkemaskan lagi antaranya, Penguasa Pelajaran Ugama telah ditukar menjadi Ketua Pegawai Pelajaran Ugama.
Pada 21 Oktober 1986 iaitu semasa Jabatan Hal Ehwal Ugama dinaikkan tarafnya menjadi Kementerian Hal Ehwal Ugama, Bahagian Pelajaran Ugama juga turut dinaikkan taraf menjadi Jabatan iaitu Jabatan Pengajian Islam yang diketuai oleh seorang Pengarah dan dibantu oleh seorang Penolong Pengarah.
Pada tahun 2002 Jabatan Pengajian Islam ditempatkan sepenuhnya di bawah Kementerian Pendidikan dan ditempatkan semula di bawah kawalan Kementerian Hal Ehwal Ugama pada 01 Januari 2006.
Dalam usaha meningkatkan dan memantapkan kualiti perkhidmatan, Jabatan Pengajian Islam telah melaksanakan perubahan struktur organisasi yang bermula pada 2 Jun 2012. Dengan perubahan struktur baru ini, Jabatan Pengajian Islam ditadbir oleh seorang Pengarah dan dibantu oleh 3 orang Penolong Pengarah, 12 Ketua Bahagian, 61 Ketua Unit dan 8 orang Pegawai Pengajian Islam Daerah / Kawasan.
📊STRUKTUR ORGANISASI
📚INISIATIF/PROGRAM
INISIATIF-INISIATIF PEMERKASAAN PENDIDIKAN AL-QURAN.
1. PROGRAM TAHSIN QIRA’ATIL QURAN:
Program ini merupakan satu program perkembangan profesional bagi guru-guru sekolah ugama yang mula dilaksanakan pada bulan Jun 2021, dengan tujuan untuk meningkatkan keupayaan dan kemahiran guru-guru dalam bidang pembacaan Al-Quran.Program ini adalah bagi mendukung dan mencapai matlamat utama mata Pelajaran Al-Quran iaitu untuk menjadikan semua murid pandai membaca Al-Quran dengan baik,lancar dan bertajwid melalui guru yang berkemahiran. Alhamdulillah, usaha ini telah mendapat perhatian KDYMM sepertimana titah baginda pada Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negara Bagi Tahun 1445H/2024M.
2. PELAKSANAAN SISTEM PEMBELAJARAN AL-QURAN BERKATEGORI:
Pembelajaran Al-Quran dibahagikan kepada 5 kategori iaitu Alif, Ba, Jim, Dal dan kategori Khas. Tujuannya untuk:
Membolehkan murid-murid diajar mengikut tahap kebolehan.Memudahkan proses pengajaran guru.Memastikan semua murid-murid pandai membaca Al-Quran dengan fasih, lancar dan bertajwid.
3. PROGRAM SATU MINGGU SATU JUZUK (1M1J):
Program ini dilancarkan pada 1 Februari 2016 dan disasarkan kepada murid-murid persekolahan ugama yang boleh membaca Al-Quran pada tahap sangat baik (KategoriAlif dan Ba) serta mampu mengkhatamkan Al-Quran dalam tempoh yang ditetapkan (30minggu mulai bulan Februari hingga September). Murid-murid akan dibimbing oleh guru darjah atau guru Al-Quran setiap minggu secara konsisten sehingga khatam Al-Quran.
4. PROGRAM SATU BULAN SATU IQRA (1B1I):
Program ini dilancarkan pada 15 Mei 2018 dan disasarkan kepada murid-muridpersekolahan ugama yang mempunyai potensi bacaan Al Quran pada tahap sederhana dan rendah (Kategori Jim dan Dal) serta mampu menyelesaikan pembacaan Buku Iqra’dalam tempoh yang ditetapkan (mulai bulan Februari hingga Ogos). Murid-murid akan dibimbing oleh guru darjah atau guru Al-Quran sepanjang program ini dijalankan sehingga selesai pembacaan Buku Iqra’ 6.
5. SKIM TILAWAH AL-QURAN REMAJA (STAR):
Skim ini mula diperkenalkan pada tahun 1997 dan dikendalikan oleh Bahagian Pelajaran Lanjutan, Jabatan Pengajian Islam. Pelajar-pelajar yang berumur 12 tahun ke atas yang mencapai kriteria penilaian akan ditawarkan untuk mengikuti skim tersebut bagi Peringkat Asas selama 2 tahun. Skim ini dijalankan setiap hari Jumaat dan Ahad dari pukul 8.00 hingga 10.00 pagi, berpusat di sebuah sekolah setiap daerah. Pelajar-pelajar dilatih dan dibimbing dengan lagu-lagu tilawah Al-Quran yang masyhur dengan hasrat untuk melahirkan pelapis Qari dan Qariah peringkat kebangsaan.
6. MAJLIS-MAJLIS KHATAM AL-QURAN BAGI SEKOLAH UGAMA:
Majlis Khatam Al-Quran Bagi Murid-Murid Darjah VI Sekolah-Sekolah Ugama dilaksanakan sejak tahun 1985. Majlis ini diadakan secara khusus bagi meraikan murid-murid Darjah VI yang telah berjaya mengkhatamkan bacaan 30 juzuk Al-Quran sebelum menamatkan persekolahan ugama. Pelaksanaan majlis adalah dikendalikan oleh sekolah masing-masing. Majlis bertujuan bagi menyahut hasrat Kerajaan untuk melahirkan Generasi Celik Al-Quran, di samping sebagai galakan kepada murid-murid untuk menjadikan pembacaan Al-Quran sebagai budaya hidup dan amalan harian.
7. PERTANDINGAN MEMBACA AL-QURAN ANJURAN JABATAN PENGAJIAN ISLAM :
Setiap tahun, Jabatan Pengajian Islam melalui Bahagian Kokurikulum mengadakan Pertandingan-pertandingan Membaca Al-Quran yang dibukakan kepada pelajar-pelajar sekolah Arab dan sekolah ugama seluruh negara. Pertandingan seumpamanya ini bertujuan untuk memupuk minat dan mengasah bakat serta kemahiran membaca ayat-ayat suci Al-Quran dalam kalangan pelajar.
8. PENYEDIAAN ALAT BANTU MENGAJAR - AUDIO RAKAMAN BACAAN AL-QURAN:
Jabatan Pengajian Islam melalui Bahagian Kurikulum terus berusaha memudah cara pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Al-Quran dengan menyediakan bahan-bahan Alat Bantu Mengajar yang bersesuaian seperti audio rakaman bacaan Surah Al-Baqarah, Surah Ali-Imran dan Surah An-Nisa yang dibacakan oleh qari dan qariah dari kalangan pegawai dan tenaga pengajar Jabatan Pengajian Islam. Bahan tersebut boleh diakses melalui platform Microsoft Teams yang dikendalikan oleh Bahagian Kurikulum Jabatan Pengajian Islam.
9. RANCANGAN TV MARI MENGAJI:
Pihak Radio Televisyen Brunei telah berkerjasama dengan pihak Jabatan Pengajian Islam untuk menerbitkan rancangan TV ‘’Mari Mengaji’’ yang merupakan sebuah rancangan berkonsepkan pengajaran dan pembelajaran Al-Quran dalam kelas dengan objektif bagi mendedahkan kaedah pembacaan ayat-ayat Al-Quran yang betul, memahami hukum-hukum tajwid, serta memupuk minat dalam kalangan murid-murid serta para penonton untuk menjadikan Al-Quran sebagai budaya hidup dan amalan harian. Pengisian rancangan adalah berdasarkan sukatan mata pelajaran Al-Quran di persekolahan ugama.Rancangan tersebut kini boleh ditonton melalui saluran RTBGo pada bila-bila masa.
10. KELAS DEWASA UGAMA:
Kelas Dewasa Ugama mula dilaksana secara formal sejak tahun 1958 dan ditubuhkan secara rasmi pada tahun 1963. Disamping itu, pada tahun 1967, Kelas Dewasa Al-Quran mula dilaksanakan. Pada tahun 1980, kedua-dua kelas tersebut disatukan menjadi Kelas Dewasa Ugama, dan pada tahun 1986 ianya ditempatkan di bawah kawalan Jabatan Pengajian Islam.Pembelajaran Al-Quran dalam Kelas Dewasa Ugama ini adalah bagi mendokong hasrat agar setiap warga yang menyertainya boleh membaca Al-Quran dengan baik secara bertajwid dan tartil. Pada masa ini, seramai 392 orang individu sedang mengikuti pembelajaran di 22 buah Kelas Dewasa Ugama yang beroperasi di 6 buah pusat seluruh negara.
📍Alamat Dan Lokasi
Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Blok 2 i dan 2 j, Bangunan Kondominium, Jalan Ong Sum Ping, Bandar Seri Begawan BA1131, Negara Brunei Darussalam.

|
📞TELEFON DAN 📧 EMEL
Tel: 2241851
Emel: perhubungan.awam@jpi.edu.bn