Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

KUNJUNGAN HORMAT KEPADA YANG BERHORMAT SENATOR DATUK DR. NAIM MOKHTAR, MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI [HAL EHWAL AGAMA] SEMASA KUNJUNGAN MUHIBBAH DAN RUNDINGAN KERJASAMA KHEU BERSAMA BADAN TANMIAH HARTA MUI [BTHMUI] KE MALAYSIA DAN REPUBLIK SINGAPURA

​بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم​

Putrajaya, Malaysia, Selasa, 09 Rejab 1444H bersamaan 31 Januari 2023M-Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohd Tashim bin Pengiran Haji Hassan, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, yang juga Naib Yang Di-Pertua Majlis Ugama Islam Negara Brunei Darussalam selaku Ketua rombongan dalam rangka lawatan selama sembilan [9] hari [30 Januari 2023M hingga 07 Februari 2023], ke Negara Malaysia dan Republik Singapura, semalam telah mengadakan Kunjungan Hormat kepada Yang Berhormat Senator Datuk Dr. Naim Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri [Hal Ehwal Agama] bertempat di Pejabat Yang Berhormat Menteri, Aras 10, Blok A, Kompleks Islam Putrajaya, Putrajaya Malaysia.


Turut hadir, Yang Berbahagia Datuk Hakimah Mohd. Yussof, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam [JAKIM] dan Yang Berbahagia Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee, Timbalan Ketua Pengarah [Operasi] Jabatan Kemajuan Islam [JAKIM].

Terdahulu, rombongan yang diketuai oleh Yang Mulia Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama Negara Brunei Darussalam telah membuat kunjungan dan perbincangan ke Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji [JAWHAR], bertempat di Kompleks Islam Putrajaya, Presinct 3, Putrajaya, Malaysia.

Sesi Kunjungan Hormat dan Rundingan Kerjasama tersebut adalah dalam usaha Kementerian Hal Ehwal Ugama Negara Brunei Darussalam untuk memperkemas dan merealisasikan fokus strategik Jaminan Keselamatan dan Kesejahteraan Sosial dalam Rancangan Strategik Kementerian Hal Ehwal Ugama 2020- 2024 serta mempertingkatkan integrasi rangkaian dan peluang kerjasama dalam bidang berkaitan zakat, waqaf, wasiat dan Baitul Mal terutama dalam mengenal pasti amalan-amalan terbaik dalam hal ehwal pentadbiran, pengurusan sumber tenaga manusia, struktur organisasi, kewangan, perundangan, mekanisme kutipan dan agihan Zakat Pendapatan dan Zakat Harta, Akreditasi Tauliah Mengajar Ugama dan Program Pengupayaan Asnaf.

Sepanjang sesi lawatan selama sembilan [9] hari tersebut, rombongan akan mengadakan Kunjungan Muhibbah dan Rundingan Kerjasama dan membuat tinjauan ke beberapa tempat termasuk Jabatan Perdana Menteri Malaysia [Hal Ehwal Agama], Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan [MAIWP], Majlis Agama Islam Selangor [MAIS], Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang [MUIP], Majlis Agama Islam Negeri Johor [MAIJ] serta anak syarikatnya dan dengan Majlis Ugama Islam Singapura [MUIS] dan Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura [PERGAS], Republik Singapura.

Tinjauan lawatan dan rundingan kerjasama turut mensasarkan beberapa entiti/anak syarikat Majlis Agama Islam Negeri-Negeri di Malaysia dan Republik Singapura bagi mengadaptasi pelaksanaan urustadbir struktur organisasi dan fungsi korporat pengurusan Waqaf dan BaitulMal serta meneroka prospek kerjasama dan mendapatkan maklumat ekslusif mengenai projek-progek Waqaf dan Baitul Mal di luar negara, sekaligus dapat mencapai matlamat strategik Badan Tanmiah Harta Majlis Ugama Islam dalam usahanya bagi meningkatkan kualiti dan produktivitinya dalam mengembangkan hartanya melalui horizon pelaburan yang patuh syara' agar sentiasa releven dengan peredaran zaman, keperluan semasa dan kesesuaian di Negara Brunei Darussalam.

Ahli-ahli rombongan adalah terdiri daripada para pegawai dari Kementerian Hal Ehwal Ugama, iaitu Yang Mulia Awang Haji Hardifadhillah bin Haji Mohd Salleh, Pengarah Perundangan Islam, Yang Mulia Awang Haji Abdul Aziz bin Haji Akop, Pemangku Setiausaha Majlis Ugama Islam, selaku Ketua Kerja, dan Yang Mulia Awang Ariffin bin Dato Paduka Haji Abu Bakar, Ketua Bahagian Pentadbiran dan Bahagian Mesyuarat di Jabatan Majlis Ugama Islam Brunei. Turut menyertai rombongan, Yang Mulia Dr. Haji Mohd Aidil Yusrie bin Haji Shari, Ketua Sukuk Financing Office, Jabatan Perbendaharaan, Kementerian Kewangan dan Ekonomi, selaku wakil Ahli Kumpulan Fokus bagi Projek Pemerkasaan Wakaf, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Manakala Badan Tanmiah Harta Majlis Ugama Islam diwakili oleh Yang Mulia Awang Haji Noor Hadi bin Haji Noor Kaseh, Pengarah Badan Tanmiah Harta Majlis Ugama Islam, Yang Mulia Dayang Siti Norhamizah binti Haji Abdul Hamid, Pengurus Kewangan Kanan, Seksyen Kewangan, BTHMUI, Yang Mulia Dayang Siti Norhafizah binti Haji Abu Bakar, Pengurus, Seksyen Pelaburan, Perdagangan dan Pemasaran, BTHMUI, dan Yang Mulia Awang Mohammad Adika bin Mohammad Yusof, Pengurus, Seksyen Pelaburan, Perdagangan dan Pemasaran, BTHMUI.


 




Attachments