Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

MAJLIS PENUTUP DAN PENYAMPAIAN SIJIL SKIM BIMBINGAN ASAS MUALLAF SIRI KE-197 (LELAKI)

​بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم​

Pulaie, Khamis, 11 Rejab 1444H bersamaan 2 Februari 2023M-Dalam usaha menjaga dan memelihara kemaslahatan muallaf, Pusat Da'wah Islamiah telah menyediakan beberapa program bimbingan khusus untuk muallaf seperti Bimbingan Pengenalan Islam, Bimbingan Bergerak, Skim Bimbingan Asas [Melayu], Skim Bimbingan Asas [Inggeris], Skim Bimbingan Lanjutan serta Skim Bimbingan Lanjutan II. Selain itu, para muallaf juga boleh mengikuti Kelas Bimbingan Muallaf pada setiap hari Jumaat bagi Daerah Brunei Muara, manakala bagi Daerah Tutong, Belait dan Temburong mengikut jadual yang telah disediakan.

Sehubungan dengan itu, Pusat Da'wah Islamiah melalui Bahagian Pembangunan Muallaf [Tarbiyah Muallaf] pagi tadi telah mengadakan Majlis Penutup dan Penyampaian Sijil Skim Bimbingan Asas Muallaf Siri ke-197 [Lelaki] bertempat di Dewan Mau'izzah, Pusat Da'wah Islamiah.

Antara objektif skim ini diadakan adalah untuk memberi bimbingan kepada muallaf dalam menghalusi dan meningkatkan lagi ilmu pengetahuan agama Islam terutama dalam bidang aqidah, ibadah dan akhlak.

Pengisian dalam skim berkenaan antaranya ialah asas Fardhu 'Ain dan Kifayah iaitu Iqra', Hafalan, Tauhid, Fiqh, Praktikal Ibadat, Sejarah Islam, Makanan dalam Islam, Akhlak Islam, Kebersihan dan Praktikal Penyembelihan.

Hadir selaku Tetamu Kehormat dan seterusnya menyampaikan sijil kepada para peserta skim ialah Yang Mulia Awang Haji Ahmad Abdussalam @ Erman bin Haji Abd Rahman, Pemangku Penolong Pengarah Pusat Da'wah Islamiah.


Seramai 13 orang peserta lelaki telah menyertai skim yang dikendalikan selama 14 hari bermula pada 17 Januari 2023 hingga 02 Februari 2023.

Majlis pagi tadi dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan surah Al-Fatihah oleh Yang Mulia Awang Muhammad Arrafi bin Abdullah @ Berapi bin Luwis. Diikuti dengan ucapan daripada wakil peserta skim, Yang Mulia Awang George Ra'is Tan bin Abdullah @ George Tan. Seterusnya ucapan daripada Yang Mulia Tetamu Kehormat Majlis dan disusuli dengan tayangan video kegiatan Skim Bimbingan Asas Muallaf.

Majlis diteruskan dengan penyampaian sijil penyertaan dan hadiah kepada Peserta Terbaik disempurnakan oleh Yang Mulia Tetamu Kehormat. Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat oleh Yang Mulia Awang Muhammad Ahwaz Wira bin Abdullah Ating @ Wirairja Anak Ating.





Attachments