Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

MAJLIS MENGADAP KE HADAPAN MAJLIS KDYMM PEMANGKU RAJA PAHANG SEMASA KUNJUNGAN MUHIBBAH DAN RUNDINGAN KERJASAMA KEMENTERIAN HAL EHWAL UGAMA BERSAMA BADAN TANMIAH HARTA MAJLIS UGAMA ISLAM (BTHMUI) KE NEGARA MALAYSIA DAN REPUBLIK SINGAPURA 30/1 - 7/2 2023

​بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم

PAHANG, MALAYSIA, Rabu, 10 Rejab 1444H bersamaan 01 Februari 2023M-Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohd Tashim bin Pengiran Haji Hassan, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama selaku Naib Yang Di-Pertua Majlis Ugama Islam Negara Brunei Darussalam yang mengetuai rombongan daripada Kementerian Hal Ehwal Ugama [KHEU] dan Badan Tanmiah Harta Majlis Ugama Islam [BTHMUI] Negara Brunei Darussalam dalam siri Kunjungan Hormat dan Rundingan Kerjasama Kementerian Hal Ehwal Ugama Bersama Badan Tanmiah Harta Majlis Ugama Islam [BTHMUI] ke Negara Malaysia dan Republik Singapura telah berkesempatan mengadakan Majlis Mengadap Kehadapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri'ayatudin Al-Mustafa Billah Shah bertempat di Istana Abdul Aziz, Indera Mahkota, Kuantan, Pahang.

Sejurus itu pada sebelah petang, Yang Mulia Pengiran Dato bersama rombongan daripada Kementerian Hal Ehwal Ugama [KHEU] dan Badan Tanmiah Harta Majlis Ugama Islam [BTHMUI] Negara Brunei Darussalam telah mengadakan sesi Rundingan Kerjasama bersama dengan Ahli-Ahli Majlis Adat Resam Melayu Pahang [MUIP] dan mendengarkan sesi taklimat mengenai latar belakang dan program-program utama Majlis Adat Resam Melayu Pahang [MUIP] serta anak syarikatnya.

Sesi Kunjungan Hormat dan Rundingan Kerjasama yang diadakan tersebut adalah dalam usaha Kementerian Hal Ehwal Ugama Negara Brunei Darussalam untuk memperkemas dan merealisasikan focus strategik Jaminan Keselamatan dan Kesejahteraan Sosial dalam Rancangan Strategik Kementerian Hal Ehwal Ugama 2020-2024 serta mempertingkatkan integrasi rangkaian dan peluang kerjasama dalam bidang berkaitan zakat, waqaf, wasiat dan Baitul Mal terutama dalam mengenal pasti amalan-amalan terbaik dalam hal ehwal pentadbiran, pengurusan sumber tenaga manusia, struktur organisasi, kewangan, perundangan, mekanisme kutipan dan agihan Zakat Pendapatan dan Zakat Harta, Akreditasi Tauliah Mengajar Ugama dan Program Pengupayaan Asnaf.

Tinjauan lawatan dan rundingan kerjasama turut mensasarkan beberapa entiti/anak syarikat Majlis Agama Islam Negeri-Negeri di Malaysia dan Republik Singapura bagi mengadaptasi pelaksanaan urustadbir struktur organisasi dan fungsi korporat pengurusan Waqaf dan BaitulMal serta meneroka prospek kerjasama dan mendapatkan maklumat ekslusif mengenai projek-projek Waqaf dan Baitul Mal di luar Negara, sekaligus dapat mencapai matlamat strategik Badan Tanmiah Harta Majlis Ugama Islam dalam usahanya bagi meningkatkan kualiti dan produktivitinya dalam mengembangkan hartanya melalui horizon pelaburan yang patuh syara' agar sentiasa relevan dengan peredaran zaman, keperluan semasa dan kesesuaian di Negara Brunei Darussalam.

Ahli-ahli rombongan adalah terdiri daripada para pegawai dari Kementerian Hal Ehwal Ugama, iaitu Yang Mulia Awang Haji Hardifadhillah bin Haji Mohd Salleh, Pengarah Perundangan Islam, Yang Mulia Awang Haji Abdul Aziz bin Haji Akop, Pemangku Setiausaha Majlis Ugama Islam, selaku Ketua Kerja, dan Yang Mulia Awang Ariffin bin Dato Paduka Haji Abu Bakar, Ketua Bahagian Pentadbiran dan Bahagian Mesyuarat di Jabatan Majlis Ugama Islam Brunei. Turut menyertai rombongan, Yang Mulia Dr. Haji Mohd Aidil Yusrie bin Haji Shari, Ketua Sukuk Financing Office, Jabatan Perbendaharaan, Kementerian Kewangan dan Ekonomi, selaku wakil Ahli Kumpulan Fokus bagi Projek Pemerkasaan Wakaf, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Manakala Badan Tanmiah Harta Majlis Ugama Islam diwakili oleh Yang Mulia Awang Haji Noor Hadi bin Haji Noor Kaseh, Pengarah Badan Tanmiah Harta Majlis Ugama Islam, Yang Mulia Dayang Siti Norhamizah binti Haji Abdul Hamid, Pengurus Kewangan Kanan, Seksyen Kewangan, BTHMUI, Yang Mulia Dayang Siti Norhafizah binti Haji Abu Bakar, Pengurus, Seksyen Pelaburan, Perdagangan dan Pemasaran, BTHMUI, dan Yang Mulia Awang Mohammad Adika bin Mohammad Yusof, Pengurus, Seksyen Pelaburan, Perdagangan dan Pemasaran, BTHMUI.

Gambar-gambar sekitar Majlis Mengadap Kehadapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri'ayatudin Al-Mustafa Billah Shah bertempat di Istana Abdul Aziz, Indera Mahkota, Kuantan, Pahang.

 


Gambar sekitar sesi Rundingan Kerjasama bersama dengan Ahli-Ahli Majlis Adat Resam Melayu Pahang [MUIP] dan mendengarkan sesi taklimat mengenai latar belakang dan program-program utama Majlis Adat Resam Melayu Pahang [MUIP] serta anak syarikatnya.






Attachments