Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

MALAM MUNAJAT ANJURAN KEMENTERIAN HAL EHWAL UGAMA KALI KE-73 (Khas Untuk Wanita Ke-VII)

​بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم

Negara Brunei Darussalam, Sabtu, 14 Rejab 1444H bersamaan 4 Februari 2023M–“ اَلصَّلاةُ خَيْرٌ مِنَ النَّوْمِ “ (Assolatu Kahirum Minanaum) yang ertinya Sembahyang Lebih Baik Daripada Tidur merupakan tajuk Tazkirah minggu ini disampaikan oleh Yang Mulia Dayang Nurhikmah binti Haji Idris, Pegawai Ugama, Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama dari Masjid Perpindahan Lambak Kanan. 

Tazkirah tersebut sinonim dengan sembahyang fardhu Subuh, antara lain menyentuh mengenai kelebihan dan keistimewaan sembahyang fardhu Subuh. Allah Subhanahu Wa Ta'ala berfirman di dalam Surah al-Isra ayat 78, yang maksudnya “Dirikanlah sembahyang mulai tergelincir matahari hingga sampai gelap malam dan (dirikanlah) sembahyang Subuh, sesungguhnya sembahyang Subuh itu disaksikan (oleh malaikat)." Demikianlah juga hadith Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam yang mana baginda bersabda “Sesiapa yang solat Isyak berjemaah, maka dia seolah-olah bangun (bersolat) separuh daripada malam dan sesiapa yang solat Subuh berjemaah, maka dia seolah-olah telah bangun bersolat sepanjang malam." 

Oleh itu, kepentingan untuk tidur awal dan bangun awal agar tidak luput sembahyang Subuh mengikut sunnah Baginda Nabi Muhammad Shallallahu 'alaihi wasallam yang tidur di awal malam dan bangun mendirikan sembahyang malam (bermunajat) di sepertiga akhir malam. Adapun, beberapa tips atau panduan untuk kita mudah bangun awal supaya kita dapat menunaikan sembahyang Fardhu Subuh termasuk dengan berniat bangun awal sebelum azan Subuh, tidur awal sebelum jam 10 mlm, dan mengamalkan berwudhu sebelum tidur. 

Malam Munajat minggu ini menyaksikan penampilan istimewa jemaah-jemaah wanita dengan mengundang sama tetamu khas, Yang Mulia Datin Paduka Profesor Dr Dayang Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman, Naib Canselor, Universiti Teknologi Brunei yang memimpin bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah. 

Turut memeriahkan acara malam tadi, para muslimah dari beberapa masjid di seluruh negara termasuk jemaah muslimah Masjid Perpindahan Lambak Kanan dan Persatuan Belia Kampong Lambak (PERBEKAL), tenaga akademik serta warga kerja wanita Jabatan Pengajian Islam, dan juga Kementerian Hal Ehwal Ugama bersama ahli keluarga dari kediaman masing-masing. 

Sejurus selepas bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah, disusuli dengan bacaan Surah Yasin beramai-ramai dipimpin oleh Yang Mulia Dayang Siti Huzzaimah Yadey binti Haji Rosli, Guru Ugama Terlatih Tingkat Khas, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama dari Surau Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Katok. 


Seterusnya, Doa Munajat dibacakan oleh Yang Mulia Dayang Dr. Noryati binti Haji Ibrahim, Penolong Pengarah Jabatan Hal Ehwal Syariah, Kementerian Hal Ehwal Ugama. Sejurus selesai Tazkirah, bacaan Selawat Tafrijiyyah dipimpin oleh Yang Mulia Dayang Hajah Mahani binti Haji Ibrahim, bersama Persatuan Belia Kampong Lambak (PERBEKAL) dari Masjid Perpindahan Lambak Kanan. 

Bagi memberkati acara Malam Munajat, bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam oleh Yang Mulia Dayang Muniratussafiah binti Dato Seri Setia Haji Johar, Pegawai Ugama, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

​Ikut sama meramai-ramaikan acara Munajat malam tadi, Yang Mulia Datin Hajah Nahriah binti Haji Awang Asbi, isteri Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama; dan Yang Mulia Datin Norazimah binti Haji Ramlee, Isteri Yang Mulia Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama. 

Malam Munajat Anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama mengajak orang ramai melipatgandakan amalan seharian dengan membaca ayat-ayat suci Al-Quran, berdoa, berzikir dan beristighfar, semata-mata untuk memohon keampunan, perlindungan, rahmat dan keredhaan Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Di samping itu, berdoa agar rakyat dan Negara Brunei Darussalam sentiasa terpelihara dari sebarang musibah yang tidak diingini dan Berjaya membendung penularan penyakit merbahaya seperti COVID-19. 

Orang ramai dipelawa untuk menyertai Malam Munajat dari mana jua mereka berada pada setiap hari Sabtu (malam Ahad) dengan melayari pautan https://tiny.cc/munajatkheu atau melalui Instagram Pusat Da'wah Islamiah @pdi_kheu.


Attachments