بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم
Temburong, Sabtu, 25 Sya’ban 1444M bersamaan 18 Mac 2023M-Pusat Da’wah Islamiah melalui Bahagian Pembangunan Muallaf (Kebajikan Muallaf) dan Unit Da’wah Daerah Temburong dengan kerjasama Sekolah Menengah Arab Laki-Laki Hassanal Bolkiah (SMALHB) menyumbangkan bantuan keperluan harian kepada dua puluh (20) buah keluarga muallaf di Daerah Temburong dalam Projek SMALHB PRIHATIN. Sumbangan bantuan tersebut diadakan di Rumah Panjang Kampung Sumbiling Lama, Daerah Temburong.
Hadir selaku ketua rombongan dan seterusnya menyempurnakan sumbangan ialah Yang Mulia Dr Hajah Rohanita binti Haji Yaakub, Ketua Bahagian Pembangunan Muallaf, Pusat Da’wah Islamiah dan Yang Mulia Dayang Hajah Azizah binti Haji Mohamad, Pengetua Sekolah Menengah Arab Laki-Laki Hassanal Bolkiah.
Bantuan yang disumbangkan adalah untuk menampung keperluan harian dan sebagai satu dakwah berkesan bagi memeduli dan memantau perkembangan kehidupan serta kebajikan asnaf fakir miskin khususnya di kalangan muallaf agar terus terjaga serta dapat melaksanakan ibadah dengan lebih sempurna, di samping penglibatan bimbingan dan penghayatan agama Islam khusus bagi muallaf di Negara ini.
Projek ini juga diselanjurkan dengan penyerahan wakaf berupa barang-barang keperluan seperti telekong, kipas angin, lampu solar serta kerusi sandar untuk kegunaan jemaah Balai Ibadat Kampung Sibut, Temburong. Penyerahan wakaf tersebut diadakan di balai ibadat berkenaan.

Foto: PDI