Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

KETETAPAN 01 RAMADHAN 1444 HIJRAH BAGI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

​بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم​

Berakas, Rabu, 29 Sya'ban 1444H bersamaan 22 Mac 2023M-Pada menjunjung titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, maka Yang Berhormat, Yang Di-Pertua Majlis Ugama Islam dengan ini memaklumkan bahawa ketetapan 01 Ramadhan 1444 Hijrah bagi Negara Brunei Darussalam akan jatuh pada hari Khamis, 23 Mac 2023M.

Hasil Merukyah Awal Bulan Ramadhan 1444 Hijrah pada petang tadi telah diumumkan secara langsung melalui Radio Televisyen Brunei, Jabatan Perdana Menteri. Berikutan itu, Negara Brunei Darussalam akan menyambut Awal Ramadhan bagi tahun 1444 Hijrah pada Hari Khamis, 23 Mac 2023M.

Umat Islam di Negara Brunei Darussalam akan mula menunaikan Sembahyang Sunat Terawih dan Witir serta bertadarus Al-Quran di masjid-masjid, surau dan balai ibadat seluruh Negara pada malam ini Hari Rabu, 01 Ramadhan 1444H bersamaan 22 Mac 2023 selepas sembahyang fardhu Isya.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama selaku Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Brunei setelah bersidang mengenai hasil merukyah anak bulan Ramadhan 1444 Hijrah pada tahun ini dari tempat-tempat yang ditentukan dan ketetapan persidangan tersebut telah disembahkan ke hadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Persidangan yang diadakan di Bilik Mesyuarat Pejabat Menteri Hal Ehwal Ugama, Kementerian Hal Ehwal Ugama juga dihadiri oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar, Ketua Hakim Syar'ie; Yang Dimuliakan pehin Orang Kaya Paduka Setia Raja Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Suhaili bin Haji Mohiddin; Yang Arif Dato Seri Setia Haji Awang Johar bin Haji Muhammad, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah dan Yang Mulia Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Japar bin Haji Mat Dain @ Maidin, Timbalan Mufti Kerajaan.

Pada tahun ini, lima (5) buah lokasi telah ditetapkan untuk merukyah anak bulan Ramadhan 1444 Hijrah, iaitu, Menara DST, Bangunan DST Headquarters, Lebuhraya Tungku, Daerah Brunei dan Muara; Bukit Agok, Jerudong, Daerah Brunei dan Muara; Tanjung Batu, Pekan Muara, Daerah Brunei dan Muara; Bukit Lumut, Daerah Belait; dan Bukit Amboq, Daerah Tutong.

Terdahulu, Acara Keagamaan bagi Menunggu Hasil Rukyah 1 Ramadhan 1444 Hijrah dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran oleh Yang Mulia Awang Abdur Rahman bin Haji Mohammed Azmi, Institut Tahfiz Al-Qur'an Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Bacaan Tahlil dan Doa Arwah oleh Yang Mulia Awang Muhammad Hazif Nur Adib bin Abd Manaf, Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Perpindahan Kampong Mata-Mata, Gadong dan seterusnya mengimamkan Sembahyang Fardhu Maghrib berjemaah. Mu'azzin Maghrib dikumandangkan oleh Yang Mulia Awang Muhammad Fakhri bin Haji Awang Damit, Bilal Tingkat II, Masjid Kampong Beribi.





Foto: BPAAM​

​​
Attachments