بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم
Kiarong, Sabtu, 01hb. Rabiulawal 1445H bersamaan 16hb. September 2023M-Menanamkan rasa kasih dan cinta terhadap Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam serta memohon ganjaran teristimewa dan syafa'at bagi orang-orang yang berselawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Shallallahu 'Alaihi Wasallam adalah amalan mulia dalam pembentukan jati diri individu muslim.
Bersempena memperingati Hari Keputeraan Junjungan Besar Nabi Muhammad Shallallahu 'Alaihi Wasallam yang disambut pada 12hb Rabiulawal setiap tahun, semua masjid, surau dan balai ibadat di seluruh Negara akan terus bergema dengan Dikir Maulud Nabi Muhammad Shallallahu 'Alaihi Wasallam selama 12 malam berturut-turut mulai malam ini. Majlis tersebut merupakan salah satu syiar dan acara hari-hari kebesaran Islam yang disambut oleh umat Islam di Negara ini.
Sehubungan dengan itu, Majlis Pembukaan Dikir Maulud Nabi Muhammad Shallallahu 'Alaihi Wasallam selama 12 malam berturut-turut telah diadakan malam tadi di Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong yang sekali gus menandakan bermulanya pembukaan Dikir Syarafil Anam di semua Masjid, Surau dan Balai Ibadat Seluruh Negara bagi Tahun 1445H/2023M.
Hadir selaku Tetamu Kehormat pada majlis tersebut ialah Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama, Negara Brunei Darussalam.

Acara dimulakan dengan bacaan surah al-Fatihah beramai-ramai dipimpin oleh Tetamu Kehormat Majlis. Diikuti dengan Tazkirah bertajuk “Rasulullah Sebagai Uswatun Hassanah" disampaikan oleh Yang Mulia Awang Muhammad Yussof bin Haji Majid, Pegawai Tugas-Tugas Khas Tingkat II, Unit Kaunseling dan Kefahaman Agama (KAFA), Kementerian Hal Ehwal Ugama, Negara Brunei Darussalam.
Dikir Assalamualaika dibawakan oleh Ahli Jawatankuasa Takmir Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah dan Pasukan Dikir Kampung Kiarong. Sementara Dikir Khairuman Udana Laila dibawakan oleh Pasukan Dikir Kampung Subok dan Pasukan Dikir Kampung Belimbing. Manakala Dikir Bishahrin Badar dibawakan oleh Pasukan Dikir Kampung Rimba dan Pasukan Dikir ZAIDANA.
Dikir Al-Hamd Sidiq dibawakan oleh Pasukan Dikir Kampung Bengkurong dan Pasukan Dikir Warga Emas. Manakala Dikir Badat Kopi dibawakan oleh Pasukan Dikir PERANGKAP (Kampung Burung Pinggai).
Acara dikir diteruskan lagi dengan Dikir Asyaraqal dibawakan oleh Pedikir Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Doa Dikir dibacakan oleh Yang Mulia Awang Abdul Aziz bin Haji Abdullah, Pegawai Hal Ehwal Masjid, Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong. Sementara Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Yang Mulia Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Awang Haji Suhaili bin Haji Metali Al-Hafiz, Pegawai Masjid, Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong.
Majlis juga adalah sebagai salah satu syiar Islam untuk memakmurkan masjid di samping dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim dalam kalangan pegawai dan kakitangan Kementerian Hal Ehwal Ugama dengan jemaah masjid dan penduduk kampung.




Foto: i-Ready BPAAM