بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم
Bandar Seri Begawan, Rabu, 27 Safar 1445H bersamaan 13 September 2023M-Mesyuarat Kumpulan Kerja ASEAN Mengenai Makanan Halal telah diadakan bagi Kali Ke-19 yang dihadiri oleh perwakilan dari Negara Brunei Darussalam iaitu Yang Mulia, Awang Haji Suhaimi bin Haji Gemok, Pengarah Hal Ehwal Syar'iah, Kementerian Hal Ehwal Ugama. Mesyuarat yang berlangsung pada tahun ini dipengerusikan oleh Negara Republik Demokratik Rakyat Laos secara maya melalui Persidangan Video Khas bertempat di Bilik Mesyuarat, Jabatan Hal Ehwal Syar'iah, Bangunan Kementerian Hal Ehwal Ugama (Lama), Negara Brunei Darussalam. Turut hadir ke Persidangan Video Khas Mesyuarat Kumpulan Kerja ASEAN Mengenai Makanan Halal tersebut ialah Pegawai-Pegawai kanan daripada Jabatan Pertanian dan Permakanan, Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan dan Bahagian Perhubngan Awam, Antarabangsa dan MABIMS, Kementerian hal Ehwal Ugama.
Sebelum itu, satu bengkel juga telah diadakan pada 12hb September 2023 bagi meneliti Garis Panduan Makanan Halal bagi Negara ASEAN bertempat di Bilik Mesyuarat, Jabatan Hal Ehwal Syar'iah, Bangunan Kementerian Hal Ehwal Ugama (Lama), Negara Brunei Darussalam. Bengkel ini merupakan kesinambungan dari Mesyuarat Kumpulan Kerja ASEAN Mengenai Makanan Halal bagi Kali Ke-18.
Kumpulan Kerja ASEAN Mengenai Makanan Halal ditubuhkan bagi memudahcara keseragaman piawaian Halal terutamanya di serantau ASEAN untuk memenuhi permintaan yang meningkat bagi produk dan perkhidmatan Halal yang kredibel dan terjamin di samping memastikan masyarakat Islam berasa selamat dalam pemakanan produk Halal.
Mesyuarat Kumpulan Kerja ASEAN Mengenai Makanan Halal tersebut telah membincangkan mengenai progres pelaksanaan pelan-pelan tindakan bagi kerjasama ASEAN dalam makanan Halal yang memfokuskan antaranya mengenai Mengemaskini Kerjasama Halal Serantau dibawah MABIMS, BIMP-EAGA DAN IMT-GT; Perkembangan dalam Perlaksanan Pelan Tindakan bagi Kerjasama ASEAN dalam Makanan Halal (2017-2020); Penubuhan Lembaga Autoriti Halal Antarabangsa; dan Perbincangan dengan Rakan-Rakan Luar.
Foto: JHES