بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم
Berakas, Isnin, 25 Safar 1445H bersamaan 11 September 2023M–Zakat Perniagaan adalah antara zakat harta yang diwajibkan ke atas orang-orang Islam yang memiliki harta yang tertentu mengikut syarat- syarat yang tertentu. Jenis perniagaan yang boleh dikenakan zakat ialah mana-mana usaha yang berbentuk dagang atau niaga, samada ia secara kecil-kecilan atau besar-besaran, dan samada dalam bentuk syarikat atau individu, adalah ia dinamakan perniagaan yang wajib dizakat bermula dari ia dinamakan perniagaan. Ini termasuklah perniagaan barang-barang runcit, barangan, import, eksport, perkhidmatan, kedai makan, perhotelan, pembuatan, pembinaan dan lain-lain.
Sehubungan dengan itu, pagi tadi diadakan Majlis Penyerahan Wang Zakat Perniagaan dari Syarikat Al-Bukhari Textile Centre Sdn Bhd. berjumlah BND20,000.00 (Dua Puluh Ribu Ringgit Brunei). Majlis penyerahan disempurnakan oleh Pengarah Syarikat tersebut, iaitu Yang Mulia Awang Waheed Alam dan diterima oleh Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama selaku Yang Di-Pertua Majlis Ugama Islam Brunei.
Majlis diadakan di Bilik Dhiyafah, Tingkat 5, Bangunan Tambahan Baru, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Di Negara Brunei Darussalam, Majlis Ugama Islam Brunei adalah Badan yang berkuasa dan bertanggungjawab dalam mentadbir dan mengurus kutipan dan agihan zakat. Kuasa dan tanggungjawab tersebut adalah berdasarkan peruntukkan undang-undang sebagaimana yang termaktub dalam Akta Majlis Ugama Islam dan Mahkamah-Mahkamah Kadi Penggal 77, Pindaan 1984 iaitu bab-bab 114 hingga 121 dan juga Peraturan Zakat dan Fitrah 1969.
Berikutan dari penaiktarafan Bahagian Kutipan dan Agihan Zakat [BAKAZ] menjadi Jabatan Urusan Zakat, Waqaf dan Baitulmal [JUZWAB] pada hari Rabu, 01hb. Muharram 1445 bersamaan 19hb. Julai 2023 yang lalu, semua pengendalian proses kutipan dan pengagihan zakat di Negara ini adalah menjadi tanggungjawab Jabatan ini. Antara matlamat JUZWAB ialah untuk memastikan pengurusan wang zakat, termasuk kutipan dan pengagihannya dilaksanakan secara teratur dan efisien.
Jumlah zakat yang telah di kutip pada tahun 2022 telah menunjukkan peningkatan sebanyak 15.96% berbanding tahun 2021, yang mana pada tahun 2022 Majlis Ugama Islam Brunei telah mengutip sejumlah $21,910,607.48 (Dua Puluh Satu Juta Sembilan Ratus Sepuluh Ribu Enam Ratus Tujuh Ringgit dan Empat Puluh Lapan Sen Sahaja) berbanding pada tahun 2021, sebanyak $18,894,594.76 (Lapan Belas Juta Lapan Ratus Sembilan Puluh Empat Ribu Lima Ratus Sembilan Puluh Empat Ringgit dan Tujuh Puluh Enam Sen Sahaja) telah berjaya di kutip. Manakala kutipan bagi Tahun 2023, setakat bulan Julai ini, sekitar $16.8 juta telah berjaya dikutip iaitu sekitar 77% daripada jumlah hasil kutipan tahun 2022.
Wang zakat yang dikutip akan diagihkan kepada asnaf-asnaf yang berhak di Negara ini dan pengagihan akan dilaksanakan melalui skim-skim agihan berikut iaitu Skim Agihan Bulanan; Skim Agihan Asasi; Skim Agihan Persekolahan; Skim Agihan Institut Pengajian Tinggi; Skim Agihan Sewa Rumah; Skim Agihan Al Gharimin; Skim Agihan Perubatan; Skin Agihan Modal Berusaha danSkim Agihan Program Pengupayaan Asnaf Zakat.
Dalam hubungan ini, umat Islam di Negara ini adalah diseru untuk menunaikan kewajipan untuk menunaikan zakat harta dan zakat perniagaan masing-masing apabila telah sampai nisab dan haulnya. Selain sebagai memenuhi tanggungjawab menyelesaikan kewajipan, ia juga sebagai suatu tanggungjawab sosial dalam sama-sama membantu golongan yang memerlukan khususnya asnaf zakat fakir dan miskin di Negara ini.
Bagi sebarang makluman lanjut dan pertanyaan, orang ramai bolehlah berhubung dengan Jabatan Urusan Zakat, Waqaf dan Baitulmal di Aras Bawah, Bangunan Kementerian Hal Ehwal Ugama, Jalan Dewan Majlis, Bandar Seri Begawan, Negara Brunei Darussalam ataupun melalui talian 8292526.
Foto: BPAAM