Wahai kaum
muslimin yang dirahmati Allah,
MARILAH kita meningkatkan keimanan dan ketakwaan
kita kepada Allah Subahanahu Wata'ala dengan sebenar-benarnya iaitu dengan
melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya.
Mudah-mudahan kita menjadi muslim yang beriman dan bertakwa dan beriman serta
selamat di dunia dan selamat di akhirat, Amin Ya Rabbal Alamin.
Muslimin yang dirahmati Allah,
Sesungguhnya kehidupan di dunia ini hanyalah
sementara yang tidak akan kekal selamanya. Setiap yang hidup pasti akan mati,
begitu juga kehidupan kita ini pasti akan berakhir dengan kematian dan kita
tidak akan dapat lari daripadanya. Apabila nyawa seseorang telah terpisah
daripada jasadnya maka tinggallah segala apa yang dimilikinya, tiada apa yang
dibawanya sebagai bekal kecuali ibadat dan amal jariah semasa hayatnya di dunia
serta dia dari anak-anak yang soleh.
Tidak dinafikan bahawa apabila berlakunya kematian
orang yang disayangi, kita akan merasa sedih dan berdukacita, lebih-lebih lagi
jika orang yang pergi itu merupakan ahli keluarga terdekat seperti ibu, suami,
isteri, anak atau adik-beradik. Kesedihan yang tidak tertahan itu pula
selalunya dizahirkan dengan tangisan dan linangan air mata. Perkara tersebut
tidaklah dilarang tetapi jangan pula terlalu mengikut perasaan sehingga
tangisan itu disertai dengan meratap atau menjerit-jerit ataupun menangis sambil
menarik-narik rambut, memukul-mukul pipi dan dada atau mengoyak-goyak baju dan
lain-lain kerana hukum berbuat sedemikian adalah haram. Perbuatan tersebut
merupakan amalan yang biasa dilakukan pada zaman jahiliah. Selain itu kita juga
dilarang menangisi orang yang telah meninggal dunia itu sambil meratap dan
memanggil-manggil dengan ucapan: "Wahai kemuliaanku! Wahai orang yang baik
pekertinya! Wahai kesayanganku!" dan seumpamanya kerana perbuatan
sedemikian hanya akan menyebabkan mayat tersebut terseksa. Rasulullah Sallahu
Alaihi Wasalam bersabda dalam sebuah hadith maksudnya:
"Dari Umar bin Uthman,
bersabda Rasulullah Sallahu Alaihi Wasalam: Sesungguhnya mayat itu terseksa
dengan sebab tangisan (ratapan) ahli keluarga keatasnya".
Oleh itu jika kita menyayangi orang yang telah
meninggal dunia, kita hadiahkanlah mereka dengan bacaan ayat-ayat suci
Al-Qur'an serta berdoa semoga roh mereka dicucuri rahmat dan terselamat dari
azab kubur, dan bukannya meratap atau melakukan apa jua perbuatan yang boleh
menyebabkan roh mereka terseksa.
Ahli jemaah yang dirahmati Allah,
Pada kebiasaannya di negara kita, setelah selesai
majlis pengkebumian, maka ahli keluarga si mati akan mengadakan majlis tahlil
atau kenduri arwah dengan menjemput orang-orang hadir ke majlis tersebut yang
biasanya terdiri daripada ahli keluarga terdekat, sanak saudara dan jiran
tetangga bagi membacakan ayat-ayat Al-Qur'an seperti surah yaasin, bertahlil
dan sebagainya untuk dihadiahkan pahalanya kepada orang yang telah kembali
kerahmatullah.
Namun apa yang perlu diingat ialah apabila majlis
telah dimulakan dengan bacaan Yaasin, bertahlil, berdoa dan sebagainya,
sebaiknya semua ahli keluarga dan yang hadir turut serta membaca Yaasin,
bertahlil dab berdoa. Dengan demikian semoga hajat ahli keluarga yang mengadakan
majlis tersebut akan tercapai kerana tujuan majlis kenduri arwah itu diadakan
adalah untuk memohon rahmat kepada Allah Subahanahu Wata'ala bagi orang yang
telah meninggal dunia itu. Pada kebiasaannya selepas acara tersebut semua
tetamu yang hadir akan dijemput untuk menikmati jamuan yang telah disediakan
oleh tuan rumah.
Walau bagaimanapun, supaya tujuan majlis tersebut
selaras dengan kehendak agama, janganlah pula kenduri arwah tersebut dianggap
sebagai suatu perkara hak bagi si mati yang mesti ditunaikan oleh keluarganya.
Begitu juga dengan hidangan jamuan itu jangan pula dianggap sebagai suatu
perkara agama yang disyariatkan. Perlu difahami, bahawa tidak menjadi kesalahan
atau dosa jika ahli keluarga si mati tidak mengadakan majlis tersebut kerana
perkara tersebut bukanlah suatu paksaan atau kewajipan untuk mengadakannya,
lebih-lebih lagi bagi mereka yang tidak berkemampuan. Firman Allah Subahanahu
Wata'ala dalam surah Al-Baqarah ayat 286 tafsirnya:
"Allah tidak membebani
seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya"
Walaubagaimanapun, sudah menjadi kelaziman di
negara kita ini mengadakan majlis dan jamuan kenduri arwah. Amalan ini
merupakan amalan yang mulia dan untuk diteruskan kerana ia bermanfaat bukan
hanya untuk roh si mati, tetapi juga bermanfaat kepada orang yang masih hidup.
Disamping itu, tidak dinafikan ramai yang bersikap
perihatin dan pemedulian terhadap saudara-saudara yang ditimpa kesusahan
terutamanya bagi mereka yang menghadapi kematian ahli keluarga iaitu dengan
menhulurkan bantuan berupa kewangan yang pada kebiasaannya diberikan ketika
datang menziarahi keluarga si mati sebagai tanda simpati. Budaya seumpama ini
adalah sangat baik dan wajar kita amalkan dan kekalkan lebih-lebih lagi
perbuatan tersebut merupakan antara amalan yang sangat digalakkan oleh agama
Islam serta dijanjikan balasan pahala yang besar dari Allah Subahanahu
Wata'ala. Melalui pemberian atau sedekah itu juga sudah tentu sedikit sebanyak
dapat meringgankan beban keluarga si mati lebih-lebih lagi jika ahli keluarga
tersebut adalah dari kalangan orang yang susah dan berpendapatan kecil.
Ahli jemaah yang dirahmati Allah,
Sebagaimana yang kita ketahui bahawa orang yang
telah meninggal dunia itu masih dapat menerima ganjaran pahala dan rahmat dari
amal kebajikan yang dilakukan oleh orang-orang yang masih hidup untuk mereka.
Oleh itu Islam sangat menggalakkan orang hidup terutama kepada anak-anak dan
keluarga terdekat supaya sentiasa membaca Al-Qur'an, doa dan zikir dan
menghadiahkan pahala bacaan tersebut kepada ahli keluarga dan sanak saudara
yang telah meninggal dunia denga harapan semoga roh mereka akan dihindarkan dan
diringankan daripada mendapat azab kubur serta mendapat rahmat, ketenangan dan
kebahagiaan. Perlu diambil perhatian bahawa amalan bertahlil eloklah sentiasa
diamalkan dan tidak terhad pada waktu yang tertentu sahaja seperti ketika
mengadakan majlis kenduri arwah, kerana hakikatnya mereka yang telah meninggal
dunia itu menunggu-nunggu pahala yang disedekahkan kepada mereka.
Begitu juga dengan amalan sedekah di mana jika
pahala amalan tersebut diniatkan untuk orang yang telah meninggal dunia maka
mereka akan mendapat daripada amalan tersebut, sebagaimana kisah dalam sebuah
hadith yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari bahawa Saad bin Ubadah saudara
Bani Saidah, pada masa kematian ibunya, dia tidak berada disisinya, lalu beliau
datang kepada Nabi Sallahu Alaihi Wasalam dan bertanya adakah sesuatu boleh
memberi manfaat kepada ibunya jika dia mensedekahkan sesuatu itu untuknya.
Baginda bersabda: "Ya". Saad berkata: "Maka sesungguhnya aku
bersaksi kepada engkau bahawa kebunku yang berbuah itu adalah sedekah untuk
ibuku".
Muslimin yang dirahmati Allah,
Sebagaimana kita ketahui bahawa tiada siapapun
uang mengetahui bila ajalnya akan tiba. Oleh itu sebagai orang yang beriman
kita hendaklah mempersiapkan diri dengan amal ibadah sebagai bekal untuk
menghadap Allah Subahanahu Wata'ala kelak. Selain itu janganlah kita melupakan
kaum keluarga serta saudara kita yang telah kembali kerahmatullah dengan
menghadiahkan kepada mereka bacaan ayat-ayat Al-Qur'an, doa dan sebagainya.
Mudah-mudahan Allah Subahanahu Wata'ala menerima amalan yang kita lakukan itu
dan dengan demikian roh mereka dicucuri rahmat sehingga kehari kiamat. Amin Ya
Rabbal Alamin.
Surah Al-Hasyir ayat 10 tafsirnya:
"Dan orang-orang Islam
yang datang kemudian daripada mereka berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami!
Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam
iman, dan janganlah dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap
orang-orang yang beriman. Wahai tuhan kami sesungguhnya engkau maha penyentuan
lagi maha penyayang".