Muslimin yang dirahmati Allah,
Pada hari Jumaat yang mulia ini, marilah kita
meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan penuh
keyakinan dan keikhlasan dalam melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan
segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita tergolong di kalangan orang-orang yang
mendapat rahmat Allah Subhanahu Wata'ala di dunia dan di akhirat.
Hari Jumaat merupakan hari yang sangat istimewa bagi umat Islam, hari yang
penuh dengan keberkatan dan kemuliaan dan sebagai hari melipat gandakan amal
ibadat kepada Allah Subhanahu Wata'ala. Keistimewaan ini ditambah lagi dengan
pensyariatan sembahyang Jumaat yang wajib dilaksanakan secara berjemaah.
Sesungguhnya sembahyang Jumaat mempunyai berbagai keistimewaan yang menyebabkan
ia sangat penting untuk dilaksanakan oleh setiap umat Islam yang mencukupi
syarat-syaratnya. Ia bukan sahaja berbentuk ibadat seorang mukmin kepada
Tuhan-Nya, bahkan ia juga merupakan suatu perhimpunan mingguan yang memberikan
manfaat yang amat besar kepada seluruh umat Islam untuk kehidupan di dunia dan
di akhirat. Di antara manfaat tersebut antara lain :
- Mengukuhkan ikatan silaturahim dan kasih sayang sesama Islam, di mana ia
merupakan salah satu unsur terpenting untuk menjamin kekuatan umat Islam.
- Memberi ilmu, tunjuk ajar serta nasihat yang berguna untuk seluruh jemaah
melalui khutbah, di mana ia merupakan satu peluang bagi setiap individu
melaksanakan muhasabah diri sendiri.
Memandangkan betapa pentingnya sembahyang Fardhu Jumaat, Rasulullah Sallallahu
Alaihi Wasallam amat mengambil berat terhadapnya sehingga Baginda telah
memberikan amaran keras kepada mereka yang mengabaikan sembahyang Fardhu
Jumaat, sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam maksudnya :
"Dari Abil Jahdid Dhamri katanya, telah bersabda Nabi Sallallahu Alaihi
Wasallam : Barangsiapa secara mudah meninggalkan sembahyang Jumaat sebanyak
tiga kali berturut-turut, Allah Subhanahu Wata'ala akan menjadikan hatinya
keras untuk menerima kebenaran". (Riwayat Al-Imam Ibnu Majah)
Muslimin yang diberkati Allah,
\Demikianlah betapa istimewanya hari Jumaat bagi umat Islam. Dalam hal ini,
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam telah menganjurkan agar umatnya melakukan
beberapa ibadat sunat pada hari Jumaat yang dapat menambahkan lagi ketakwaan
kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala. Di antara ibadat tersebut ialah :
Pertama : Membaca Surah As Sajdah di dalam sembahyang Fardhu Subuh dan diiringi
dengan sujud tilawah. Sesungguhnya tiada ganjaran yang lebih besar bagi mereka
yang melakukan ibadat ini melainkan syurga Allah Subhanahu Wata'ala yang
terbentang luas, sebagaimana yang disebutkan di dalam sebuah hadis yang
bermaksud :
"Dari Abi Hurairah Radiallahuanhu katanya : Telah bersabda Rasulullah
Sallallahu Alaihi Wasallam : Apabila anak cucu Adam Alaihissalam membaca Surah
As Sajdah kemudian mereka sujud kepada Allah, syaitan mengasingkan dirinya dari
majlis itu dalam keadaan menangis sambil berkata : Celakalah aku, anak cucu
Nabi Adam Alaihissalam di perintah untuk sujud kepada Allah, maka bagi mereka
itu balasan syurga sedangkan aku juga disuruh untuk sujud kepada Allah, tetapi
aku ingkar, oleh itu untuk-ku api neraka". (Hadis riwayat Imam Abu Daud)
Kedua : Membaca Surah Al Kahfi pada malam Jumaat atau pagi hari Jumaat. Mereka
yang membaca surah ini akan mendapat petunjuk dan pimpinan daripada Allah
Subhanahu Wata'ala di sepanjang minggu tersebut dan akan memperolehi cahaya,
sebagaimana yang disebutkan di dalam hadis maksudnya:
"Dari Abi Sahid Al Khudri katanya : Rasulullah Sallallahu Alaihi
Wasallam bersabda : Barangsiapa yang membaca Surah Al Kahfi pada malam Jumaat
nescaya Allah Subhanahu Wata'ala akan menyinari dirinya dengan cahaya antara
dua Jumaat". (Riwayat Al-Imam Ad-Darimi)
Ketiga : Memperbanyakkan berselawat ke atas Rasulullah Sallallahu 'Alaihi
Wasallam, sebagaimana sabda Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam yang bermaksud :
"Dari Abi Ad Darda'e katanya : Telah bersabda Rasulullah Sallallahu
'Alaihi Wasallam : Perbanyakkanlah selawat ke atas-Ku pada hari Jumaat.
Sesungguhnya ia disaksikan oleh para malaikat". (Hadis riwayat Imam Ibnu
Majah)
Muslimin yang dirahmati Allah,
Bagi mencapai matlamat agar sembahyang Fardhu Jumaat itu benar-benar dapat
mendidik jiwa orang yang menghadirinya, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam
telah menggariskan beberapa panduan yang sebaik-baiknya dilakukan oleh setiap
umat Islam iaitu :
- Sebelum pergi ke masjid, kita disunatkan mandi, membersihkan badan, memotong
kuku, memakai pakaian yang bersih dan kemas dan berwangi-wangian agar jemaah
lain yang berhampiran tidak terganggu oleh bau badan atau pakaian yang busuk.
Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda maksudnya :
"Dari Abdullah bin Umar Radiallahuanhuma, sesungguhnya Rasulullah
Sallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda : Jika seseorang daripada kamu hendak pergi
bersembahyang Jumaat, maka sunatlah ia mandi". (Riwayat Al-Imam
Al-Bukhari)
- Kita disunatkan datang awal ke masjid dan mendapatkan saf yang pertama atau
saf yang paling hadapan dan mengisi masa di dalam masjid dengan beriktikaf,
membaca Al-Qur'an, berzikir, mengerjakan sembahyang sunat dan memperbanyakkan
selawat ke atas Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.
Manakala sewaktu khutbah Jumaat dibacakan, para jemaah hendaklah menumpukan
perhatian sepenuhnya kepada khutbah tersebut. Mendengar khutbah merupakan suatu
kemestian bahkan kita dilarang melakukan ibadat sunat seperti berzikir atau membaca
Al-Qur'an ketika khatib sedang berkhutbah. Apatah lagi jika sekiranya ada di
kalangan para jemaah yang tidak mendengar khutbah seperti sibuk bercakap-cakap
atau berbual-bual atau bergurau senda, ia bukan sahaja tidak memperolehi isi
kandungan atau nasihat yang ada di dalam khutbah, malahan sembahyang Jumaatnya
penuh dengan kecacatan dan tidak sempurna, sebagaimana sabda Rasulullah
Sallallahu 'Alaihi Wasallam yang bermaksud :
"Dari Ali bin Abi Talib Radiallahuanhu katanya, Rasulullah Sallallahu
'Alaihi Wasallam bersabda : Barangsiapa yang bercakap-cakap pada hari Jumaat
ketika imam sedang membaca khutbah dan sesiapa yang melarang kepada rakannya
yang bercakap, maka tiadalah Jumaat baginya". (Hadis riwayat Imam Ahmad)
Muslimin yang dirahmati Allah,
Sesungguhnya sikap tidak menumpukan perhatian ketika khatib menyampaikan
khutbah adalah merupakan sikap yang sangat buruk. Ia menyerupai sikap yang
pernah ditunjukkan oleh orang-orang kafir Qurais di zaman dahulu. Firman Allah
Subhanahu Wata'ala dalam Surah Fush Shilat ayat 26-27 tafsirnya :
"Dan orang-orang kafir berkata : Janganlah kamu mendengar akan
Al-Qur'an ini dan tentanglah dia dengan nyanyian-nyanyian dan jeritan-jeritan
riuh rendah serta tepuk sorak supaya kamu berjaya menganggu bacaan atau
menenggelamkan suara pembacanya. Maka demi sesungguhnya, kamu akan merasakan
kepada orang-orang yang kafir itu azab yang seberat-beratnya dan Kami akan
membalas mereka dengan seburuk-buruk balasan bagi apa yang mereka telah
kerjakan".
Oleh yang demikian, sayugia diingatkan agar kita sentiasa menumpukan perhatian
terhadap khutbah yang dibaca dan disampaikan kerana amalan tidak memberikan
tumpuan terhadap khutbah adalah menyerupai dengan pengabaian terhadap bacaan
Al-Qur'an kerana salah satu dari rukun khutbah adalah membaca Al-Qur'an.
Justeru itu, apabila ayat Al-Qur'an atau khutbah dibacakan, maka hendaklah kita
diam dan menumpukan perhatian terhadapnya.
Apa yang mendukacitakan terdapat segelintir daripada kita yang lebih suka
mendengar khutbah melalui radio di dalam kereta dan tidak mengambil peluang
beriktikaf sambil mendengar khutbah di dalam masjid. Oleh itu, untuk
mendapatkan kesempurnaan sembahyang Fardhu Jumaat para jemaah hendaklah berada
di masjid ketika khutbah dibacakan dan menumpukan sepenuh perhatian kepada
khutbah tersebut. Selain itu ada pula yang langsung tidak mendengar khutbah
kerana lewat hadir ke masjid. Tidak dinafikan ada di antara mereka ini yang
bertugas, akan tetapi adalah elok bersiap lebih awal demi mendapatkan kelebihan
dan keberkatan daripada Allah Subhanahu Wata'ala.
Sama-samalah kita berdoa moga-moga Allah Subhanahu Wata'ala sentiasa memberikan
rahmat, taufik dan hidayah-Nya kepada kita semua dan agar kita memperolehi
pahala sembahyang Fardhu Jumaat dengan sempurna dan tiada cacat cela. Amin ya
Rabbal'alamin.
Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al A'raaf ayat 204 tafsirnya :
"Dan apabila Al-Qur'an itu dibacakan, maka dengarlah akan ia serta
diamlah dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya supaya kamu beroleh
rahmat".