Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Khutbah

KHUTBAH AIDILFITRI PERTAMA DAN KEDUA

​Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar,
Saudara-saudara umat Islam yang dikasihi,
Setelah sebulan menyempurnakan tuntutan ibadah puasa, umat Islam kini menyambut Aidilfitri sebagai tanda kemenangan menundukkan hawa nafsu di sepanjang bulan Ramadhan.
Hakikat perayaan Aidilfitri adaah sebagai tanda kita telah kembali kepada fitrah asal. Bagi mereka yang benar-benar berjaya menjadikan Ramadhan sebagai medan didikan kerohanian, maka sudah tentu ia akan dapat mengecap perubahan hidup daripada kurang baik kepada yang lebih baik.
Perubahan ini dicapai melalui amalam bersungguh-sungguh melawan hawa nafsu sehingga sifat-sifat keji yang bersarang di dalam hati dapat dibuang dan diganti dengan sifat-sifat yang murni di dalam jiwa.
Oleh yang demikian, Aidilfitri wajar disambut dengan penuh kegembiraan dalam suasana keimanan yang kukuh. Sambutan Aidilfitri mestilah dilakukan dalam konsep syariat Islam. Rasa kehambaan dan ketaqwaan yang dibina di bulan Ramadhan janganlah dicemari dengan perbuatan dan amalan-amalan yang boleh merosakkan kembali ketaqwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan menjelang 1 Syawal.
Justeru, kegembiraan ini mestilah dizahirkan dengan mengagungkan Allah Subhanahu Wata'ala dengan bertakbir, bertahmid dan bertasbih. Ia sememangnya menjadi lambang perubahan diri untuk terus istiqamah melakukan kebaikan dan menjauhi kemunkaran.
Walaupun Aidilfitri yang disyariatkan hanya pada satu Syawal, namun menyambut hari raya dengan melakukan ziarah menziarahi pada sepanjang Syawal merupakan kebiasaan yang baik dan ia diharuskan dalam Islam. Menziarahi dan memuliakan tetamu adalah suatu yang dianjurkan oleh Nabi Sallallahu Alaihi Wassallam.
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar,
Saudara-saudara umat Islam yang dikasihi,
Dalam kita ziarah menziarahi Aidilfitri ini, perkara yang utama kita lakukan adalah bermaaf-maafan. Mohon maaf zahir dan batin, itulah perkataan yang sering kita ucapkan dan dengar apabila berkunjung ke rumah saudara-mara dan sahabat handai. Betapa indahnya Islam memberikan kesempatan kepada umatnya untuk saling bermaafan. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Al-Baqarah ayat 237 tafsirnya:
“Dan perbuatan bermaaf-maafan (halal-menghalalkan) itu lebih hampir kepada taqwa."
Kita selaku makhluk Allah Subhanahu Wata'ala tidak akan terlepas dari melakukan kesilapan dan kesalahan. Bermaaf-maafan adalah antara sifat terpuji yang perlu dilakukan sepanjang masa. Sekiranya kita melakukan kesilapan terhadap orang lain, segeralah memohon kemaafan daripada mereka, kerana perbuatan yang menyakiti hati orang lain, boleh menyebabkan berdendamnya seseorang dalam hubungan kita sesama manusia. Tambahnya pula, kita tidak tahu bila ajal akan menjemput kita.
Begitu juga jika seseorang telah melakukan hal yang menyakitkan hati pada diri kita setentunya sukar untuk diterima apa lagi untuk dimaafkan. Namun kita seharusnya menyedari dan cermin diri adakalanya kita sendiri telah melakukan banyak kesilapan dan melakukan dosa.
Kekhilafan diri sebegini memungkinkan kita untuk memberikan kemaafan kerana menyedari bahawa kita hanya manusia biasa. Kita hendaklah berusaha agar kita menjadi seorang pemaaf dan saling berlapang dada untuk menghulurkan kemaafan walaupun tidak dipinta. Bersedialah untuk memaafkan kesalahan dan keterlanjuran orang terhadap kita. Allah Subhanahu Wata'ala berfirman dalam surah Asy-Syuraa ayat 40 yang tafsirnya:
“Dan balasan sesuatu kejahatan adalah kejahatan yang setimpal dengannya, maka sesiapa yang memaafkan dan berbuat baik (kepada orang yang menzaliminya) maka pahalanya dijamin oleh Allah. Sesungguhnya dia tidak menyukai orang-orang yang zalim."
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar,
Saudara-saudara umat Islam yang dikasihi,
Sesungguhnya Allah Subhanahu Wata'ala Maha Pemaaf dan Maha Pengampun, dan memerintahkan hambaNya agar selalu memaafkan kesalahan orang, sebagaimana firmannya dalam surah Al-A'raf ayat 199 tafsirnya:
“Jadilah seorang pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang makruf serta berpalinglah daripada orang-orang yang jahil."
Begitu juga Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam, baginda adalah seorang yang sangat pemaaf dan berlapang dada. Hal ini diceritakan dalam sebuah hadis, daripada Abu Ishak Radiallahu Anhu ia berkata, aku mendengar Abu Abdullah Jadaliya Radiaallahu Anhu berkata: Aku pernah bertanya kepada Aisyah Radiallahu Anha mengenai akhlak Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam, maka ia pun menjawab: Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam tidak melakukan dan mengucapkan perkara yang buruk. Baginda juga tidak berteriak di pasar dan tidak akan membalas kejahatan dengan kejahatan. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam akan memaafkan dan berlapang dada. (Hadis Riwayat Imam Termizi)
Dalam hadis yang lain, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam menjelaskan bahawa sifat pemaaf itu merupakan antara iman yang paling utama. Daripada Makil bin Yasar Radiallahu Anhu, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda yang maksudnya: Iman yang paling utama adalah sabar dan memaafkan. (Hadis Riwayat Imam Bukhari)
Sesungguhnya memaafkan itu bukanlah bererti satu tanda kelemahan ataupun kekalahan bahkan Allah Subhanahu Wata'ala akan menambah kemuliaan kepada orang yang pemaaf itu. Daripada Abu Hurairah Radiallahu Anhu, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda yang maksudnya: Dan tidaklah Allah menambah kepada seorang hamba yang pemaaf kecuali kemuliaan. (Hadis Riwayat Imam Muslim)
Sebagai orang Islam, kita hendaklah sentiasa mencontohi sifat-sifat dan akhlak Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam. Oleh itu, jadikanlah sifat pemaaf dan berlapang dada itu sebagai amalan dan sekaligus menerapkannya dalam kehidupan seharian kita.
Maksud memaafkan itu ialah mengambil sikap berlapang dada dan meninggalakn perkara-perkara yang membawa kepada permusuhan dan pertelingkahan antara satu sama lain. Yakinlah jika kita memaafkan dan berlapang dada, ia akan memberi ketenangan kepada diri dan membuang sifat hasad dengki yang membinasakan hati serta perasaan dendam yang merosakkan diri sendiri.
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar,
Saudara-saudara umat Islam yang dikasihi,
Sesungguhnya dosa setiap manusia itu tidak akan diampunkan oleh Allah Subhanahu Wata'ala kecuali setelah kita memohon kemaafan daripada orang yang pernah kita sakiti ataupun zalimi. Oleh yang demikian, mohonlah kemaafan sebelum terlambat. Janganlah kita malu ataupun sombong untuk memohon maaf dan mengakui segala kesalahan ataupun kesilapan yang telah kita lakukan.
Bersempena Aidilfitri yang indah dan mulia yang kita raikan ini, marilah kita saling memohon dan menerima kemaafan, pujuklah hati untuk melupakan dan melenyapkan segala kemarahan dan dendam yang tersimpan selama ini. Mudah-mudahan dengan yang demikian, kita akan mendapat keampunan Allah Subhanahu Wata'ala, dipermudahkan segala urusan, hidup dalam keadaan yang harmoni, bersatu-padu dan berkasih sayang, Aamiin Ya Rabbal Alamin.
Surah Ali-Imran ayat 134 tafsirnya:
“(Iaitu) orang-orang yang membelanjakan (hartanya) pada masa senang dan susah dan orang-orang yang menahan kemarahannya serta memaafkan (kesalahan) orang. Dan Allah Mengasihi orang-orang yang berbuat kebaikan."


KHUTBAH AIDILFITRI KEDUA
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar,
Saudara-saudara umat Islam yang dikasihi,
Di hari yang bersukut baik lagi mulia ini, marilah kita sama-sama merafakkan syukur kehadrat Allah Subhanahu Wata'ala di atas limpah rahmatNya mengurniakan kepada kita nikmat Islam dan iman, sehingga dengan itu, jadilah kita, para hamba yang beruntung dapat menunaikan segala perintahNya termasuk perintah berpuasa. Sesungguhnya hanya bagi orang yang benar-benar beriman dan bertaqwa sahajalah yang dapat melaksanakan ibadah puasa dengan sempurna.
Hari ini adalah hari kemenangan bagi kita semua iaitu kemenangan dalam jihad menentang hawa nafsu ketika melakukan ibadah puasa di bulan Ramadhan. Oleh yang demikian, amalan berpuasa ini perlulah kita teruskan di bulan Syawal dengan melakukan puasa enam yang mana pahalanya menyemai dengan puasa sepanjang tahun.
Sebagaiman yang tidak ketahui, puasa enam itu boleh dilakukan secara berturut-turut ataupun berselang hari. Daripada Abu Ayub Annasari Radiallahu Anhu, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda yang maksudnya: Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan, kemudian diikuti dengan puasa enam hari pada bulan Syawal, seolah-olah dia berpuasa sepanjang tahun. (Hadis Riwayat Imam Muslim)
 Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar,
Saudara-saudara umat Islam yang dikasihi,
Bulan Ramadhan mendisiplinkan dan mendidik diri kita mengawal hawa nafsu serta menjaga diri daripada segala bentuk maksiat seperti maksiat mata, maksiat telinga dan maksiat lidah agar tidak merosakkan ibadah puasa. Oleh itu, segala didikan yang telah kita perolehi dan yang telah kita lakukan di sepanjang bulan Ramadhan itu hendaklah diteruskan di bulan-bulan yang lain secara istiqamah.
Dalam keseronokkan kita meraikan hari raya, satu aspek yang tidak kurang pentingnya untuk dihayati adalah menyambutnya dengan sederhana dan berpada-pada. Oleh yang demikian, walaupun kita disunatkan berhias dan bergembira pada hari raya akan tetapi ini bukan bermakna kita boleh berlebih-lebih dan melampaui batas sehingga membebankan diri sendiri.
Ingatlah, janganlah kita terlalu mengikut kehendak hawa nafsu sehingga menyusahkan diri sendiri dan melakukan pembaziran.
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar,
Saudara-saudara umat Islam yang dikasihi,
Sambutlah hari raya secara sederhana dan berhemah. Sesungguhnya agama Islam sangat menganjurkan umatnya untuk sentiasa mengamalkan kesederhanaan dan melarang melakukan pembaziran.
Allah Subhanahu Wata'ala mengingatkan bahawa orang yang membazir itu adalah bersaudara dengan syaitan. Allah Subhanahu Wata'ala berfirman dalam surah Al-Israa' ayat 26-27 tafsirnya:
“Dan berikanlah kaum kerabat haknya (kebaikan dan hubungan silaturrahim) dan begitu juga orang miskin serta orang musafir (yang terputus perbelanjaannya iaitu zakat dan sedekah) dan janganlah engkau membazir (membelanjakan hartamu pada jalan yang menyalahi syarak). Sesungguhnya orang-orang yang membazir (membelanjakan harta pada jalan yang menyalahi syarak) itu ialah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat kufur kepada Tuhannya."
Akhirnya, semoga Sambutan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini dipenuhi dengan rasa kesyukuran, kegembiraan dan rahmat Allah Subhanahu Wata'ala. Mudah-mudahan rakyat dan penduduk di negara ini sentiasa berada dalam keadaan sihat 'afiyat dan di bawah inayah dan perlindungan Allah yang Maha Kaya, Aamiin Ya Rabbal Alamin.
 ​

Attachments