Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Khutbah

PENGORBANAN IBU BAPA TERHADAP ANAK-ANAK

​Jemaah yang dirahmati Allah,

Bertaqwalah kita ke hadrat Allah SWT dengan meningkatkan keimanan kepadaNya. Sesungguhnya orang yang paling mulia disisi Allah SWT ialah orang yang paling bertaqwa. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang sentiasa mengingati Allah SWT beroleh kejayaan dan keselamatan di dunia dan juga di akhirat. 

Jemaah yang dirahmati Allah,

Alhamdulilah, kita masih berada dalam suasana Aidil adha iaitu di hari-hari tasyriq. Di seluruh dunia umat Islam sibuk melaksanakan ibadah korban. Begitu juga di negara kita, ibadah korban masih giat dilaksanakan sama ada oleh pihak masjid, kampung, mukim, persatuan, jabatan, kementerian atau oleh pihak persendirian dan sebagainya.

Sebagaimana yang kita ketahui, ibadah korban adalah salah satu syariat dari Nabi Ibrahim AS yang diperintahkan oleh Allah SWT di dalam mimpinya supaya baginda mengorbankan puteranya Nabi Ismail AS yang tercinta. Kisah kesabaran dan ketaatan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail AS dalam mentaati apa yang telah diperintahkan oleh Allah SWT itu adalah sangat dikagumi dan wajar kita ambil iktibar.

Nabi Ismail AS adalah seorang anak yang soleh, baginda rela dijadikan korban demi mentaati perintah Allah SWT dan mentaati ayahandanya. Ketaatan baginda hendaklah kita contohi dalam berbakti kepada orang tua kita. Sesungguhnya Allah SWT mewajibkan kita untuk taat dan berbakti kepada kedua ibu bapa yang telah menjaga dan membesarkan kita. Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Baqarah ayat 83:

Tafsirnya: "Dan (ingatlah wahai Nabi Muhammad) ketika Kami mengambil janji setia dengan Bani Israel (dengan berfirman): Janganlah kamu menyembah melainkan Allah dan berbuat baiklah kepada ibu bapa..."

Jemaah yang dirahmati Allah,

Kita tahu betapa ibu bapa amat menyayangi anak-anak mereka. Kasih sayang dan pengorbanan ibu bapa dalam menjaga kita merupakan jasa yang tidak mungkin terbalas. Ibu bapa menjaga kesihatan dan keselamatan anak-anak melebihi diri mereka sendiri. Apabila anak sihat dan gembira, hati ibu bapa turut gembira. Segala kesusahan dan kepayahan dalam menjaga dan membesarkan anak-anak diharungi dengan sabar. 

Sesungguhnya melihat anak membesar sehingga dapat hidup berdikari merupakan suatu kebanggaan kepada ibu bapa. Ibu bapa tidak pernah meminta balasan atas pengorbanan mereka terhadap anak-anak, cukup bagi mereka melihat anak-anak berjaya dan bahagia, maka mereka juga turut merasa bahagia. Cukuplah jika anak-anak berbakti dan menghormati mereka.

Berbakti kepada orang tua adalah wajib. Ketahuilah, bahawa berbuat baik kepada ibu bapa mampu mengangkat darjat seorang anak ke makam yang tinggi di sisi Allah SWT .

Ini jelas terbukti sebagaimana sebuah kisah yang tercatat dalam kitab sahih Muslim, Husair bin Jabir berkata, biasanya Umar bin Al-Khattab RA apabila datang pasukan bantuan tentera dari Yaman dia akan bertanya kepada mereka jika ada di kalangan mereka seorang yang bernama Uwais bin Amir. Sehingga suatu ketika Umar telah bertemu dengan Uwais bin Amir lalu beliau bertanya: "Adakah awak Uwais bin Amir?". Orang itu menjawab: "Ya!" Umar bertanya lagi, "Adakah awak dulunya pernah mendapat penyakit sopak lalu sembuh kecuali satu bahagian sebesar duit dirham?" Orang itu menjawab, "Ya!" Umar bertanya lagi "Adakah kamu memiliki ibu?" Orang itu menjawab "Ya!" lalu Umar berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Akan datang kepada kalian Uwais bin Amir bersama pasukan bantuan tentera dari Yaman, dia daripada Marad, kemudian daripada Qaran. Dia dahulunya memiliki penyakit sopak lalu telah sembuh daripadanya kecuali satu bahagian sebesar satu dirham. Dia memiliki seorang ibu yang ia selalu berbakti kepadanya, seandainya ia bersumpah dengan nama Allah nescaya Allah akan memakbulkan sumpahnya itu. Jika kamu mampu memintanya maka lakukanlah". Berkata Umar: "Mintalah ampun untukku". Maka Uwais meminta ampun untuk Umar. 

Dari kisah tersebut dapatlah kita mengambil iktibar betapa tinggi kedudukan seorang anak yang berbakti kepada ibu bapa di sisi Allah SWT.

Oleh yang demikian, berbuat baiklah kepada ibu bapa dengan memberikan perhatian serta kasih sayang dengan sepenuh hati dan jiwa. Muliakan dan hormatilah mereka, berkatalah dengan bahasa yang lembut dan sopan, ikutlah nasihat mereka, sentiasalah menyenangkan hati dan mengelakkan diri daripada menyakiti hati mereka serta laksanakanlah perintah ibu bapa selagi tidak bercanggah dengan ajaran Islam.
 
Selain itu, kita hendaklah juga sentiasa mendoakan kebaikan dan keampunan untuk ibu bapa kita kerana doa seorang anak untuk orang tuanya adalah salah satu amal jariah yang tidak terputus sama ada mereka masih hidup ataupun telah meninggal dunia.

Ingatlah, bahawa sesungguhnya keredhaan Allah SWT itu terletak pada keredhaan ibu bapa. Manakala kemurkaan Allah SWT pula terletak pada kemurkaan ibu bapa ,sebagaimana dalam hadis Rasulullah SAW Daripada Abdullah bin Amru daripada Nabi SAW baginda bersabda:

Maksudnya: Keredhaan Allah terletak pada keredhaan ibu bapanya. Dan kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan ibu bapanya.  (Hadis riwayat Imam Tirmizi)

Jemaah yang dirahmati Allah,

Apabila ibu bapa telah tua dan lanjut usia, sudah tentu kesihatan mereka berkurang bahkan ada yang sudah tidak berupaya menguruskan diri sendiri. Terdapat sebilangan orang beranggapan bahawa keadaan ibu bapa yang sedemikian merupakan satu beban sehingga timbul rasa berat untuk menjaga dan memeduli mereka. Tidakkah terlintas dalam ingatan anak-anak akan pengorbanan ibu yang mengandungkan mereka, melahirkan, menyusukan dan menjaga dengan sedaya upaya untuk membesarkan mereka. 

Ibu bapa bersusah payah mencari rezeki, menyediakan tempat tinggal, memberikan pelajaran dan segala keperluan-keperluan lain. Patutkah seorang anak merasa terbeban untuk menjaga ibu bapa mereka pada saat mereka memerlukan kasih sayang di penghujung usia? Perbuatan sedemikian adalah perbuatan derhaka yang termasuk dalam dosa besar. 

Kedua ibubapa merupakan jalan atau wasilah untuk memasuki syurga Allah SWT Oleh itu, jika kita berbakti, berbuat baik kepada keduanya dan mentaati perintah mereka dalam perkara-perkara yang makruf dan tidak bertentangan dengan agama, maka Allah SWT akan mengurniakan ganjaran syurga. Daripada Abu Darda, Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: Orang tua adalah pintu syurga paling tengah. Kamu boleh sia-siakan pintu itu, atau kamu menjaganya.  (Hadis riwayat Imam Tirmizi)

Jemaah yang dirahmati Allah,

Sesungguhnya setiap ibu bapa sudah tentu menginginkan dan mengharap agar anak mereka menjadi anak yang soleh. Anak yang soleh adalah anak yang taat kepada perintah Allah SWT dan Rasul-Nya, dan anak yang taat serta berbakti kepada ibu bapanya. 

Jika kita renung kembali kisah ketaatan Nabi Ismail AS terhadap ayahandanya, tidak dapat diragukan lagi bahawa itu adalah hasil dari didikan yang sempurna oleh ayahanda dan bonda Nabi Ismail AS Sesungguhnya pendidikan yang sempurna amat mustahak diberikan kepada anak-anak, antaranya ialah dengan memberikan ilmu agama serta mendidik mereka dengan menerapkan adab dan akhlak yang mulia. Jika jiwa anak-anak itu telah dididik dan disemai dengan ajaran agama Islam yang kuat, insyaa Allah anak-anak akan menjadi anak yang soleh dan beriman, berbakti kepada agama, ibu bapa, masyarakat, raja dan negara serta mendapat kejayaan hidup di dunia dan di akhirat. Amin Ya Rabbal'alamin.

Tafsirnya: “Dan Kami memerintahkan manusia supaya berbuat baik kepada ibu bapanya, ibunya telah mengandungkannya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan dan tempoh menghentikan penyusuannya dalam dua tahun, (dengan demikian): “Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada ibu bapamu. Kepada Aku jualah tempat kembali”.{ سورة لقمان آية : 14 }


Attachments