Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Khutbah

BAHAYA DAN MUDHARAT TABIAT MEROKOK

Jemaah yang dirahmati Allah,

Bertaqwalah kita ke hadrat Allah SWT dengan meningkatkan keimanan kepadaNya. Sesungguhnya orang yang paling mulia disisi Allah SWT ialah orang yang paling bertaqwa. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang sentiasa mengingati Allah SWT beroleh kejayaan dan keselamatan di dunia dan juga di akhirat.

Jemaah yang dirahmati Allah,

Agama Islam melarang umatnya melakukan perkara-perkara yang boleh memberi kesan yang tidak baik pada kesihatan. Islam juga telah lebih awal membimbing umatnya supaya memastikan kesihatan mereka berada dalam keadaan yang sentiasa baik, iaitu dengan menghindari dari melakukan apa-apa jua yang boleh memudharatkan, lebih-lebih lagi kepada nyawa.

Perkara menjaga nyawa adalah salah satu dari lima perkara asasi untuk mencapai mashlahat dunia dan juga akhirat selain menjaga agama, menjaga akal, menjaga keturunan dan menjaga harta. Semua ini wajib dilindungi. Jangan ada satupun yang diabaikan sehingga memungkinkannya terjejas ataupun tercedera. Inilah ajaran agama kita.

Adapun antara amalan buruk yang boleh memudharatkan kesihatan tubuh badan dan nyawa itu adalah merokok. Bahaya dan mudharat yang disebabkan oleh rokok telah diakui oleh pakar-pakar kesihatan. Oleh sebab itu, pelbagai usaha telah dibuat oleh pihak yang berkenaan bagi menghindarkan manusia daripada mendapat mudharat yang disebabkan oleh rokok dan merokok. 

Jemaah yang dirahmati Allah,

Ancaman rokok bukan saja terbatas kepada perokok itu sendiri, iaitu perokok aktif, bahkan ia juga menular kepada orang yang tidak merokok yang terhidu asap rokok, atau lebih dikenali sebagai perokok pasif.

Seluruh kajian yang dijalankan oleh para pakar perubatan, sama ada pakar Islam atau bukan Islam mengenai rokok, telah menemui natijah yang sama iaitu rokok membahayakan kesihatan.   Menurut fatwa Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam dalam buku yang bertajuk "Rokok Dan Merokok" ada menjelaskan seperti berikut:

"Islam sebagai agama sejahtera, agama yang sangat mengkhuatiri nyawa dan mementingkan kesihatan, keafiatan, kecergasan dan kekuatan bagi beribadat kepada Allah SWT telah menyediakan kawalan-kawalan yang boleh menjamin dan memelihara semua itu melalui hukum halal haramnya. Ia telah menetapkan satu kaedah menolak mudharat. Jika suatu benda itu nyata mendatangkan mudharat, kerosakan dan kebinasaan, maka memakannya termasuk menghisapnya hukumnya haram".

Jemaah yang dirahmati Allah,

Terdapat beberapa jumlah dalil syara' yang dikemukakan untuk menyokong ketetapan hukum pengharaman merokok, antaranya:

Pertama: Diharamkan Segala Benda Yang Menjijikkan

Dari segi kaedah permakanan, al-Qur'an telah menyediakan dasar sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah Al-A’raf ayat 157:

Tafsirnya: …Dan Dia menghalalkan bagi mereka yang baik-baik dan mengharamkan ke atas mereka (segala) yang buruk…

Kedua: Haram Memakan Atau Meminum Setiap Yang Memudharatkan.

Allah SWT melarang dengan tegas dan sekeras-kerasnya dari menghampiri apa-apa yang memudharatkan, bahkan menyuruh membanterasnya, apatah lagi yang menjadi pemusnah kepada jiwa. Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Baqarah ayat 195:

Tafsirnya: Dan belanjakanlah (harta yang ada pada kamu) pada jalan Allah dan janganlah kamu sengaja menjerumuskan diri kamu sendiri ke dalam kebinasaan. Dan berbuat baiklah kamu kerana sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang brbuat kebaikan.

Ketiga: Larangan Membelanjakan Harta Kepada Perkara Yang Tidak Bermanfaat

Islam cukup mengambil berat tentang penjagaan harta. Adapun membelanjakan harta pada perkara-perkara yang tidak mendatangkan manfaat adalah dilarang dan dianggap suatu pembaziran yang sangat ditegah oleh syara'. 

Begitu juga halnya dengan merokok yang mengundang pembuangan harta tanpa faedah. Larangan pembaziran itu jelas diperuntukkan dalam al-Qur'an, sebagaimana Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Isra ayat 26-27:

Tafsirnya:...dan janganlah engkau membazir (membelanjakan hartamu pada jalan yang menyalahi syara'). Sesungguhnya orang-orang yang membazir (membelanjakan harta pada jalan yang menyalahi syara') itu ialah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat kufur kepada Tuhannya. 

Jemaah yang dirahmati Allah,

Impak merbahaya dari tabiat merokok telah lama dikenal pasti. Berdasarkan maklumat dari Kementerian Kesihatan. Merokok merupakan faktor utama kepada penyakit-penyakit tidak berjangkit seperti kanser, penyakit jantung, strok, kencing manis dan penyakit pernafasan yang kronik. Penyakit-penyakit ini merupakan lima punca utama kematian di negara ini, di mana kanser paru-paru adalah kanser tertinggi di Negara Brunei Darussalam dan merokok adalah penyebab utama kanser paru-paru.

Kajian juga mendapati asap rokok bukan sahaja menjejaskan perokok, malah menjejaskan mereka yang tidak merokok tetapi terdedah kepada asap rokok (perokok pasif). Ini kerana kandungan asap rokok yang mengandungi nikotin, tar, karbon monoksida dan bahan-bahan kimia lain yang merbahaya.

Di seluruh dunia, penggunaan tembakau menyebabkan lebih 8 juta kematian setiap tahun. Lebih dari 7 juta kematian tersebut adalah di kalangan pengguna tembakau. Manakala 1.2 juta kematian daripadanya adalah disebabkan mereka yang tidak merokok tetapi terdedah kepada asap rokok pasif.

Kadar perokok dewasa yang berumur 18-69 tahun di Negara Brunei Darussalam adalah 19.9% bersamaan dengan lebih kurang 50-60 ribu orang warga tempatan, yang mana 36.3% adalah di kalangan lelaki dan 3.7% adalah di kalangan perempuan. Manakala, kadar perokok remaja yang berumur 13-17 tahun pula adalah 9.8%, yang mana 15.4% adalah di kalangan remaja lelaki dan 4.3% adalah di kalangan remaja perempuan. 

Walaubagaimanapun, kadar penggunaan produk tembakau secara menyeluruh adalah agak tinggi iaitu 17.8% di kalangan remaja, 26.3% adalah di kalangan remaja lelaki dan 9.4% adalah di kalangan remaja perempuan. 

Manakala penggunaan rokok elektronik atau Vape di Negara ini telah menunjukkan peningkatan dari 5.6% kepada 16.7%, yang mana majoriti penggunanya adalah terdiri dari mereka yang berumur 15-24 tahun. Kadar penggunaan rokok elektronik di kalangan remaja yang 13-15 tahun pula adalah 13.3%, 19.0% di kalangan remaja lelaki dan 7.1% di kalangan remaja perempuan.

Menurut dapatan kaji selidik, lebih dari 50% kanak-kanak di bawah umur 5 tahun di negara ini terdedah pada asap rokok pasif, di mana, 50.2% kanak-kanak mempunyai bapa yang merokok, 2.1% mempunyai ibu yang merokok, manakala 32% kanak-kanak pula mempunyai ahli keluarga lain yang merokok di rumah. Selain dari memberi kesan negatif terhadap kesihatan, statistik ini juga membimbangkan kerana kajian mendapati bahawa kanak-kanak yang mempunyai ahli keluarga yang merokok adalah berisiko tinggi untuk menjadi seorang perokok. 

Hasil kajian perbincangan kumpulan fokus yang dijalankan pada tahun 2018 di negara ini, telah mendapati 88% daripada perokok atau pengguna vape remaja adalah daripada mereka yang mempunyai ahli keluarga yang merokok atau menggunakan vape.

Alhamdulillah, Negara Brunei Darussalam bukanlah negara pengeluar tembakau. Walaubagaimanapun, permintaan dalam negara terhadap produk tembakau khususnya rokok dan rokok elektronik adalah masih tinggi.

Menurut kajiselidik STEPS NCD 2016, sebanyak 19.9% atau kira-kira 50-60 ribu rakyat di negara ini yang berumur di antara 18-69 tahun adalah perokok iaitu 36.3% di kalangan lelaki dan 3.7% di kalangan wanita. Manakala hasil dapatan dari kajiselidik Global School Health Survey 2019 pula menunjukkan 9.8% remaja yang berumur 13-17 tahun adalah perokok, 15.4% remaja lelaki dan 4.3% remaja perempuan. Pengguna rokok elektronik di kalangan remaja yang berumur 13-15 tahun pula adalah 13.3%, yang mana 19.0% adalah di kalangan remaja lelaki dan 7.1% adalah di kalangan remaja perempuan. 

Jemaah yang dirahmati Allah,

Islam adalah agama sejahtera, agama yang sangat menghargai nyawa dan mementingkan kesihatan, keafiatan, kecergasan dan kekuatan khususnya untuk beribadat kepada Allah SWT kerana itu agama Islam telah menyediakan garis panduan yang boleh menjamin dan memelihara semua itu melalui hukum halal haramnya. Jika suatu itu sabit mendatangkan mudharat maka hendaklah ia ditinggalkan, begitulah juga dalam perkara rokok, hendaklah kita jauhi dan tinggalkan.
 
Ingatlah, bahawa bahaya merokok boleh membawa maut, bukan sahaja kepada perokok, bahkan juga orang yang berhampiran dengan perokok. Oleh yang demikian, sama-samalah kita mengambil langkah yang wajar dalam membanteras dari meluasnya gejala merokok, kita berdoa semoga usaha kita diberkati Allah SWT serta kehidupan kita bahagia dan selamat di dunia dan di akhirat. Amin Ya Rabbal'alamin.

Tafsirnya: Wahai manusia! Makanlah (makanan) daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik dan janganlah kamu mengikut jejak langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang nyata bagi kamu.{ سورة البقرة آية : 168}


Attachments