Jemaah yang dirahmati Allah,
Bertaqwalah kita ke hadrat Allah SWT dengan meningkatkan keimanan kepadaNya. Sesungguhnya orang yang paling mulia disisi Allah SWT ialah orang yang paling bertaqwa. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang sentiasa mengingati Allah SWT beroleh kejayaan dan keselamatan di dunia dan juga di akhirat.
Allah SWT berfirman dalam surah An-Nisa ayat 59:
Tafsirnya: "Wahai orang-orang yang beriman! Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada Ulil Amri (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu".
Jemaah yang dirahmati Allah,
Sesungguhnya mentaati raja (ulil amri) itu adalah wajib, manakala menderhaka kepada raja pula hukumnya haram dan berdosa. Selaku rakyat dan penduduk di negara ini, sudah sepatutnya kita bersyukur kerana mempunyai seorang raja yang bijaksana, pengasih dan pemedulian. Kita zahirkan kesyukuran itu dengan menumpahkan kasih dan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada baginda.
Adapun taat setia kepada raja itu termasuklah juga mematuhi dan menerima segala arahan kerajaan selagi arahan yang diberikan itu tidak bertentangan dengan hukum syarak. Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis, Daripada Abdullah bin Omar RA daripada Nabi SAW Baginda bersabda:
Maksudnya: Mendengar dan taat (kepada ketua) adalah menjadi kewajipan ke atas orang-orang Islam dalam apa jua perkara pun sama ada yang disukainya dan yang tidak disukainya selagi ia tidak diperintahkan untuk membuat sesuatu maksiat, maka jika ia diperintahkan untuk membuat sesuatu maksiat, maka tidaklah boleh mendengar dan taat". (Hadis riwayat Imam Bukhari)
Rasulullah SAW juga ada menyatakan dalam sebuah hadis akan balasan orang yang tidak mentaati perintah ketuanya. Daripada Ibnu Abbas RA daripada Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: "Siapa yang melihat dari ketuanya sesuatu yang tidak disukainya, hendaklah ia bersabar, sebab tidaklah seseorang meninggalkan jamaah sejauh sejengkal, lantas ia meninggal dunia, melainkan ia mati jahiliah." (Hadis riwayat Imam Bukhari)
Jemaah yang dirahmati Allah,
Para ulama menyebutkan bahawa tujuan melantik raja dalam Islam adalah untuk menjalankan amanah Allah SWT bagi memelihara agama Islam dan mengawal maslahat serta kepentingan umat-Nya di dunia berdasarkan tuntutan dan hukum-hukum Islam.
Raja yang kita kasihi sememangnya telah memiliki kriteria-kriteria sebagai seorang pemimpin Islam yang bertanggungjawab, yang melaksanakan amanah-amanah Allah SWT serta sentiasa mengutamakan kesejahteraan rakyat agar menikmati keamanan, keharmonian dan hidup rukun damai.
Tanggungjawab dan amanah yang dipikul oleh seorang raja memang sungguh berat. Raja yang melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik akan beroleh jaminan kemuliaan dan kedudukan yang istimewa daripada Allah SWT merekalah juga orang-orang yang sangat dikasihi Allah SWT Itulah kelebihan yang akan diperolehi oleh seorang raja berbanding dengan orang lain.
Adapun Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bukan hanya setakat seorang raja dan ketua negara, bahkan juga baginda sebagai ketua agama, ketua adat istiadat dan ketua pentadbiran. Baginda sentiasa peka dan komited bekerja untuk kepentingan negara dan kebajikan rakyat baginda.
Kita juga beruntung kerana raja yang kita kasihi adalah seorang pemimpin yang mengutamakan pelaksanaan Islam dalam apa jua situasi sama ada pembangunan, kemajuan dan kesejahteraan masyarakat. Berkat kepimpinan dan kebijaksanaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga telah membawa dan menempatkan Negara Brunei Darussalam di persada yang gilang gemilang. Negara kita telah dan terus bertambah maju, pembangunan negara terus dipergiatkan di seluruh ceruk rantau dan pelusuk tanah air.
Jemaah yang dirahmati Allah,
Sebagaimana yang kita sedia maklum, 15 haribulan Julai tahun ini iaitu esok genaplah 77 tahun usia raja dan ulil amri yang kita taati, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah Ibni Al-Marhum Sultan Haji 'Omar Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Ulangtahun keputeraan baginda itu, seperti yang sudah menjadi kelaziman, disambut dengan rasa syukur kita ke hadrat Allah SWT dan taat setia kita kepada raja. Oleh itu, marilah kita sentiasa memanjatkan doa ke hadrat Allah SWT semoga raja kita yang dikasihi dilanjutkan usia, sihat walafiat dan kekal karar memerintah negara dengan adil dan saksama di bawah perlindungan Allah SWT dan negara kita akan terus aman makmur di bawah kepimpinan baginda.
Seterusnya marilah kita hadir ke Masjid-masjid, Surau-surau dan Balai-balai ibadat di seluruh negara dengan tumpuan utama di Jame' Asr Hassanil Bolkiah bagi sama-sama membaca surah Yaasin, Tahlil dan Do'a Kesyukuran pada petang hari ini, Jumaat 14 Julai 2023 dengan niat mudah-mudahan agama, raja dan negara kita akan selamat dan kita mendapat berkat dan pahala daripada Allah SWT Amin Yarabbal'alamin.
Tafsirnya: Janganlah orang-orang yang beriman menjadikan orang-orang kafir sebagai penolong dengan membelakangkan orang-orang yang beriman. Dan sesiapa yang melakukan demikian maka tiada-lah dia (mendapat perlindungan) daripada Allah dalam sesuatu jua pun kecuali kamu hendak menjaga diri daripada suatu bahaya yang ditakuti daripada mereka. Dan Allah memperingatkan kamu terhadap diriNya. Dan kepada Allah jualah tempat kembali.{ سورة آل عمران آية: 28 }