Jemaah yang dirahmati Allah,
Bertaqwalah kita ke hadrat Allah SWT dengan meningkatkan keimanan kepadaNya. Sesungguhnya orang yang paling mulia disisi Allah SWTialah orang yang paling bertaqwa. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang sentiasa mengingati Allah SWT beroleh kejayaan dan keselamatan di dunia dan juga di akhirat.
Jemaah yang dirahmati Allah,
Sebagaimana kelaziman pada setiap tahun, kita di Negara Brunei Darussalam mengadakan Majlis Sempena Sambutan Awal Tahun Hijrah di seluruh negara dengan mengadakan pelbagai aktiviti keagamaan dan kerohanian, dimana bermula pada tahun ini sambutan tersebut disebut sebagai Ilal Hijrah 1445. Ilal hijrah bermaksud menuju kepada penghijrahan, iaitu penghijrahan untuk memperoleh kejayaan dan kehidupan yang lebih baik.
Sesungguhnya Sambutan Ilal Hijrah bertujuan mengajak umat Islam agar menghayati erti dan konsep sebenar hijrah yang pernah dilalui oleh Rasulullah SAW Sejarah telah membuktikan bahawa peristiwa hijrah Rasulullah SAW bersama para sahabat dan pengikut-pengikut Baginda dari Mekah Al-Mukaramah ke Madinah Al-Munawarah telah membuka lembaran sejarah yang paling agung bukan sahaja dalam perkembangan agama Islam, tetapi juga pada tamadun kemanusiaan seluruhnya.
Melalui hijrah, Rasulullah SAW dapat melahirkan satu umat yang bersatu padu, umat yang bersaudara, umat yang dihormati dan menjadi contoh tauladan, bahkan dapat melahirkan kemakmuran yang dinikmati oleh semua lapisan masyarakat secara adil dan saksama.
Jemaah yang dirahmati Allah,
Hijrah menuntut kita untuk melakukan pengorbanan demi melaksanakan segala perintah Allah SWT kerana hijrah itu sendiri ialah suatu perubahan yang memerlukan pengorbanan. Tiada perubahan ke arah yang lebih baik dan cemerlang yang tidak memerlukan pengorbanan. Perubahan adalah tuntutan hidup daripada sesuatu yang tidak baik kepada yang baik dan daripada yang baik kepada yang lebih baik, daripada sifat mazmumah kepada sifat mahmudah. Allah SWT berfirman dalam Surah Ar-Rad ayat 11:
Tafsirnya: ... Sesungguhnya Allah tidak mengubah (keadaan) apa yang ada pada suatu kaum sehinggalah mereka mengubah (keadaan) apa yang ada pada diri merekasendiri. Dan apabila Allah menghendaki (untuk menimpa-kan) keburukan (azab) kepada suatu kaum maka tidak ada yang dapat menolaknya. Dan mereka tidak memperolehi pelindung selain daripadaNya.
Sesungguhnya mengingati peristiwa hijrah Rasulullah SAW bukan sekadar menyebut dan mengingati peristiwa bersejarah itu sahaja, tetapi yang lebih penting ialah menghidupkan erti sebenar hijrah dalam kehidupan kita seharian, sebagaimana yang disarankan melalui sebuah hadis Riwayat Imam Al-Bukhari. Daripada Abdullah bin Omar daripada Nabi Muhammad SAW Baginda bersabda:
Maksudnya: Seseorang Muslim itu ialah orang yang menyelamatkan saudara Muslim yang lain dari kejahatan lidah dan tangannya. Dan seseorang yang berhijrah ialah siapa yang berhijrah dari perkara yang ditegah oleh Allah.'' (Hadis riwayat Imam Bukhari)
Jemaah yang dirahmati Allah,
Tahun demi tahun, usia kita semakin meningkat dan kita semakin dekat kepada kematian. Akan tetapi sedarkah kita, dengan kehidupan yang tidak kita ketahui bila penghujungnya itu, berapa banyakkah bekalan yang telah kita persiapkan untuk menghadapi kematian. Janganlah sampai kita terbuai dan terpesona dengan kesenangan dan kenikmatan dunia sehingga kita lupa kepada akhirat yang bakal kita tempohi.
Ketahuilah, bahawa kemewahan harta benda, kesihatan tubuh badan dan kesenangan hidup seharusnya membuatkan kita lebih bersyukur kepada Allah SWT mentaatinya dan sentiasa mengingatinya. Dengan demikian, kita akan sentiasa dekat kepada-Nya.
Maka bersempena dengan melangkahnya kita ke Tahun Baru 1445 Hijrah ini, marilah kita tingkatkan usaha untuk lebih mendekatkan diri kita kepada Allah SWT kerana hanya dengan demikian, kita dapat mengharungi kehidupan di dunia ini sejajar dengan kehendak-Nya. Kita bukakan minda, isikan jiwa dengan ilmu agama, cekal dan terus bertakwa dan bertawakal kepada Allah SWT agar kita dapat menangkis segala anasir jahat yang cuba untuk menganggu gugat keimanan kita.
Kita sucikanlah hati dan jiwa dengan meninggalkan apa jua perkara yang dilarang Allah SWT dan Rasul-Nya. Inilah salah satu cara hijrah yang boleh kita lakukan sebagai seorang Muslim. Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari dari Abdullah bin Amru:
Maksudnya: Dan orang yang berhijrah itu ialah orang yang meninggalkan segala larangan Allah SWT.
Jemaah yang dirahmati Allah,
Dalam usaha memartabat dan meningkatkan kehormatan Islam serta umatnya, kita hendaklah berusaha menjadi umat yang terbaik, bukan saja dari aspek keduniaan bahkan juga dari segi aspek kerohanian. seperti beriman kepada Allah SWT dan hari akhirat, mengajak berbuat kebajikan dan mencegah berbuat kemungkaran.
Oleh yang demikian, bersempena kedatangan Tahun Baru Hijrah ini marilah kita sama-sama muhasabah diri, bertaubat nasuha dan memohon keampunan kepada Allah SWT dari segala dosa-dosa yang telah kita lakukan selama ini.
Marilah kita berdoa semoga kita dapat melakukan hijrah dengan lebih baik lagi daripada tahun yang sudah. Semoga kita semua akan dapat bekerjasama untuk membangun agama, bangsa dan negara dengan petunjuk dan rahmat daripada Allah SWT Amin Ya Rabbal'alamin.
Tafsirnya: Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah, nescaya dia akan mendapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang luas dan rezeki yang banyak. Dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan RasulNya kemudian dia mati (dalam perjalanan) maka sesungguhnya telah tetap pahala (hijrahnya) di sisi Allah. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Pengasih.{ سورة النساء آية : 100 }