Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Khutbah

BELIA SIAGA MASA DEPAN

Jemaah yang dirahmati Allah,

Bertaqwalah kita ke hadrat Allah SWT dengan meningkatkan keimanan kepadaNya. Sesungguhnya orang yang paling mulia disisi Allah SWT ialah orang yang paling bertaqwa. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang sentiasa mengingati Allah SWT beroleh kejayaan dan keselamatan di dunia dan juga di akhirat.

Jemaah yang dirahmati Allah,

Sesungguhnya masa sangat berharga dan ia berlalu dengan begitu pantas tanpa kita sedari. Justeru, kita hendaklah menggunakan masa yang ada ini dengan sebaik-baiknya. Jika kita tidak memanfaatkan masa dengan sebaik-baiknya, nescaya ia akan menyebabkan kita benar-benar dalam kerugian. 

Rasulullah SAW dalam hadis baginda ada memperingatkan kepada umatnya agar merebut lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Daripada Ibnu Abbas RA ia berkata: Rasulullah SAW bersabda kepada seorang lelaki dan Baginda menasihatkannya: 

Maksudnya: Rebutlah lima perkara sebelum kamu didatangi oleh lima perkara yang lain. Masa mudamu sebelum tuamu, masa sihatmu sebelum sakitmu, masa kayamu sebelum fakirmu, masa lapangmu sebelum kesibukanmu dan masa hidupmu sebelum matimu.' (Hadis riwayat Imam Hakim)

Jemaah yang dirahmati Allah,

Kita semua hendaklah menghargai masa, memanfaatkannya dan tidak membiarkan masa itu berlalu dengan sia-sia. Sesungguhnya antara masa yang paling berharga itu ialah masa muda. Masa muda dan belia itu adalah masa keemasan yang mesti dimanfaatkan dengan sepenuhnya.

Oleh yang demikian, di era globalisasi ini adalah diingatkan kepada kita semua terutamanya para belia agar menghargai dan menggunakan usia dan masa mereka dengan sebaik-baiknya, kerana di usia muda inilah masa yang terbaik untuk membina jati diri, menghias peribadi dengan adab serta akhlak yang mulia dan yang paling utama ialah memantapkan diri dengan iman dan taqwa. 

Ini kerana tanpa iman dan taqwa serta jati diri yang teguh dan mantap, para belia akan mudah dipengaruhi oleh anasir negatif dan gejala-gejala yang merosakkan jiwa, minda, akidah dan akhlak, contohnya seperti terlibat dengan penyalahgunaan dadah, pergaulan bebas, meminum minuman yang memabukkan dan bermacam-macam lagi masalah sosial yang bertentangan dengan nilai-nilai agama kita yang murni dan tatasusila  budaya bangsa kita.

Jemaah yang dirahmati Allah,

Sesungguhnya belia adalah aset yang amat berharga dan merupakan tonggak serta kekuatan masa depan bagi sesebuah negara. Oleh itu, para belia perlu dididik dan diberikan bimbingan yang betul dan sempurna sehingga mereka menjadi generasi yang berilmu, beriman, bertaqwa dan berakhlak mulia berpandukan Al-Qur'an dan As-Sunnah.

Di dalam Al-Qur'an ada menceritakan tentang kisah para pemuda yang berjuang untuk kecemerlangan. Sebagai contoh, pemuda-pemuda Ashabul Kahfi yang beriman kepada Allah SWT Walaupun mereka dipaksa untuk menyembah berhala dan diancam dengan hukuman oleh raja mereka yang zalim, namun mereka tetap berpegang teguh dengan keimanan mereka kepada Allah SWT Kisah ini diceritakan di dalam Surah Al-Kahfi ayat 13-14:

Tafsirnya: Kami menceritakan kepadamu (wahai Nabi Muhammad) kisah mereka dengan sebenarnya. Sesungguhnya mereka itu pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka dan Kami tambahkan hidayat kepada mereka. Dan Kami meneguhkan hati mereka ketika mereka berdiri (di hadapan raja yang memaksa mereka supaya menyembah berhala) lalu berkata: "Tuhan kami ialah Tuhan Pencipta dan Pentadbir langit dan bumi, kami sekali-kali tidak akan menyembah tuhan yang lain daripadaNya, (kerana kalau demikian) sesungguhnya kami mengucapkan perkataan yang jauh daripada kebenaran. 

Jemaah yang dirahmati Allah,

Generasi muda atau belia merupakan tiang dan sandaran negara serta menjadi sumber tenaga manusia yang sangat bernilai. Pada mereka diletakkan cita-cita serta harapan negara di masa hadapan. Sebagai harapan negara, mereka memikul tanggungjawab yang amat besar.

Oleh yang demikian, mereka perlu dibentuk dan dipersiapkan dengan tarbiyah, nilai-nilai dan kefahaman Islam sejak dari kecil lagi bagi menanai matlamat dan cita-cita negara yang dicintai.  

Untuk melahirkan belia Brunei yang cemerlang, antara ciri yang perlu dimiliki oleh setiap belia ialah bepirawis.  Maksud bepirawis ialah bersikap sopan tentang percakapan; biasanya di hadapan orang tua-tua, orang atasan dan lain-lain. Belia seharusnya mempunyai sikap hormat-menghormati terhadap semua lapisan masyarakat sama ada golongan muda dan tua terutama dalam menerajui kepimpinan di kalangan masyarakat.

Umpama kata pepatah “Yang Tua Dihormati, Yang Muda Disayangi”; belia seharusnya sentiasa bersikap sopan terhadap orang tua dengan menerima sebarang nasihat orang tua dan mengambil iktibar perkara yang baik. Amat digalakkan golongan belia dan tua bersatu hati dalam membina dan membangun kemajuan belia di negara ini.  Dari situ, integriti di antara dua golongan ini akan terjalin dan membentuk kekukuhan perpaduan bersama.

Jemaah yang dirahmati Allah,

Belia menjadi tonggak utama negara dalam menentukan hala tuju dan kemajuan negara pada masa hadapan. Pentingnya belia pada sesebuah negara adalah terletak pada peranan belia itu sendiri yang akan membawa kepada kemajuan pembangunan negara. 

Komitmen dalam mempersiapkan diri belia dengan acuan yang berkualiti adalah penting untuk melahirkan belia yang cemerlang. Cemerlang dalam pendidikan, keperibadian dan kerohanian bahkan juga belia yang memiliki kemahiran, kreatif dan berdaya saing dalam pelbagai bidang seiring dengan kepesatan kemajuan dunia yang dinamik lagi mencabar kini. 
 
Kesiapsiagaan belia dalam memberikan khidmat dan bakti mereka kepada negara terbukti apabila negara berdepan dengan situasi  mencabar bagi menangani penularan wabak COVID-19 beberapa tahun kebelakangan ini.  Dalam mewujudkan ekosistem pembangunan belia yang bertenaga, kukuh, mantap dan menyeluruh, belia yang sentiasa bersedia dalam pembentukan dasar dan membuat keputusan bagi mencapai kecemerlangan yang tinggi sangat penting, dan ini didukung melalui keperibadian yang Berakhlak Mulia, Bertaraf Dunia bersedia dengan Perubahan Masa Hadapan bagi Pembangunan Negara Secara Menyeluruh serta mengukuhkan nilai-nilai kebruneian.  
 
Strategi untuk mempersiapkan belia siaga masa depan merupakan tanggungjawab secara bersepadu antara pihak kerajaan, swasta dan pertubuhan awam (NGO) sebagai agenda utama dalam pembangunan negara. 

Akhirnya, bagi menjamin kemakmuran dan kemajuan Negara kita ini agar berterusan dan sentiasa membangun dari masa ke masa, kita amat memerlukan golongan pelapis iaitu golongan belia kerana merekalah yang bakal mengganti bagi meneruskan usaha dalam membangun ummah dan Negara di masa hadapan. Sama-samalah kita berdoa semoga belia-belia kita akan sentiasa berada di jalan yang benar dan diredhai Allah SWT jua. Amin Ya Rabbal'alamin.

Tafsirnya:  Kamu (wahai umat Nabi Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan untuk manusia (kerana) kamu menyuruh berbuat yang ma’ruf dan melarang daripada yang mungkar dan beriman kepada Allah. Dan kalau Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) beriman, tentulah yang demikian itu baik bagi mereka. (Tetapi) sebahagian daripada mereka ada yang beriman dan kebanyakkan mereka ialah orang fasiq.{سورة آل عمران أية: 110 }

Attachments