Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Khutbah

JANGAN BERPUTUS ASA

Jemaah yang dirahmati Allah,

Bertaqwalah kita ke hadrat Allah SWT dengan meningkatkan keimanan kepadaNya. Sesungguhnya orang yang paling mulia disisi Allah SWTialah orang yang paling bertaqwa. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang sentiasa mengingati Allah SWT beroleh kejayaan dan keselamatan di dunia dan juga di akhirat.

Allah SWT berfirman dalam Surah al-Hijr ayat 55-56:
Tafsirnya: Mereka berkata: “Kami menyampaikan khabar yang menggembirakan ini kepadamu dengan cara yang benar. Oleh itu, janganlah engkau termasuk golongan orang yang berputus asa. Nabi Ibrahim berkata: “Dan tidak ada yang berputus asa daripada rahmat Tuhannya melainkan orang-orang yang sesat.”

Jemaah yang dirahmati Allah,

Semua manusia yang hidup di dunia ini pasti tidak akan terlepas dari menghadapi pelbagai cabaran dan dugaan. Pada hakikatnya, Allah SWT sentiasa menguji setiap hambaNya dengan pelbagai cubaan yang kadang-kadang tidak seiring dengan keinginan kita. Antaranya seperti kegagalan, kesempitan, krisis dan sebagainya. Semua ini adalah semata-mata untuk menilai tahap keimanan dan keyakinan terhadap sesuatu yang ditakdirkan-Nya. Justeru, hanya manusia yang lupa kepada kekuasaan dan keagungan Allah SWT sahaja yang akan melahirkan perasaan putus asa.  Firman Allah SWT dalam surah Al-A’raf ayat 168:

Tafsirnya: Dan Kami membahagikan mereka di muka bumi menjadi beberapa golongan, antara mereka ada yang tidak sedemikian. Dan Kami menguji mereka dengan berbagai-bagai (nikmat) kebaikan dan (bencana) keburukan supaya mereka kembali (bertaubat daripada segala maksiat dan mungkar).

Justeru sebagai orang yang beriman, kita adalah dituntut untuk sentiasa bersangka baik, berfikiran positif, dan tidak mudah berputus asa dengan rahmat Allah SWT terutamanya apabila kita menghadapi masalah atau ketika kita berdepan dengan situasi yang sukar dan berada dalam keadaan yang kurang menyenangkan. 

Adapun antara faktor utama yang menyebabkan orang berputus asa itu ialah terjerumus dalam perkara-perkara dosa dan maksiat. Apabila diri kita tergelincir dalam perkara-perkara dosa dan maksiat, maka janganlah kita sekali-kali berputus asa dengan rahmat Allah SWT kerana rahmat Allah SWT itu lebih luas dari kemurkaanNya. Tidak kira sebesar mana pun dosa yang telah kita lakukan, kesemua dosa tersebut akan diampunkan oleh Allah SWT Allah SWT berfirman dalam surah Az-Zumar ayat 53:

Tafsirnya: Katakanlah (sampaikanlah firmanKu wahai Nabi Muhammad): “Wahai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat)!. Janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa. Sesungguhnya Dialah yang Maha Pengampun lagi Maha Pengasih.”

Daripada Anas bin Malik RA ia berkata; saya mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:  “Allah tabaraka wa ta’ala berfirman: “Wahai anak Adam, jika kamu mengharap dan berdoa kepadaKu, Aku pasti akan menghapuskan dosa mu yang telah lalu.  Aku tidak akan memperdulikannya lagi. Wahai anak Adam, seandainya dosa-dosamu telah mencapai setinggi langit kemudian engkau meminta ampun kepadaKu nescaya aku akan mengampunimu, dan Aku tidak peduli. Wahai anak Adam, seandainya engkau datang kepadaKu dengan membawa kesalahan sepenuh bumi kemudian engkau menemuiKu dengan tidak menyekutukan Aku dengan sesuatu, Aku pasti akan datang kepadamu dengan ampunan sepenuh bumi.”  (Hadis riwayat Imam Tirmizi)

Manakala faktor lain lagi yang menyebabkan orang berputus asa itu ialah apabila ditimpa musibah seperti kegagalan, penyakit kronik atau sakit yang berpanjangan dan tekanan hidup iaitu tekanan sosial, emosi dan ekonomi seperti masalah perniagaan, pekerjaan, pelajaran, masalah hutang piutang, masalah rumah tangga dan seumpamanya. Dan jika tidak ditangani dengan sebaiknya, boleh menjadikan mereka berada di dalam keadaan yang teruk dan memberi kesan terhadap kesihatan mental dan juga fizikal seperti kemurungan yang melampau.

Jemaah yang dirahmati Allah, 

Masalah yang datang dalam kehidupan kita seringkali menyebabkan kita bersikap tidak rasional dan membuat keputusan yang kurang bijak sehingga menyebabkan kita terlupa akan keagungan dan kebesaran Allah SWT.
 
Perlu diingat, apabila kita menghadapi masalah, ditimpa dengan kegagalan atau kesukaran dalam kehidupan sama ada keinginan atau harapan yang tidak kesampaian atau tercapai, janganlah kita mudah menyerah kalah dan berputus asa. Kita hendaklah yakin dengan ketentuan Allah dan hikmah di sebalik ketentuan tersebut yang akan melahirkan sifat sabar dan redha. Justeru, kuatkan rohani atau hati kita dengan memperbaiki hubungan dengan Allah. Hati dan rohani yang baik dan yakin dengan ketentuan Allah dan hikmahnya akan mengatur mental dan fizikal bertindak sebaiknya dalam apa jua keadaan dan suasana.

Allah SWT telah mengurniakan kita akal fikiran yang cukup sempurna, kita hendaklah berusaha dan berikhtiar memikirkan cara dan pendekatan yang berbeza untuk menyelesaikan sesuatu perkara ataupun permasalahan.

Allah SWT dan Rasulullah SAW telah memberi amaran dan peringatan yang sangat jelas di dalam al-Qur’an dan hadis-hadis baginda Rasulullah SAW mengenai kesan buruk berputus asa dengan rahmat Allah SWT antaranya:

Pertama: Tergolong dalam kalangan orang yang kufur kepada Allah SWT. 

Kedua: Tergolong dalam kalangan orang yang sesat dari jalan kebenaran. 

Ketiga: Tergolong dalam kalangan orang yang tidak dapat membezakan antara yang baik dan buruk. 

Keempat: Tergolong dalam kalangan orang yang tidak mensyukuri nikmat Allah SWT.
 
Jemaah yang dirahmati Allah, 

Sebagai orang yang beriman, kita hendaklah memiliki semangat dan keazaman yang kuat untuk menghadapi danmenangani sebarang masalah, cabaran dan rintangan tanpa mudah berputus asa dalam kehidupan. Kita hindari daripada sikap mengeluh dengan apa yang telah terjadi dengan membuang sepenuhnya sifat berputus asa. Kita mengadu kepada Allah kerana sesungguhnya Allah SWT adalah sebaik-baik tempat untuk mengadu. Sebagai orang Islam, kita adalah dianjurkan untuk memanjatkan pohon dan panjatkan doa kepada Allah SWT pada setiap masa dan keadaan, lebih-lebih lagi apabila kita menghadapi masalah atau kesulitan dalam kehidupan.
 
Antara doa yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW untuk dibaca ketika ditimpa kesulitan dan kesusahan sepertimana dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Abu Daud, Daripada Saidina Othman bin Affan RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:  Barangsiapa membaca sebanyak tiga kali, maka tidak akan ditimpa musibah mengejutkan hingga malam hari, dan barangsiapa membacanya di waktu petang maka tidak akan ditimpa musibah mengejutkan hingga pagi hari jika Allah menghendaki.” 
 
Sekirany perlu, dapatkan nasihat dan bantuan daripada orang yang boleh dipercayai yang sedia menolong meringankan beban agar menjadi lebih ringan, atau jika masalah semakin serius, berjumpalah kepada pakar yang boleh memberi pandangan dan bantuan. Melalui perkongsian, sedikit sebanyak beban dapat dikurangkan atau ada jalan penyelesaian.

Sebagai orang yang beriman, kita hendaklah memiliki semangat dan keazaman yang kuat untuk menghadapi dan menangani sebarang masalah, cabaran dan rintangan tanpa mudah berputus asa dalam kehidupan.

Kita selalu mengeluh dengan apa yang telah terjadi dan kadang kala juga kita seakan berputus asa dengan apa yang telah kita usahakan dan lakukan kerana segala yang telah kita rancang itu semuanya gagal dan tidak menjadi kenyataan.

Perlu diketahui dan disedari, bahawa setiap apa yang berlaku itu pasti ada hikmahnya. Allah SWT tidak akan menjadikan sesuatu itu sia-sia dan tidak sekali-kali akan menzalimi hamba-hambaNya. 

Sesungguhnya Allah SWT Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk diri kita. Oleh yang demikian, ajar dan didiklah hati kita untuk sentiasa bersangka baik pada ketetapan dan ketentuan Allah SWT kerana Allah SWT adalah sebaik-baik perancang. Mudah-mudahan dengan yang demikian, kita akan beroleh kejayaan hidup di dunia dan juga di akhirat. Amin Ya Rabbal Alamin.

Tafsirnya: Dan mereka itu pun merancangkan tipu daya (hendak membunuh Nabi Isa Alaihi Salam dan Allah pula membalas tipu daya mereka. Dan Allah sebaik-baik pembalas (menggagalkan) tipu daya (mereka).{ سورة آل عمران آية : 54 }


Attachments