Jemaah yang dirahmati Allah,
BERTAQWALAH kita kehadrat Allah Subhanahu Wata'ala dengan sebenar-benar taqwa iaitu dengan meningkatkan keimanan kepadanya. Sesungguhnya orang yang paling mulia disisi Allah Subhanahu Wata'ala itu ialah orang yang paling bertaqwa. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang sentiasa mengingati Allah Subhanahu Wata'ala, beroleh kejayaan dan keselamatan di dunia dan juga di akhirat.
Allah Subhanahu Wata'ala berfirman dalam surah Al-Ahzab ayat 72 tafsirnya:
“Sesungguhnya kami pernah mengemukakan amanah kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggann memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya dan manusia pula sanggup memikulnya. Sesungguhnya manusia adalah sangat zalim lagi jahil."
Jemaah yang dirahmati Allah,
Amanah adalah salah satu sifat terpuji yang dituntut di dalam Islam. Setiap orang mempunyai amanah dan bertanggungjawab yang perlu ditanai dalam semua aspek kehidupan. Setiap insan mestilah menyedari bahawa dia sentiasa memikul amanah, baik amanah pada diri sendiri, keluarga, masyarakat, negara mahupun agama. Adapun antara contoh yang boleh dikaitkan dengan amanah itu adalah mengamalkan sikap amanah dalam pekerjaan, tidak kira sama ada seseorang itu bekerja sendiri, bekerja di sektor awam mahupun di sektor swasta.
Sesungguhnya seorang pekerja yang amanah melihat pekerjaan itu sebagai tanggungjawab yang bekal dipersoalkan dan pertanggungjawabkan di hadapan Allah Subhanahu Wata'ala. Oleh yang demikian, sebagai seorang pekerja khususnya penjawat awam yang telah diberi mandat untuk memegang satu-satu jawatan dalam kerajaan hendaklah sentiasa berhati-hati dalam memikul sesuatu amanah yang diberikan, jangan sampai amanah yang dipertanggungjawabkan itu dikhianati. Allah Subhanahu Wata'ala berfirman dalam surah Al-Anfal ayat 27 tafsirnya:
“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati Allah dan rasulNya dan janganlah kamu mengkhianati amanah-amanah (yang diamanahkan kepada) kamu sedang kamu mengetahui."
Jemaah yang dirahmati Allah,
Prihal menjaga amanah di dalam pekerjaan, terdapat beberapa perkara yang perlu kita jaga dan titik beratkan, antaranya ialah menjaga dan menepati waktu bekerja, jujur dalam mencari sumber kewangan tanpa melibatkan rasuah mahupun penipuan, tidak menzalimi dan menindas orang lain untuk memenuhi kepentingan diri sendiri, sentiasa tekun dan ikhlas ketika bekerja dan tidak mengkhianati kepercayaan yang telah diberikan dan seumpamanya.
Kita hendaklah sentiasa amanah dan melakukan pekerjaan dengan sebaik mungkin, menggunakan seluruh keupayaan diri, potensi dan kepakaran yang dimiliki dalam melaksanakan tugas yang diberikan tanpa sebarang pengabaian dan penyelewengan. Oleh itu, seorang pekerja mestilah berusaha bersungguh-sungguh demi menjalankan amanah dan melaksanakan sesuatu tugas dengan memikirkan bahawa hasil dari pendapatan itulah yang akan menjadi sumber utama rezeki untuk diri sendiri dan juga keluarga. Daripada Jabir bin Abdullah Radiallahu Anhu, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda yang bermaksud: Wahai manusia, bertaqwalah kamu kepada Allah dan tempuhilah jalan yang baik dalam mencari rezeki kerana sesungguhnya tidaklah seorang hamba itu akan mati sehingga dia benar-benar habis rezekinya, walaupun terlambat datangnya. Maka bertaqwalah kepada Allah dan tempuhilah jalan yang baik dalam mencari rezeki. Tempuhilah jalan-jalan mencari rezeki yang halal dan tinggalkan yang haram (Hadis Riwayat Ibnu Majah)
Sebagai orang Islam, kita percaya bahawa segala perbuatan yang dilakukan di dunia ini akan mendapat pembalasan sama ada ganjaran pahala ataupun azab siksa di akhirat nanti. Sesungguhnya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam ada memberi peringatan mengenai akibat mencuaikan amanah melalui hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, daripada Abu Hurairah Radiallahu Anhu ia berkata: Kami keluar bersama Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam menuju Khaibar. Allah memberi kemenangan kepada kami tetapi kami tidak mendapatkan rampasan perang berupa emas atau perak. Hanya yang kami perolehi adalah barang-barang makanan dan pakaian. Kemudian kami menuju ke suatu lembah dan bersama Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam ialah seorang hamba pemberian seorang lelaki daripada khuzam bernama Rif'ah bin Zaid daripada Bani Dhubib. Ketika kami menuruni lembah itu, hamba Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam itu berdiri untuk melepaskan tali ikatan kenderaannya. Malangnya, dari terkena anak panah dan disitulah dia meninggal lalu kami berkata: Kami bersyukur dia gugur dalam mati syahid. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda: Tidak! Demi diri Muhammad, sesungguhnya sehelai pakaian jubah akan memarakkan api neraka ke atasnya. Pakaian itu dia ambil daripada harta rampasan perang Khaibar, padahal pakaian itu bukan bahagiannya. Lalu orang ramai menjadi takut. Maka datang seorang lelaki dengan membawa seutas atau dua utas tali kasut dan berkata: Ya Rasulullah! Aku mendapatkannya ketika perang Khaibar, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda: Seutas atau dua utas tali tersebut boleh membawa kepada neraka.
Berdasarkan dari hadis tersebut amat jelas bahawa perbuatan mencuaikan amanah atau melakukan khianat itu amat besar ancamannya sehinggakan hanya kerana sehari pakaian atau seutas tali kasut yang didapatkan dengan cara yang tidak amanah pun akan menerima balasan api neraka di akhirat. Oleh itu, memiliki sifat amanah adalah menjadi tonggak penting dalam semua aspek termasuk urusan pekerjaan. Segala tanggungjawab dan tugas yang kita laksanakan hendaklah benar-benar menepati konsep dengan meletakkan pekerjaan yang digalas sebagai ibadah. Dalam mana, kita bukan hanya dikawal oleh undang-undang dan peraturan dunia sahaja, tetapi dalam masa yang sama ia dikawal oleh hati dengan rasa amanah dan tanggungjawab kepada Allah Subhanahu Wata'ala.
Jemaah yang dirahmati Allah,
Alhamdulillah, pada setiap tahun negara kita Brunei Darussalam merayakan Hari Perkhidmatan Awam. Perkhidmatan awam merupakan tonggak utama dalam menggerak aktifkan sumber tenaga manusia dan penyumbang kepada program pembangunan negara dalam mencapai Wawasan Brunei 2035. Tema Sambutan Hari Perkhidmatan Awam kali ke-31 pada tahun ini ialah “Keberdaya Tahanan dan Perpaduan Perkhidmatan Awam Pemangkin Kesejahteraan Negara"
Maka selaku penjawat awam marilah kita bersama-sama melaksanakan tanggungjawab dengan cekap dan bijaksana, berakauntabiliti, responsif, berintegriti, jujur dan amanah, adil dan sebagainya. Kita terus mendepani cabaran masa hadapan dengan memperhebat dan memantapkan bagi memperkasa imej perkhidmatan awam.
Akhirnya, kita sama-sama berdoa semoga kita semua, sama ada yang bekerja dengan perkhidmatan awam ataupun yang bekerja dengan pihak swasta agar sentiasa melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan amanah. Mudah-mudahan segala pekerjaan yang kita lakukan itu mendapat ganjaran pahala, berkat dan rahmat yang berterusan daripada Allah Subhanahu Wata'ala. Amin Ya Rabbal Alamin.
Surah An-Nisaa' ayat 58 tafsirnya:
“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan amanah-amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya) dan apabila kamu menjalankan hukum antara manusia (hendaklah) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah (dengan suruhanNya itu) memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat."