Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Khutbah

KEUTAMAAN MENDENGAR KHUTBAH JUMA’AT

Jemaah yang dirahmati Allah,

Bertaqwalah kita ke hadrat Allah SWT dengan meningkatkan keimanan kepadaNya. Sesungguhnya orang yang paling mulia disisi Allah SWT ialah orang yang paling bertaqwa. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang sentiasa mengingati Allah SWT beroleh kejayaan dan keselamatan di dunia dan juga di akhirat.

Jemaah yang dirahmati Allah,

Hari Jumaat adalah penghulu segala hari, hari yang sangat istimewa bagi umat Islam, hari yang penuh dengan keberkatan, kemuliaan dan juga hari untuk melipat gandakan amal ibadah ke hadrat Allah SWT.

Sesungguhnya pada hari Jumaat, Allah SWT memerintahkan umat Islam untuk bersegera lebih awal ke masjid dan meninggalkan kerja masing-masing seperti berjual beli dan kerja-kerja lain, untuk mendengar khutbah dan mengerjakan sembahyang Fardhu Jumaat. Setelah selesai menunaikan sembahyang, barulah kita meneruskan usaha mencari rezeki dan mengingati Allah SWT dalam segala keadaan. Allah SWT berfirman dalam surah Al-Jumu’ah ayat 9:

Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diseru untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka pergilah kamu (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang Jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli. Yang demikian itu lebih baik bagi kamu, jika benar kamu mengetahui.

Jemaah yang dirahmati Allah,

Sembahyang fardhu Jumaat adalah perhimpunan mingguan yang memberikan manfaat yang amat besar kepada seluruh umat Islam kerana di dalamnya ada disampaikan khutbah untuk manfaat dan panduan kehidupan di dunia dan juga di akhirat. 

Antara manfaat dan panduan tersebut adalah untuk menambahkan ilmu pengetahuan, menerima nasihat dan tunjuk ajar, meningkatkan keimanan dan ketaqwaan ke hadrat Allah SWT serta mengambil pengajaran dan iktibar dari khutbah yang disampaikan.

Oleh yang demikian, alangkah ruginya bagi orang yang lewat atau melengah-lengahkan diri hadir ke masjid apatah lagi setelah imam naik di atas mimbar untuk membaca khutbah. Ia adalah perkara yang amat merugikan. Namun terdapat juga segelintir jemaah yang tidak sempat mendengar khutbah dan ada pula yang mendengar khutbah di dalam kereta sahaja. 

Begitu juga masih terdapat sebilangan orang yang tidak begitu menghiraukan khutbah yang disampaikan sehingga ada antara mereka yang masih bercakap-cakap, bergurau-senda dan menggunakan telefon bimbit ketika khutbah jumaat disampaikan.

Jemaah yang dirahmati Allah,

Di zaman yang serba canggih dan moden ini, tidak dinafikan bahawa penggunaan telefon bimbit seakan-akan sudah menjadi satu kemestian kerana kewujudannya banyak membantu memudahkan tugas serta pekerjaan. Ia juga memudahkan kaum keluarga, sanak-saudara, rakan-taulan dan sebagainya untuk berkomunikasi sesama mereka.

Penggunaan telefon bimbit ini tidaklah menjadi kesalahan selagi ia tidak digunakan ke arah sesuatu yang menyalahi hukum syarak. Namun apa yang merunsingkan, penggunaan telefon bimbit ini ada kalanya boleh menyebabkan sebilangan orang lalai dan terlalu asyik sehingga mereka sentiasa membawa dan menggunakannya tanpa mengira kesesuaian masa dan tempat. 

Bahkan ada kalanya ketika sembahyang pun telefon bimbit ini akan dibawa bersama tanpa mematikan atau menutup bunyinya terlebih dahulu. Maka akan kedengaranlah bunyi-bunyi nada dering dan sebagainya yang pastinya akan mengganggu kekhusyukan pemiliknya dan kekhusyukan jemaah yang lain jika bersembahyang jemaah.  

Bukti yang paling nyata dapat dilihat dengan jelas adalah ketika perhimpunan sembahyang fardu Jumaat. Ketika khatib sedang membacakan khutbah Jumaat akan kelihatan segelintir jemaah tanpa rasa segan silu menggunakan telefon bimbit, berkomunikasi melalui rangkaian laman sosial, melayari internet, bermain game dan seumpamanya. 

Jemaah yang dirahmati Allah,

Adalah disunatkan juga bagi jemaah untuk diam dan mendengar khutbah Jumaat itu dan makruh bagi mereka berkata-kata sepertimana yang dijelaskan dalam sebuah hadis riwayat Imam Bukhari, daripada Abu Hurairah RA bahawasanya Rasulullah SAW telah bersabda:

Maksudnya: “Jika engkau mengatakan kepada sahabatmu “dengarkanlah (khutbah)” padahal imam pada waktu itu sedang berkhutbah, maka sesungguhnya engkau benar-benar telah berkata sia-sia.” 
 
Maksud ‘sia-sia’ di sini ialah bertentangan dengan sunnah, adab, dan mengakibatkan rugi pahala dan kelebihan-kelebihan sembahyang fardu Jumaat walaupun sembahyangnya masih dikira sah.

Dapatlah difahami dari hadis ini bahawa apa pun jenis kata-kata mahupun perbualan adalah dilarang sama sekali ketika khutbah Jumaat sedang dibaca atau disampaikan. Sedangkan kata-kata seorang jemaah yang menyuruh seorang jemaah yang lain supaya diam dan mendengar khutbah itu pun sudah dikategorikan sebagai sia-sia, walaupun perbuatan itu merupakan satu suruhan ke arah kebaikan, maka apatah lagi kata-kata biasa atau perbualan kosong semata-mata.

Akan tetapi tidak makruh ke atas orang yang mendengar khutbah Jumaat itu berkata-kata jika terdapat darurat, misalnya kerana hendak menyelamatkan orang buta yang hampir terjatuh ke dalam parit atau ternampak binatang berbisa seperti kala jengking atau ular menghampiri seseorang. Maka dalam hal ini, tidaklah dilarang orang yang mendengar khutbah Jumaat itu berkata-kata, bahkan wajib baginya melakukan demikian. Akan tetapi lebih baik (sunat) baginya untuk menggunakan isyarat sahaja jika dia mampu mengelakkan daripada berkata-kata.

Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullah, bagi mereka yang dapat mendengar khutbah, diam mendengarkan khutbah Jumaat itu adalah lebih utama dari membaca Al-Qur’an, berzikir dan sebagainya. Ini kerana terdapat pendapat yang mengatakan bahawa diam untuk mendengar khutbah Jumaat itu adalah wajib.
  
Jemaah yang dirahmati Allah,

Adapun perbuatan menggunakan telefon bimbit ketika khatib membaca khutbah Jumaat boleh diqiyaskan kepada maksud sebuah hadis sahih yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawasanya Nabi SAWtelah bersabda:

Maksudnya: Sesiapa yang berwudhu dan menyempurnakan wudhunya, kemudian dia pergi (ke masjid) untuk menunaikan sembahyang fardhu Jumaat, lalu mendengar dan tidak bercakap (ketika khutbah disampaikan), maka diampuni dosa-dosanya yang ada di antara hari Jumaat itu dan hari Jumaat berikutnya dan ditambah tiga hari lagi. Dan sesiapa yang bermain-main dengan anak-anak batu (ketika khutbah), maka dia telah berbuat sia-sia.  (Hadis riwayat Imam Muslim)

Menurut ulama, larangan dalam hadis tersebut tidak hanya terbatas kepada bermain dengan anak batu sahaja, bahkan larangan tersebut menyeluruh terhadap semua perbuatan yang boleh menjejaskan tumpuan terhadap khutbah Jumaat seperti bermain game, melayari internet, berkomunikasi melalui laman sosial dan seumpamanya itu adalah sangat jelas menghilangkan kekhusyukan dan menjejaskan tumpuan terhadap khutbah Jumaat.  
 
Kesimpulannya, apabila bermain anak-anak batu sahaja pun sudah dianggap perbuatan sia-sia sebagaimana maksud hadis tersebut, maka apatah lagi melakukan perkara-perkara lain yang lebih melalaikan.

Oleh yang demikian, perbuatan menggunakan telefon bimbit ketika khatib membaca khutbah Jumaat adalah suatu perbuatan yang bertentangan dengan sunnah dan adab yang menuntut kita supaya diam dan meninggalkan segala perbuatan yang boleh menjejaskan tumpuan terhadap khutbah Jumaat. 

Justeru, perbuatan ini eloklah ditinggalkan kerana ia mengakibatkan kerugian yang sangat besar, iaitu kehilangan pahala dan kelebihan-kelebihan sembahyang fardhu Jumaat.  Oleh itu, rebutlah peluang dan kelebihan-kelebihan tersebut dengan berdiam diri dan mendengar khutbah yang disampaikan dengan khusyuk. Sesungguhnya sikap tidak menumpukan perhatian ketika khutbah disampaikan adalah sikap yang perlu diubah kerana ia perkara yang sia-sia dan merugikan.
 
Akhirnya, manfaatkan dan rebutlah peluang beramal ibadah pada hari Jumaat yang hanya datang sekali dalam seminggu, semoga dengannya juga kita dapat meningkatkan amal ibadah, keimanan dan ketaqwaan ke hadrat Allah SWT dari semasa ke semasa. Mudah-mudahan amal ibadah yang kita lakukan mendapat rahmat dan diterima oleh Allah SWT Amin Ya Rabbal Alamin.

Tafsirnya: Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman. (Iaitu) orang-orang yang khusyuk dalam sembahyang mereka. Dan orang-orang yang menjauhkan diri daripada (perbuatan dan perkataan) yang sia-sia.{ سورة المؤمنون آية 1-3 }


Attachments