Jemaah yang dirahmati Allah,
Bertaqwalah kita ke hadrat Allah SWT dengan meningkatkan keimanan kepadaNya. Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah SWT ialah orang yang paling bertaqwa. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang sentiasa mengingati Allah SWT beroleh kejayaan dan keselamatan di dunia dan juga di akhirat.
Allah SWT berfirman dalam Surah an-Nahl ayat 125:
Tafsirnya: Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Nabi Muhammad) dengan hikmah (kebijaksanaan) dan nasihat pengajaran yang baik dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang terbaik. Sesungguhnya Tuhanmu, Dia yang lebih mengetahui siapa yang sesat daripada jalanNya dan Dialah juga yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.
Jemaah yang dirahmati Allah,
Agama Islam menganjurkan umatnya agar saling tegur menegur dan nasihat menasihati antara satu sama lain dalam kehidupan kita bermasyarakat. Sesungguhnya budaya menegur dan menasihati sesama kita adalah perbuatan yang terpuji dengan tujuan untuk membetulkan keadaan dan kesalahan yang telah dilakukan. Daripada Tamiem Ad-Dariy RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: Agama itu adalah nasihat. Kami bertanya: Untuk siapa? Baginda bersabda:” Untuk Allah, Untuk kitabnya, Untuk rasulnya, Untuk para pemimpin kaum muslimin, dan kaum muslimin secara umum.” (Hadis riwayat Imam Muslim)
Sekiranya amalan saling menegur dan menasihati tidak dibudayakan dalam kehidupan, tiada teguran yang dilakukan, tiada usaha penambahbaikan, tiada agenda pembaharuan, maka kejahilan, kezaliman dan kesesatan akan berterusan dan berleluasa.
Sesetengah pihak menamakan teguran sebagai kritikan, aduan, pandangan dan pelbagai istilah yang lain. Akan tetapi walau apa pun istilah yang digunakan, teguran dan nasihat mestilah disampaikan berlandaskan sifat yang wajar, tidak dipengaruhi perasaan dan emosi yang berlebihan sehingga menzalimi, menjatuhkan maruah, mempersenda, menghina, mengaibkan dan seumpamanya.
Jemaah yang dirahmati Allah,
Sesungguhnya menegur dan ditegur, penerimaannya adalah berbeza bagi setiap orang. Ini kerana tidak semua orang boleh menerima sebarang teguran, nasihat dan kritikan. Perlu diingat, bahawa kita mestilah sentiasa berlapang dada dan menerima setiap teguran dan nasihat itu dengan hati yang terbuka.
Imam al-Ghazali berpesan di dalam kitabnya “Ayyuhal Walad”: “Nasihat itu mudah, yang sukar adalah menerimanya kerana bagi yang mengikuti hawa nafsu, maka nasihat itu terasa pahit”.
Walaupun amalan saling menegur dan memberi nasihat dapat memberikan manfaat ke arah kebaikan, namun adab dan akhlak dalam menyampaikan teguran mestilah sentiasa dijaga. Ini kerana tanpa adab dan tatacara yang betul, ia bukan saja boleh menimbulkan salah faham, bahkan boleh menimbulkan kemarahan sehingga menyebabkan terjadinya permusuhan dan persengketaan.
Antara kaedah dan adab yang perlu diberikan perhatian dalam menyampaikan teguran dan nasihat, antaranya ialah:
Pertama: Sampaikanlah teguran dan nasihat dengan menggunakan gaya bahasa yang paling sesuai iaitu lembut dan bersopan. Janganlah sesekali kita menegur dengan menggunakan nada suara yang tinggi dan gaya bahasa yang kasar kerana kita menegur bukan untuk mendedahkan aib orang.
Kedua: Elakkanlah dari menegur kesalahan seseorang di khalayak ramai. Lihatlah situasi dan keadaan, tegur dan nasihatilah ketika dia sedang bersendirian atau di tempat yang tertutup, bukannya dengan cara yang boleh menimbulkan perasaan malu kepada orang yang ditegur. Imam as-Syafie berkata: "Sesiapa yang menegur saudaranya secara sembunyi-sembunyi maka dia benar-benar telah menasihatinya dan menjaga aibnya. Namun, sesiapa yang menegurnya secara terang-terangan maka sesungguhnya dia telah memalukannya dan membuka aibnya."
Ketiga: Sampaikanlah teguran dan nasihat dengan cara yang bijaksana dan menggunakan perkataan-perkataan yang baik dan bermanfaat agar tidak menyinggung perasaan orang yang ditegur, berhati-hati dalam memilih perkataan yang sesuai agar orang itu tidak berasa terhina dan rendah diri. Oleh itu, berilah nasihat dengan akal fikiran bukannya dengan emosi.
Keempat: Sampaikanlah teguran dan nasihat sebagaimana kita inginkan cara diri kita sendiri ditegur atau dinasihati.
Kelima: Adalah lebih elok jika dilakukan secara bersemuka, bukannya dengan menggunakan perantaraan orang lain.
Keenam: Orang yang menegur hendaklah meminta maaf selepas membuat teguran kerana tujuan meminta maaf itu adalah untuk memujuk hati orang yang ditegur supaya tidak terasa hati atas teguran yang telah diberikan.
Jemaah yang dirahmati Allah,
Perubahan gaya hidup masyarakat yang dikuasai oleh penggunaan medium media sosial menyediakan ruang interaksi dan komunikasi tanpa batasan yang kadangkala membuatkan kita terlalai dan terleka tentang adab dan akhlak dalam menyampaikan teguran dan nasihat.
Dalam hal ini, kita perlulah bersikap bijak dengan memastikan bahawa ayat-ayat atau perkataan yang hendak digunakan itu adalah bersesuaian. Ini kerana medium media sosial adalah tempat umum dan terbuka yang boleh menimbulkan pelbagai andaian dan pandangan sama ada yang positif mahupun yang negatif.
Oleh yang demikian, marilah muhasabah diri kita agar mengembalikan semula tujuan sebenar sesuatu teguran dan nasihat itu dilakukan agar memberikan manfaat kepada orang lain, bukannya mengundang kemudharatan yang menyemarakkan api perbalahan dan permusuhan. Sedangkan permusuhan adalah perbuatan yang dibenci dan ditegah dalam agama kita. Daripada Aisyah RA berkata: Rasulullah SAW telah bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya orang yang paling dibenci Allah ialah orang yang paling kuat bermusuhan. (Hadis riwayat Imam Muslim)
Akhirnya, budayakanlah amalan tegur-menegur dan nasihat-menasihati dengan kata-kata yang lemah-lembut, berbudi bahasa dan bijaksana. Berilah teguran dengan niat yang ikhlas semata-mata kerana Allah SWT dan dengan cara yang penuh berhemah agar teguran tersebut dapat diterima dengan hati yang lapang dan terbuka.
Terimalah teguran dengan bersangka baik supaya kita dapat memperbaiki diri dan mengeratkan silaturahim antara kita. Sama-samalah kita berdoa semoga kita semua akan dapat hidup aman damai, harmoni dan bersatu padu tanpa ada persengketaan. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.
Tafsirnya: “Maka kamu katakan kepadanya kata-kata yang lemah-lembut, mudah-mudahan dia beringat (sedar) atau takut (kepada Tuhan).{سورة طه آية: 44}