Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Khutbah

MENGHIASI DIRI DENGAN ADAB DAN AKHLAK MULIA

​Jemaah yang dirahmati Allah,

Bertaqwalah kita ke hadrat Allah SWT dengan meningkatkan keimanan kepadaNya. Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah SWT ialah orang yang paling bertaqwa. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang sentiasa mengingati Allah SWT beroleh kejayaan dan keselamatan di dunia dan juga di akhirat. 
Allah SWT berfirman dalam Surah Al Ahzab ayat 21:

Tafsirnya: Demi sesungguhnya pada diri Rasulullah itu ada contoh yang baik bagi kamu iaitu bagi orang yang mengharapkan (keredhaan) Allah dan (kebahagiaan) hari Akhirat serta banyak berzikir mengingati Allah.

Jemaah yang dirahmati Allah,

Menurut Ibnu Kathier, ayat tersebut merupakan dalil utama yang menganjurkan kita agar mencontohi Rasulullah SAW dalam semua aspek kehidupan sama ada dari segi perbuatan, percakapan serta sikap yang merangkumi adab, akhlak dan seumpamanya. 

Keindahan sahsiah  dan akhlak baginda Rasulullah SAW sebagaimana yang dijelaskan dalam ayat berkenaan menunjukkan betapa pentingnya kita mencontohi keperibadian baginda. Lebih-lebih lagi dalam perubahan zaman globalisasi  kini, bukan sahaja adab yang semakin berkurang bahkan berlakunya kepincangan dan keruntuhan moral ataupun akhlak dalam segelintir masyarakat kita.

Sesungguhnya menghiasi diri dengan adab dan akhlak yang mulia adalah amat penting dalam membina dan membangun kerukunan hidup beragama, bermasyarakat dan bernegara, kerana orang-orang yang berakhlak baik akan di pandang mulia di dunia dan amat tinggi darjatnya di akhirat nanti.

Daripada Jabir RA Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:   Sesungguhnya yang paling aku cintai dan paling dekat denganku di akhirat nanti adalah orang yang mempunyai akhlak terbaik. Dan orang yang paling aku benci dan yang paling jauh dariku di akhirat nanti adalah orang yang mempunyai akhlak yang paling keji, iaitu orang yang mereka-reka percakapannya, orang yang berlagak pandai dan orang yang bercakap besar (sombong dan bongkak).  (Hadis riwayat Imam Tirmizi)

Agama kita sangat menitikberatkan soal adab dan akhlak dalam kehidupan. Bahkan adab dan akhlak adalah dua perkara yang sangat penting dan lebih diutamakan sebelum kita mempelajari sesuatu ilmu, kerana tiada gunanya seseorang itu memiliki ilmu yang hebat dan tinggi, akan tetapi tidak memiliki adab dan juga akhlak yang baik. Berkata Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani: “Aku lebih menghargai orang yang beradab, daripada orang yang berilmu. Jika hanya berilmu, iblis pun lebih tinggi ilmunya daripada manusia”. 

Jemaah yang dirahmati Allah,

Penjagaan adab dan akhlak ini meliputi pelbagai sudut. Ini termasuklah adab dengan Allah SWT adab dengan Rasulullah SAW adab dengan ibu bapa, guru, jiran, rakan, masyarakat, bahkan adab dan akhlak dengan semua makhluk Allah SWT secara umum.

Antara doa ringkas tetapi bermanfaat yang diajarkan oleh Rasulullah SAW untuk diamalkan agar kita memiliki akhlak yang mulia, sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Imam Tirmizi, Daripada Ziyad bin 'Ilaqah RA  Daripada pakciknya, Nabi SAW membaca do’a:

اللَّهُمَّ إِنِّى أَعُوذُ بِكَ مِنْ مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ وَالأَعْمَالِ وَالأَهْوَاءِ

Ertinya: Ya Allah, aku berlindung kepadamu dari akhlak, amal dan hawa nafsu yang mungkar. 

Dalam al-Quran dan hadis-hadis Rasulullah SAW ada digariskan panduan mengenai adab dan akhlak yang perlu dijaga dan disempurnakan dengan baik. Adapun antara beberapa adab dan akhlak dalam Islam yang perlu diterapkan dalam kehidupan kita seharian ialah;

Pertama: Bersikap Lemah Lembut

Lemah lembut membawa erti kelembutan dalam setiap perkataan dan perbuatan. Rasulullah SAW menjelaskan dalam hadis baginda bahawa Allah SWT menyukai sifat lemah lembut. Daripada 'Aisyah RA isteri Nabi SAW bahawa Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud:  "Hai Aisyah, sesungguhnya Allah itu Maha lembut. Dia mencintai sikap lemah lembut. Allah akan memberikan pada sikap lemah lembut sesuatu yang tidak Dia berikan pada sikap yang keras dan juga akan memberikan apa-apa yang tidak diberikan pada sikap lainnya."  (Hadis riwayat Imam Muslim)

Kedua: Berbuat Baik  Sesama Jiran Tetangga

Berbuat baik dan mengeratkan hubungan Silaturahim sesama jiran tetangga itu adalah amat penting bagi kerukunan hidup bermasyarakat dan bernegara. Rasulullah SAW dalam hadis baginda menyatakan bahawa antara kesempurnaan dalam memperlengkap keimanan seseorang itu ialah dengan menjaga hubungan Silaturahim dan memuliakan jiran tetangga. Daripada Abu Hurairah RA Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari Akhirat maka hendaklah ia memuliakan jirannya.  (Hadis riwayat Imam Muslim) 

Ketiga: Menepati dan Menunaikan Janji

Agama Islam amat menekankan mengenai kewajipan menepati dan menunaikan janji, kerana ia adalah lambang kepada kejujuran, kepercayaan dan kebersihan hati seseorang.  Ketahuilah, bahawa menepati dan menunaikan janji itu termasuk dalam golongan orang-orang yang berakhlak mulia dan bertaqwa.  Allah SWT berfirman dalam surah ali-Imran ayat 76:

Tafsirnya: Bukan demikian, sebenarnya sesiapa yang menepati janjinya dan bertaqwa maka sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertaqwa.

Keempat: Senyum dan Bermanis Muka

Ramai yang menyangka, amalan seperti senyum dan bermanis muka ini hanyalah amalan kecil yang mudah dilakukan dan ditinggalkan. Namun Rasulullah SAW melarang kita memperkecilkannya. Ini kerana menampakkan wajah ceria dan berseri-seri ketika bertemu dengan sesama muslim akan mendapatkan ganjaran pahala seperti pahala bersedekah. 

Daripada Abu Dzar RA Bersabda Rasulullah SAW:

Maksudnya: "Senyumanmu di hadapan saudaramu adalah sedekah bagimu"  (Hadis riwayat Imam Tirmizi)

Jemaah yang dirahmati Allah,

Adab dan akhlak yang terpuji hendaklah sentiasa ada dalam diri setiap individu pada setiap masa dan keadaan. Sesungguhnya memperbaiki diri dengan adab dan akhlak yang mulia adalah dituntut dalam agama Islam. Justeru, sesiapa yang ingin dihormati, disegani dan hidup bahagia hendaklah mempunyai adab dan akhlak yang mulia.

Akhirnya, marilah kita menghayati Sunnah Rasulullah SAW dengan berpegang teguh, mencontohi dan mengamalkan akhlak Baginda serta menjadikannya sebagai petunjuk dan teladan kita dalam segala aspek kehidupan. Mudah-mudahan dengan yang demikian, kita akan mendapat syafaat daripada Rasulullah SAW dan mendapat berkat dan rahmat di hari akhirat kelak. Amin Ya Rabbal'alamin.

Tafsirnya: Sesiapa yang taat kepada Rasulullah maka sesungguhnya dia telah taat kepada Allah, dan sesiapa yang berpaling (daripada ketaatan itu) maka (janganlah engkau berdukacita Wahai Nabi Muhammad) kerana Kami tidak mengutus engkau untuk menjadi pemelihara mereka (daripada melakukan kesalahan).{ سورة النساء آية : 80 }


Attachments