Jemaah yang dirahmati Allah,
Bertaqwalah kita ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala dengan meningkatkan keimanan kepadaNya. Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah Subhanahu Wata'ala ialah orang yang bertaqwa. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang sentiasa mengingati Allah Subhanahu Wata'ala, beroleh kejayaan dan keselamatan di dunia dan juga di akhirat.
Jemaah yang dirahmati Allah,
Dalam bulan Ramadan yang penuh rahmat dan keberkatan ini, sama-samalah kita memanjatkan syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana memanjangkan umur dan memberi kesempatan kepada kita untuk melipatgandakan usaha dan amal ibadah bagi mendapatkan ganjaran pahala di bulan yang penuh mubarak ini.
Dalam bulan ini terdapat satu peristiwa agung telah berlaku dalam sejarah Islam, iaitu turunnya kitab suci Al-Qur'an. Al-Qur'an diturunkan adalah sebagai rahmat dan penawar, menjadikan pegangan, pedoman dan petunjuk yang menjelaskan perbezaan antara yang hak dengan yang batil untuk sekalian manusia agar hidup sejahtera, aman, tenteram dan selamat di dunia dan di akhirat. Allah Subhanahu Wata'ala berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 185:
Tafsirnya: “(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah pada) bulan Ramadan yang diturunkan padanya Al-Qur'an sebagai petunjuk kepada manusia dan sebagai keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk itu dan menjelaskan perbezaan antara yang benar dengan yang salah."
Jemaah yang dirahmati Allah,
Alhamdulillah, setiap kali tiba bulan Ramadan, umat Islam di negara ini berlumba-lumba untuk meningkatkan dan melipatgandakan setiap amalan kebajikan yang dilakukan untuk mengharap keredaan Allah Subhanahu Wata'ala seperti memperbanyakkan membaca Al-Qur'an, banyak berzikir, memperbanyakkan sedekah dan seumpamanya.
Syiar Ramadan dapat dilihat di mana-mana dengan adanya pihak tertentu seperti kementerian-kementerian, jabatan-jabatan, badan-badan kerajaan, dan pihak swasta dan persendirian yang mengadakan pelbagai aktiviti berupa acara keagamaan seperti tadarus Al-Qur'an dan khatam Al-Qur'an, di mana antara tujuannya adalah untuk merebut ganjaran dan keistimewaan bagi sesiapa yang menghidupkan bulan Ramadan dengan amalan-amalan berupa ibadah dan kebajikan.
Sesungguhnya bulan Ramadan adalah kesempatan yang paling berharga bagi kita untuk memperbanyakkan membaca al-Quran, sama ada secara bertadarus ataupun secara berseorangan lebih-lebih lagi sehingga menamatkan ataupun khatam bacaan 30 juz al-Quran.
Perlu diketahui, bahawa orang-orang yang membaca Al-Qur'an dijanjikan ganjaran dan fadilat yang amat besar. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam dalam hadis-hadis Baginda ada menyebutkan mengenai kelebihan bagi orang-orang yang membaca al-Qur'an, antaranya:
Pertama: Pembaca al-Quran dinaungi dengan payung rahmat, dikelilingi para malaikat dan diturunkan Allah Subhanahu Wata'ala kepadanya ketenangan dan kewaspadaan.
Kedua: Pembaca al-Quran dikurniakan hatinya dengan cahaya oleh Allah Subhanahu Wata'ala dan dipeliharaNya dari kegelapan.
Ketiga: Pembaca al-Quran, tidak bergundah hati dan terlepas dari kesusahan-kesusahan di Hari Kiamat, kerana dia sentiasa dalam pemeliharaan dan penjagaan Allah Subhanahu Wata'ala.
Keempat: Pembaca al-Quran memperolehi kedudukan yang tinggi di dalam syurga. Daripada Abdullah bin Amru Radiallahu Anhuma, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda:
Maksudnya: Kelak akan dikatakan kepada pembaca Al-Qur'an; Bacalah (Al-Quran), naiklah (pada darjat-darjat syurga) dan bacalah dengan tartil sebagaimana engkau membacanya dengan tartil di dunia. Sesungguhnya kedudukan darjatmu sehingga kadar akhir ayat yang engkau baca. (Hadis riwayat Imam Tirmizi)
Kelima: Satu huruf Al-Quran yang dibaca mendapat satu pahala. Sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Imam At-Tirmizi, daripada Abdullah bin Mas'ud Radiallahu Anhuma, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda:
Maksudnya: Barangsiapa membaca satu huruf daripada kitab Allah (Al-Qur'an), maka baginya satu kebajikan, dan satu kebajikan menyamai dengan sepuluh. Aku tidak mengatakan Alif Lam Mim itu satu huruf tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf.
Jemaah yang dirahmati Allah,
Di bulan Ramadan yang mulia ini, marilah kita merebut peluang untuk meraih pahala dengan membaca al-Qur'an dan bertadabbur (memahami, menghayati isi kandungan) untuk dijadikan panduan dan pedoman dalam kehidupan seharian. Oleh itu, walau sesibuk mana pun kita dengan urusan pekerjaan dan kehidupan kita sehari-hari, janganlah sekali-kali kita lupa ataupun tidak meluangkan masa untuk membaca al-Qur'an dan bertadabbur dengannya.
Akhirnya, sama-samalah kita berazam untuk mengisi masa dan ruang yang ada di bulan mubarak ini dengan melakukan perkara-perkara yang baik dan berkebajikan. Marilah kita jadikan membaca al-Qur'an itu sebagai satu budaya dan amalan harian yang berterusan bukan setakat di bulan Ramadan saja. Mudah-mudahan dengan yang demikian, kita semua akan mendapat syafaat, rahmat dan berkat daripada Allah Subhanahu Wata'ala. Amin Ya Rabbal'alamin.
Tafsirnya: Sesungguhnya orang-orang yang sentiasa (melazimkan) membaca Kitab Allah (al-Qur'an) dan mendirikan sembahyang serta membelanjakan sebahagian daripada rezeki yang Kami kurniakan kepada mereka sama ada secara bersembunyi-sembunyi atau secara berterang-terangan, mereka itu mengharapkan perniagaan yang sekali-kali tidak akan rugi.
