Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Khutbah

LAKSANAKAN IBADAH PUASA DENGAN SEMPURNA

Jemaah yang dirahmati Allah,

Bertaqwalah kita ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala dengan meningkatkan keimanan kepadaNya. Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah Subhanahu Wata'ala ialah orang yang bertaqwa. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang sentiasa mengingati Allah Subhanahu Wata'ala, beroleh kejayaan dan keselamatan di dunia dan juga di akhirat.

Jemaah yang dirahmati Allah,

Alhamdulillah, kita bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana dipanjangkan umur dan diberi kesempatan bertemu lagi dengan bulan Ramadan. Bulan Ramadan merupakan bulan yang padanya terdapat limpahan berkat dan rahmat. Segala macam kelebihan dan kebajikan terkumpul dan dilipatgandakan ganjarannya di bulan yang suci lagi mulia ini.

Alangkah ruginya seorang Muslim itu jika dia tidak merebut segala kelebihan dan kebajikan yang sangat istimewa yang terdapat dalam bulan Ramadan, yang hanya hadir setahun sekali itu. Walau pun umat Islam sentiasa dituntut supaya meningkatkan amal ibadah pada setiap masa, namun Ramadan merupakan waktu terbaik untuk melipatgandakan amalan yang biasa dikerjakan.

Dalam menunaikan ibadah puasa, terdapat sebilangan orang Islam yang kurang peka tentang hukum-hakam puasa ini dan menunaikannya hanya kerana mengikut kebiasaan tanpa menghiraukan dan mengetahui perkara-perkara penting yang berkaitan dengan puasa seperti rukun puasa, syarat-syarat wajib puasa, syarat-syarat sah puasa, waktu-waktu berpuasa, perkara-perkara yang membatalkan puasa, perkara-perkara sunat dalam berpuasa, adab ketika berpuasa dan sebagainya, kerana untuk mencapai kesempurnaan ibadah puasa itu kita dituntut untuk mengetahui dan memahami tentang perkara-perkara yang berkaitan dengan puasa ini. Kita tidak mahu puasa yang kita tunaikan hanya mendapat lapar dan dahaga semata-mata. Daripada Abu Hurairah Radiallahu Anhuma, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda:

Maksudnya: Berapa ramai orang yang berpuasa tidak mendapatkan pahalanya selain lapar, dan berapa ramai orang yang sembahyang malam tidak mendapatkan pahala selain berjaga sepanjang malam. (Hadis riwayat Imam Ibnu Majah)

Jemaah yang dirahmati Allah,

Bagi mencapai kesempurnaan ibadah puasa, orang yang berpuasa itu adalah dituntut untuk meninggalkan perkara-perkara keji dan sia-sia yang boleh merosakkan ibadah puasa seperti berdusta, mengumpat, berbantah-bantahan, bertengkar, mengeji atau mencela, melakukan fitnah atau mengadu domba, berkata sia-sia dan seumpamanya.

Selain dari menghindari perkara-perkara yang merosakkan ibadah puasa, kita juga digalakkan untuk melakukan sebanyak yang mungkin amalan-amalan sunat seperti bersahur. Ulama sepakat mengatakan bahawa hukum makan sahur adalah sunat. Sahur bukan saja memberikan tenaga untuk kita berpuasa di siang hari malah ia juga mengandungi keberkatan. Daripada Anas bin Malik Radiallahu Anhuma, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda:

Maksudnya: Bersahurlah kamu, sesungguhnya dalam sahur itu mempunyai berkat. ( Hadis riwayat Imam Bukhari)

Begitu juga pada malam hari di bulan Ramadan, kita dituntut untuk menghidupkan malam-malam Ramadan dengan amalan-amalan sunat seperti sembahyang sunat tarawih, memperbanyakkan membaca Al-Qur'an, sembahyang tahajud dan bermacam-macam lagi. Walau bagaimanapun, dalam keterujaan kita memperbanyakkan amal ibadah sama ada pada waktu malam ataupun siang, janganlah sampai kita mengabaikan perkara-perkara asasi seperti kerja-kerja pejabat.

Jemaah yang dirahmati Allah,

Sesungguhnya ibadah puasa itu boleh membentuk kekuatan, kuat berusaha dan kerajinan di dalam perbuatan mahupun pekerjaan dan bukannya kelemahan, kemalasan dan alasan untuk lari dari tanggungjawab. Memang tidak dinafikan bahawa dengan berpuasa sedikit sebanyak akan mengurangkan tenaga tubuh badan kita disebabkan tidak makan dan minum di siang hari.

Namun begitu, hal ini bukanlah merupakan alasan untuk bersikap tidak produktif, bermalas-malasan dan menghabiskan masa dengan banyak tidur, melakukan aktiviti-aktiviti yang melalaikan dan sia-sia seperti melayari media sosial secara berlebihan, bermain ''game'' dan menonton program hiburan sepanjang hari agar tidak terasa letih menjalani puasa.

Apabila Ramadan tiba, para peniaga akan mengambil peluang untuk mendapatkan pendapatan yang lebih. Namun bagi umat Islam yang sedang berpuasa janganlah terlalu ghairah merebut peluang untuk mengaut keuntungan pendapatan sehingga mensia-siakan peluang yang ada untuk mengaut ganjaran pahala yang berganda-ganda. Islam tidak melarang umatnya berusaha mencari rezeki, bahkan menggalakkan umatnya menceburi bidang perniagaan.

Ingatlah, di dalan perniagaan ada adab dan batas-batasnya. Jangan kerana berniaga dan ingin mendapatkan keuntungan lebih, seseorang yang sedang berpuasa melakukan kesilapan seperti meninggalkan sembahyang disebabkan terlalu sibuk, bercakap bohong atau menipu demi melariskan barang jualan. Kerana terlalu sibuk juga, seseorang itu tidak meluangkan masa untuk menghayati dan menghidupkan bulan Ramadan dengan amalan-amalan yang sepatutnya dilakukan di bulan ini seperti menambah dan mempertingkatkan amal ibadah, membaca ayat-ayat suci Al-Qur'an, berzikir dan memperbanyakkan doa ketika berpuasa.

Jemaah yang dirahmati Allah,

Sesungguhnya ibadah puasa di bulan Ramadan merupakan salah satu rukun Islam yang wajib ditunaikan, umat Islam hendaklah menjaga dan memelihara kesempurnaannya agar diterima Allah Subhanahu Wata'ala. Oleh itu, umat Islam yang berpuasa hendaklah sentiasa berusaha untuk mendapatkan kesempurnaan ini dengan menghindar dan mengelakkan diri daripada melakukan sebarang kesalahan atau kesilapan yang boleh mencacatkan ibadah puasa tersebut.

Akhirnya, mudah-mudahan ibadah puasa yang kita kerjakan di sepanjang bulan Ramadan ini diterima dan mendapat ganjaran daripada Allah Subhanahu Wata'ala dan semoga kita tidak tergolong dalam golongan orang berpuasa yang hanya mendapat lapar dan dahaga sahaja. Amin Ya Rabbal Alamin.

Surah Al-Isra ayat 19:

Tafsirnya: Dan sesiapa yang menghendaki (kebahagiaan hidup) akhirat dan berusaha (mengerjakan amal kebajikan) untuk (tujuan) itu dengan usaha yang bersungguh-sungguh sedang dia beriman maka mereka itulah yang usaha mereka dikurniakan ganjaran yang baik (diberi pahala).

7 Mac 2025 Malay.JPG 7 Mac 2025 Eng.JPG

Attachments