Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Khutbah

MERAIH KESEMPURNAAN IBADAH PUASA

Jemaah yang dirahmati Allah,

Bertaqwalah kita ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala dengan meningkatkan keimanan kepadaNya. Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah Subhanahu Wata'ala ialah orang yang bertaqwa. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang sentiasa mengingati Allah Subhanahu Wata'ala, beroleh kejayaan dan keselamatan di dunia dan juga di akhirat.

Jemaah yang dirahmati Allah,

Masa berlalu begitu pantas, tanpa disedari kita telahpun berada di penghujung bulan Sy'aban. Sama ada esuk ataupun lusa kita akan melangkah masuk ke bulan Ramadan. Ramadan adalah bulan yang penuh dengan keberkatan dan mempunyai banyak keistimewaannya. Dalam bulan inilah juga kita diperintahkan melaksanakan ibadah puasa.

Sesungguhnya bulan Ramadan adalah bulan yang sangat istimewa kerana segala amal ibadah yang dilakukan akan mendapat ganjaran pahala yang berlipat ganda. Daripada Abu Hurairah Radiallahu Anhuma, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda yang bermaksud:

''Setiap amalan anak-anak Adam itu dilipatgandakan, satu kebajikan dilipatgandakan dengan sepuluh hingga tujuh ratus kali ganda. Allah berfirman: Kecuali puasa, sesungguhnya puasa itu untuk Aku dan Akulah yang akan memberi ganjaran pahalanya. Orang yang berpuasa itu telah meninggalkan nafsu syahwat, makan dan minum kerana Aku. Bagi orang yang berpuasa ada dua kegembiraan, kegembiraan ketika berbuka dan kegembiraan ketika ia menjumpai tuhannya. Dan bau mulut orang yang berpuasa di hadapan Allah lebih harum dari wangian kasturi." (Hadis riwayat Imam Muslim)

Jemaah yang dirahmati Allah,

Sesungguhnya ibadah puasa bukan setakat menahan diri dari makan dan minum sahaja, tetapi juga menahan diri dari perkara-perkara yang boleh membatal dan merosakkan pahala puasa. Oleh itu, bagi meraih kesempurnaan ibadah puasa, terdapat adab-adab yang perlu dijaga ketika menjalani ibadah puasa, antaranya:

Pertama: Mengawal dan menutup pandangan mata dari melihat perkara-perkara yang diharamkan oleh syarak dan dari melihat perkara-perkara yang boleh melalaikan hati dari mengingati Allah Subhanahu Wata'ala.

Kedua: Menutup telinga dari mendengar perkara-perkara yang diharamkan supaya tidak tergolong ke dalam golongan orang-orang yang suka mendengar berita bohong dan perkara sia-sia.

Ketiga: Menjaga lidah dari mengeluarkan kata-kata yang tidak berfaedah seperti berbual kosong, lebih-lebih lagi kita semua dituntut supaya menjaga lidah dari mengeluarkan kata-kata yang diharamkan seperti mengumpat, berdusta, menyebarkan fitnah dan seumpamanya. Daripada Abu Hurairah Radiallahu Anhuma, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda:

Maksudnya: ''Puasa itu adalah perisai. Maka janganlah dia (orang yang berpuasa itu) mengeluarkan kata-kata keji dan janganlah dia berbuat perlakuan orang-orang jahil. Dan sekiranya seseorang mengajaknya bertengkar atau memaki hamun dan mencelanya, maka hendaklah dia mengatakan: ''Sesungguhnya aku sedang berpuasa.'' (Hadis riwayat Imam Bukhari)

Keempat: Memelihara seluruh anggota yang lain seperti tangan, kaki dan sebagainya dari melakukan perkara-perkara yang haram dan tidak berfaedah.

Jemaah yang dirahmati Allah,

Dalam memperkatakan tentang waktu berbuka puasa, ia adalah saat yang ditunggu-tunggu dan menggembirakan bagi orang-orang yang sedang berpuasa, iaitu setelah hampir sehari menahan diri dari makan dan minum serta menahan diri daripada perkara yang membatalkan puasa. Antara trend yang disukai masa kini ialah bersungkai di luar seperti di kedai-kedai makan atau di restoran-restoran, lebih-lebih lagi di bulan Ramadan ini nanti terdapat banyak promosi-promosi sungkai yang telah diiklankan dengan tawaran harga yang sangat istimewa. Apa yang perlu diambil berat ketika bersungkai di luar ialah:

Pertama: Mendirikan sembahyang fardhu pada waktunya.

Sembahyang fardhu wajib ditunaikan pada waktunya dan meninggalkan secara sengaja atau melalai-lalaikannya sehingga luput waktunya, hukumnya adalah berdosa besar. Oleh itu, berhati-hatilah ketika menjamu selera sewaktu bersungkai, jangan terlalu asyik makan hingga waktu sembahyang Fardhu Maghrib terlepas.

Kedua: Melaksanakan sembahyang sunat Tarawih.

Sembahyang sunat tarawih ialah sembahyang sunat yang sangat dituntut (mu'akkadah). Mengerjakannya pula boleh dilakukan sama ada secara berseorangan ataupun secara berjemaah. Sembahyang ini sangat istimewa kerana ia hanya dapat dilakukan pada malam-malam di bulan Ramadan sahaja. Oleh itu, dalam kesempatan berada di bulan Ramadan ini, tanamkanlah azam untuk menjadikan masjid sebagai tempat ibadah di sepanjang bulan Ramadan ini seperti melaksanakan sembahyang sunat Tarawih, membaca Al-Qur'an, beriktikaf dan sebagainya.

Ketiga: Menjauhkan perkara makruh, iaitu makan banyak hingga terlalu kenyang dan mengelakkan pembaziran dalam penyediaan makanan.

Pada kebiasaannya apabila sudah terlalu lapar, seseorang mudah terdorong untuk makan banyak hingga terlalu kenyang. Oleh itu, kawallah minda dan nafsu ketika makan, dan elakkan dari makan terlalu banyak kerana ia boleh mendorong seseorang itu merasa malas dan sukar untuk beribadat termasuklah sembahyang fardhu dan sembahyang sunat Tarawih.

Manakala dalam penyediaan makanan pula sama ada di rumah atau di luar, hendaklah juga secara sederhana agar dapat mengelakkan pembaziran. Ini termasuklah juga perbuatan mengambil makanan yang banyak ke dalam pinggan ketika bersungkai di mana kadang kala makanan yang diambil itu tidak habis dimakan. Bukankah perbuatan tersebut juga adalah membazir.

Jemaah yang dirahmati Allah,

Sudah menjadi kebiasaan ibu bapa mengajak anak-anak untuk berpuasa sebagai latihan kepada mereka. Apa yang penting kita hendaklah mendidik mereka dalam melaksanakan ibadat puasa ini dengan menjelaskan kepada mereka tentang kelebihan, ganjaran dan keberkatan berpuasa, dan ajaklah mereka berpuasa dengan cara lemah lembut dan berhemah. Selain itu, ibu bapa hendaklah mengajar anak-anak bersahur dan raikan mereka ketika berbuka dengan penyediaan makanan yang digemari dan menyihatkan. Semoga dengan didikan tersebut akan dapat melatih anak-anak untuk berpuasa dengan ikhlas dan bukannya kerana terpaksa.

Marilah kita memohon ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala agar dapat bertemu dengan bulan Ramadan dan dapat melaksanakan ibadat puasa itu nanti dengan sempurna mengikut adab-adabnya. Semoga dengan demikian kita akan dapat lebih menghayati roh dan makna ibadah puasa yang sebenar. Akhirnya sama-samalah kita berdoa semoga ibadah puasa dan segala amal yang dilakukan kelak diterima dan mendapat ganjaran daripada Allah Subhanahu Wata'ala jua. Amin ya rabbal alamin.

Surah Al-Baqarah ayat 183:

Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang sebelum kamu supaya kamu bertaqwa.

28 Feb 2025 Malay.JPG 28 Feb 2025 Eng.JPG

Attachments