Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Khutbah

KEBERSIHAN LAMBANG KEIMANAN

Jemaah yang dirahmati Allah,

Bertaqwalah kita ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala dengan meningkatkan keimanan kepadaNya. Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah Subhanahu Wata'ala  ialah orang yang bertaqwa. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang sentiasa mengingati Allah Subhanahu Wata'ala, beroleh kejayaan dan keselamatan di dunia dan juga di akhirat.

Jemaah yang dirahmati Allah,

Agama Islam adalah agama yang sempurna dalam semua aspek kehidupan termasuklah juga dalam soal kebersihan. Kebersihan menurut Islam bukan sekadar menjadi budaya dalam kehidupan dan kemajuan bahkan juga melambangkan keimanan dan kesempurnaan dalam melaksanakan ibadah kepada Allah Subhanahu Wata'ala.

Sesungguhnya Allah Subhanahu Wata'ala amat suka orang yang sentiasa dalam keadaan bersih sebagaimana firmanNya dalam surah al-Baqarah ayat 222:

Tafsirnya: Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat dan mengasihi orang yang sentiasa mensucikan diri."

Melihat betapa pentingnya kebersihan, maka Islam amat mentitkberatkan kebersihan rohani mahupun jasmani. Kebersihan merupakan faktor yang utama sebelum melakukan sebarang pekerjaan khasnya sebelum melakukan ibadat kepada Allah Subhanahu Wata'ala. Ia adalah antara syarat dalam ibadat khusus contohnya sebelum menunaikan sembahyang, kita diwajibkan berwudhu terlebih dahulu dan sebelum menunaikan sembahyang kita hendaklah mempastikan tubuh badan, pakaian dan tempat sembahyang dalam keadaan bersih dan suci. Daripada Abu Malik Al-Asy'ari Radiallahu Anhuma berkata, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda:

Maksudnya: Kebersihan itu sebahagian daripada iman. (Hadis riwayat Imam Muslim)

Jemaah yang dirahmati Allah,

Jika  terdapat kekotoran dan pencemaran di sesuatu tempat, maka amat berpotensi untuk menyebabkan wabak-wabak penyakit. Oleh itu, kita hendaklah menjaga kebersihan dengan sebaik-baiknya agar kita tidak terdedah kepada penyakit. Bagi menjaga diri dan menjauhkan daripada penyakit, penjagaan kebersihan hendaklah dititikberatkan.

Selain daripada kebersihan jasmani atau fizikal, kebersihan rohani juga memainkan peranan yang amat penting kerana dengan kebersihan rohani akan dapat mendidik hati dan jiwa menjadi bersih. Apabila hati bersih, kita akan menjadi manusia yang berakhlak mulia dan berkeperibadian terpuji.

Agama Islam mengajarkan bahawa kebersihan itu merangkumi kebersihan dan kesucian rumah dan perkarangannya, kebersihan dan kesucian badan, kebersihan dan kesucian pakaian, kebersihan dan kesucian makanan, kebersihan dan kesucian roh dan hati.

Demikianlah, bagaimana halusnya pendidikan Islam dalam soal memelihara kebersihan yang bukan sahaja untuk menjaga kesihatan, malah lebih meluas lagi. Sesungguhnya memelihara kebersihan boleh mendatangkan pahala dan menjadikan sah atau diterima ibadatnya oleh Allah Subhanahu Wata'ala. Sebaliknya mengabaikan kebersihan pula boleh mengakibatkan dosa dan seksa di akhirat serta tidak diterima ibadatnya oleh Allah Subhanahu Wata'ala.

Oleh yang demikian, perintah memelihara kebersihan dalam kehidupan seharian adalah demi untuk kebaikan dan keselamatan manusia itu sendiri dan sebagai syarat yang mustahak untuk melakukan ketaatan kepada Allah Subhanahu Wata'ala. Orang yang  taat tentu beroleh pahala sementara yang melanggar perintah Allah Subhanahu Wata'ala akan mendapat dosa dan kemurkaanNya.

Jemaah yang dirahmati Allah,

Marilah kita sama-sama menjaga kebersihan dan menjadikannya sebagai budaya dan amalan dalam kehidupan kita sehari-hari. Kita hendaklah bertanggungjawab terhadap kebersihan di mana sahaja, sama ada di kawasan rumah sendiri, masjid, bangunan-bangunan kerajaan dan swasta, tandas-tandas awam, taman-taman rekreasi dan tempat-tempat awam yang lain.  Semoga dengan demikian, persekitaran menjadi bersih, kesihatan terjamin dan seterusnya kita dapat menikmati kehidupan dengan lebih selesa dan bahagia. Amin Ya Rabbal 'Alamin.

Surah Asy-Syams ayat 9-10:

Tafsirnya: Sesungguhnya berjayalah orang yang mensucikan jiwanya. Dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorinya.

14 Feb 2025.JPG

Attachments