Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Khutbah

MEMEDULI DAN MENYAYANGI ANAK YATIM TANGGUNGJAWAB BERSAMA

Jemaah yang dirahmati Allah,

Bertaqwalah kita ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala dengan meningkatkan keimanan kepadaNya. Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah Subhanahu Wata'ala ialah orang yang bertaqwa. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang sentiasa mengingati Allah Subhanahu Wata'ala, beroleh kejayaan dan keselamatan di dunia dan juga di akhirat.

Jemaah yang dirahmati Allah,

Agama Islam adalah agama yang menyuruh umatnya untuk hidup saling bantu-membantu dan tolong-menolong, kerana Islam adalah agama yang mementingkan hubungan yang baik.

Maka dengan cara demikian akan dapat menjadikan umat Islam sebagai umat yang kuat dan bersatu padu, dapat menimbulkan perasaan hormat-menghormati dan sayang-menyayangi tanpa mengira keluarga, kaum kerabat, rakan, jiran mahupun orang yang tidak dikenali. Salah satu cara untuk melaksanakan konsep tolong-menolong atau bantu-membantu ialah dengan amalan bersedekah.

Melalui amalan sedekah dapat melatih jiwa seseorang itu untuk menjadi orang yang belas kasihan, berkasih sayang, jauh dari bersifat pentingkan diri sendiri dan sebagainya. Bersedekah juga adalah salah satu cara membelanjakan harta pada jalan Allah Subhanahu Wata'ala. Ini kerana tujuan seseorang bersedekah itu adalah atas dasar untuk mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wata'ala.

Bersedekah sama ada dengan wang ringgit atau lainnya merupakan amalan mulia yang memberi keuntungan kepada orang yang mengeluarkannya dan orang yang menerimanya. Orang yang bersedekah mendapat balasan pahala, sementara bagi orang yang menerimanya pula dapat menggunakan sedekah tersebut bagi memenuhi keperluan hidupnya. Pada hakikatnya, harta yang disedekahkan bukannya berkurang, malahan Allah Subhanahu Wata'ala  akan menggantikan dan menambah hartanya dengan berlipat kali ganda. Firman Allah Subhanahu Wata'ala  dalam surah al-Hadid ayat 18:

Tafsirnya: Sesungguhnya orang-orang lelaki yang bersedekah dan orang-orang perempuan yang bersedekah, serta mereka memberikan pinjaman kepada Allah, sebagai pinjaman yang baik (ikhlas) akan dikenakan balasannya dengan berganda-ganda banyaknya, dan mereka pula akan beroleh pahala yang mulia.

Jemaah yang dirahmati Allah,

Bersedekah merupakan salah satu cara untuk membantu golongan yang kurang berkemampuan dan yang memerlukan bantuan seperti golongan fakir dan miskin, termasuklah juga anak-anak yatim. Agama Islam sangat mengambil berat tentang hal ehwal dan kebajikan anak-anak yatim. Adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk mengambil berat terhadap anak-anak yatim lebih-lebih lagi orang yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga anak yatim tersebut. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam dalam hadis baginda telah memberitahu tentang kedudukan yang mulia di syurga bagi orang yang menjaga anak yatim. Daripada Abu Hurairah Radiallahu Anhuma, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda:

Maksudnya: Penjaga anak yatim daripada kerabat atau bukan kerabatnya, saya dan penjaga itu adalah seperti dua jari ini di dalam syurga. Malik (Periwayat hadis) mengisyaratkan dengan jari telunjuk dan jari hantu. (Hadis riwayat Imam Muslim)

Selain itu, kita juga diperintahkan untuk bersikap lemah lembut dan berbuat baik kepada anak yatim. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah al-Baqarah ayat 83:

Tafsirnya: ...Dan berbuat baiklah kepada ibu bapa, kaum kerabat dan anak-anak yatim serta orang-orang miskin...

Sesungguhnya ganjaran yang diberikan terhadap perlakuan baik kepada mereka amat besar di sisi Allah Subhanahu Wata'ala. Adapun salah satu daripada perlakuan baik terhadap anak yatim itu ialah dengan menghulurkan bantuan kepada mereka lebih-lebih lagi bagi anak-anak yatim yang hidup susah dan tidak mendapat penjagaan yang sewajarnya. Bantuan yang dihulurkan sama ada berupa wang ringgit atau barang-barang keperluan bukan sahaja dapat mengurangkan bebanan mereka, bahkan juga dapat menimbulkan kebahagiaan dan kegembiraan di hati mereka.

Alhamdulillah  masyarakat kita masih kaya dengan sifat kasih sayang, simpati dan bertanggungjawab terhadap anak-anak yatim. Banyak pihak berusaha untuk mengumpulkan dana bagi memberi bantuan kepada mereka sama ada dari pihak kerajaan, swasta ataupun persendirian. Banyak kemudahan juga disediakan untuk kita menghulurkan sedekah atau derma, antaranya  melalui khidmat pesanan ringkas (SMS), iaitu projek SMS Brunei Prihatin Bagi Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Untuk Anak-Anak Yatim yang telah dibukakan selama 9 bulan mulai 2 Disember 2024 yang lalu sehingga 2 September 2025.

Projek tahunan ini merupakan salah satu usaha Dana bagi memudahkan orang ramai untuk menghulurkan sumbangan mereka melalui perkhidmatan SMS bagi sama-sama membantu anak-anak yatim di Negara Brunei Darussalam. 

Jemaah yang dirahmati Allah,

Memandangkan bersedekah atau berderma adalah amalan mulia dan dijanjikan ganjaran yang sangat besar, marilah kita melazimkan diri untuk bersedekah atau berderma, tidak kira sama ada banyak atau sedikit, apa yang penting  adalah niat yang ikhlas kerana Allah Subhanahu Wata'ala. Mudah-mudahan segala yang kita infaqkan dan dermakan dengan tulus ikhlas diterima oleh Allah Subhanahu Wata'ala dan dengannya rezeki kita semakin bertambah, berkat, mendapat keredhaan dan rahmat yang berpanjangan daripada Allah Subhanahu Wata'ala. Amin Ya Rabbal Alamin.

Tafsirnya: (Mengenai urusan-urusan kamu) di dunia dan di akhirat." Dan mereka bertanya lagi kepadamu (wahai Nabi Muhammad) mengenai anak-anak yatim. Katakanlah (kepada mereka): "Memperbaiki keadaan mereka amatlah baik." Dan jika kamu bercampurgaul dengan mereka (tidak ada salahnya)* kerana mereka ialah saudara-saudara kamu (yang seagama). Dan Allah mengetahui orang yang membuat kerosakan (pada harta benda mereka) daripada orang yang hendak memperbaikinya. Dan jika Allah menghendaki tentulah Dia memberatkan kamu (dengan melarang kamu bercampur gaul dengan mereka). Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

7 Feb 2025.JPG


Attachments