Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Khutbah

MEMELIHARA KESIHATAN AKAL

​Jemaah yang dirahmati Allah,

Bertaqwalah kita ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala dengan meningkatkan keimanan kepadaNya. Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah Subhanahu Wata'ala  ialah orang yang bertaqwa. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang sentiasa mengingati Allah Subhanahu Wata'ala, beroleh kejayaan dan keselamatan di dunia dan juga di akhirat.

Jemaah yang dirahmati Allah,

Islam adalah agama rahmat kepada seluruh alam (رَحْمَةً لِلْعَالَمِينَ) yang memberi penekanan kepada semua aspek kehidupan termasuklah dalam hal menjaga kesihatan tubuh badan, pemeliharaan akal dan kesihatan mental.  Oleh itu,  amat mustahak untuk kita semua menyedari tentang pentingnya kesedaran terhadap penyakit mental, memelihara tahap kesihatan mental yang baik dan mengenal pasti gejala-gejala masalah kesihatan mental yang memerlukan perhatian dan rawatan.

Kita juga perlu mengetahui bahawa definisi kesihatan secara menyeluruh tidak hanya tertumpu kepada kesihatan fizikal semata-mata tetapi turut merangkumi kesihatan mental. Mengikut takrifan Pertubuhan Kesihatan Sedunia: “Kesihatan adalah satu keadaan merangkumi kesihatan secara fizikal, mental dan sosial dan tidak hanya ketiadaan penyakit".

Secara umumnya, kesihatan mental menggambarkan tahap kesejahteraan pemikiran dan emosi seseorang individu. Masalah kesihatan mental bukanlah bermakna gila atau kurang siuman. Kesihatan mental adalah cara manusia berfikir, merasa, berkelakuan dan berinteraksi dengan orang lain.

Kesihatan mental amat penting diberikan perhatian. Lazimnya seseorang yang sihat mentalnya akan sentiasa menunjukkan sifat-sifat positif seperti mudah bergaul, beramah mesra, berkeyakinan tinggi, bijak mengurus dan berupaya mengendalikan sesuatu masalah secara bijaksana. Sebaliknya gangguan mental menyebabkan seseorang merasa resah, murung, celaru, gugup, cemas, takut, tertekan dan sebagainya, yang mengakibatkan berlakunya perubahan sikap seperti berdiam diri, enggan bergaul, mudah marah, hilang tumpuan serta hilang kewarasan. Jika tidak dibendung atau tidak dirawat, gangguan mental boleh membawa kepada tindakan lebih buruk sehingga melakukan perbuatan-perbuatan yang mencederakan ahli keluarga, orang sekeliling, malah menjejaskan keharmonian hidup bermasyarakat.

Antara punca yang mendorong kepada berlakunya gangguan mental ialah masalah sosio-ekonomi, kesempitan dan bebanan hidup, mengalami pengalaman buruk, terdedah kepada suasana dan persekitaran hidup yang tidak bersih dan tidak sihat, terpinggir daripada sokongan keluarga, tekanan di tempat kerja, pengambilan minuman keras serta ketagihan dadah, tabiat makan yang buruk dan kurang melibatkan diri dalam kegiatan-kegiatan kekeluargaan dan kemasyarakatan.

Jemaah yang dirahmati Allah,

Menurut Islam, kesihatan akan dapat dipelihara dengan baik jika manusia mengamalkan tabiat hidup yang telah diatur dengan baik menurut ketetapan dan kehendak syarak iaitu Maqasid Syariah. Kesihatan akan terpelihara jika manusia mengamalkan budaya hidup yang dapat membantu membangunkan minda dan tubuh yang sihat melalui menjaga makan minum dengan bahan makanan yang seimbang, tidur dan waktu rehat yang cukup, beriadah serta memiliki tingkah laku yang baik.

Segala permasalahan perlu dikongsi dengan pihak lain seperti ibu bapa atau mereka yang boleh dipercayai, agar  masalah tidak menjadi tekanan kepada diri yang seterusnya boleh mendorong kepada kejadian yang tidak diingini.

Harus juga diingat, menjaga kesihatan dalam Islam bukanlah sekadar luaran sahaja tetapi perihal dalaman (rohani) juga harus dititikberatkan. Jiwa yang tidak diisi dengan  ilmu yang berfaedah akan terasa kosong dan akhirnya akan mencari sesuatu yang tidak baik sebagai mengisi kekosongan di dalamnya.

Oleh itu, perbanyakkanlah amalan yang boleh mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wata'ala seperti membaca al-Quran, berzikir, menunaikan sembahyang sunat, bermunajat, berpuasa, bersedekah dan berdoa memohon pertolongan yang Maha Esa. Dengan mengingati Allah Subhanahu Wata'ala, hati akan dipenuhi ketenangan dan pasrah kepada segala ketentuanNya. Firman Allah Subhanahu Wata'ala  dalam Surah ar-Ra'd, ayat 28:

Tafsirnya: “(Iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka tenteram dengan zikrullah (mengingat Allah Subhanahu Wata'ala)." Ketahuilah dengan zikrullah itu hati menjadi tenteram.

Selain itu, apabila ditimpa masalah, selalulah bersangka baik dengan Allah Subhanahu Wata'ala kerana ujian yang menimpa bertujuan untuk menguji keimanan dan pergantungan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala serta percaya bahawa ada hikmah di sebalik sesuatu kejadian.

​Jemaah yang dirahmati Allah,

Tekanan dan bebanan hidup seseorang boleh dikurangkan jika masyarakat mengamalkan sifat ihsan yang bersedia membantu meringankan beban orang lain. Sebagai contoh isteri yang baru melahirkan anak memerlukan tempoh masa untuk kembali sihat secara mental, emosi dan fizikal. Ketika itu, para suami dan ahli keluarga sepatutnya tampil mempermudah segala urusan, terutama keperluan ibu dan anak.

Anak-anak tidak boleh dipaksa atau ditekan untuk melakukan perkara di luar kemampuan dan minat mereka, sebaliknya anak-anak hendaklah diberikan bimbingan untuk memilih apa sahaja bidang yang mereka mahu ceburi, berasaskan bakat, keupayaan dan minat mereka, asalkan memberi manfaat.

Hulurkanlah bantuan kepada mereka yang mengalami gangguan emosi dengan mendapatkan khidmat pakar pesakit mental, pakar kaunseling atau setidak-tidaknya memberikan nasihat dan membantu menenangkan hati dan perasaan mereka.

Jemaah yang dirahmati Allah,

Kepentingan menjaga kesihatan jelas terbukti apabila Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam sendiri sentiasa memohon kesempurnaan kesihatan sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Imam Abu Daud bahawa Abdullah bin Umar Radiallahu Anhuma berkata: “Rasulullah tidak meninggalkan doa-doa berikut pada setiap waktu petang dan pagi, iaitu:

Maksudnya: Ya Allah aku memohon kesempurnaan kesihatan dalam urusan dunia dan akhirat, Ya Allah aku memohon keampunan dan kesempurnaan kesihatan dalam urusan agamaku, duniaku, keluargaku hartaku. Ya Allah! Tutupilah aibku dan berilah ketenteraman di dalam hatiku. Ya Allah! Jagalah aku dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atasku, serta aku memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar (dalam keadaan tidak sedar) dari bawahku."

Oleh yang demikian, sama-samalah kita mengamalkan gaya hidup sihat seperti penjagaan pemakanan yang seimbang, bersenam, mengawal tekanan perasaan dan menghindarkan diri daripada terlibat dengan aktiviti-aktiviti yang negatif dan berisiko. Di samping itu, sentiasalah berdoa memohon ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala agar kehidupan kita sentiasa dilindungi dan dikurniakan kesihatan yang baik zahir dan batin, aamiin ya rabbal alamin.

Surah Ghafir ayat 60:

Tafsirnya:  Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kepadaKu nescaya Aku memperkenankan doa kamu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri daripada beribadat kepadaKu akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina."

31 Jan 2025.JPG

Attachments