Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Khutbah

MENUJU KEJAYAAN DENGAN SEMBAHYANG

Jemaah yang dirahmati Allah,

Bertaqwalah kita ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala dengan meningkatkan keimanan kepadaNya. Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah Subhanahu Wata'ala  ialah orang yang bertaqwa. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang sentiasa mengingati Allah Subhanahu Wata'ala, beroleh kejayaan dan keselamatan di dunia dan juga di akhirat.

Jemaah yang dirahmati Allah,

Bulan Rejab adalah bulan yang mencatatkan sejarah yang sentiasa diingati oleh umat Islam kerana dalam bulan inilah berlakunya peristiwa Isra' dan Mi'raj Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam.

Dalam peristiwa ini, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam telah diisra'kan (diperjalankan) dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Aqsa di Palestin dan kemudian dimi'rajkan (dinaikkan) ke langit menuju ke Sidratul Muntaha. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al-Isra' ayat 1:

Tafsirnya: Maha suci Allah yang telah memperjalankan hambaNya (Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassallam dengan roh dan jasadnya) pada waktu malam dari Masjidilharam (di Mekah) ke Masjidilaqsa (Baitulmaqdis di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya supaya Kami memperlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda-tanda (kebesaran dan kekuasaan) Kami. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.

Dalam peristiwa tersebut, baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam telah menyaksikan tanda-tanda keagungan dan kekuasaan Allah Subhanahu Wata'ala dan di kemuncak peristiwa inilah Allah Subhanahu Wata'ala telah memfardhukan sembahyang lima waktu kepada umat Islam. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al-Isra' ayat 78:

Tafsirnya: Dirikanlah sembahyang mulai tergelincir matahari hingga sampai gelap malam, dan (dirikanlah) sembahyang Subuh, sesungguhnya sembahyang Subuh itu disaksikan (oleh malaikat).

Jemaah yang dirahmati Allah,

Ibadah sembahyang adalah tanda ketaatan dan kesyukuran kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala yang telah melimpahkan berbagai-bagai nikmat dan rahmat. Sesungguhnya ibadah sembahyang adalah ibadah yang utama dan yang mula-mula sekali akan diperhitungkan oleh Allah Subhanahu Wata'ala pada hari kiamat kelak.

Oleh itu, jika seseorang itu sempurna sembahyangnya nescaya berbahagialah dan beruntunglah dia. Sebaliknya jika tidak sempurna sembahyangnya maka akan rugi dan menyesallah dia kelak. Apatah lagi bagi mereka yang meninggalkan sembahyang kerana hukumnya adalah berdosa besar dan Allah Subhanahu Wata'ala telah menjanjikan seksaan yang pedih di akhirat kelak. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah al-Muddatstsir ayat 42-43:

Tafsirnya:  (Mereka berkata): “Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam neraka Saqar?". Orang-orang berdosa itu berkata: “Kami tidak termasuk dalam golongan yang mendirikan sembahyang".

Sesungguhnya ibadah sembahyang itu sangat banyak fadhilat dan kesannya dalam kehidupan. Antaranya ialah;

Pertama: Mengajar tentang pengurusan masa. Melalui ibadah sembahyang, kita belajar melakukan perkara-perkara yang lebih utama iaitu mengenai kepentingan masa, ketepatan masa dan mendisiplinkan diri untuk menepati waktu. Daripada Abdullah bin Mas'ud Radiallahu Anhuma bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam pernah ditanya mengenai amalan yang disukai oleh Allah Subhanahu Wata'ala. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda:

الصَّلاَةُ عَلَى وَقْتِهَا

Maksudnya: Sembah​yang pada waktunya. (Hadis riwayat Imam Bukhari)

Kedua: Mengajar ke arah memperbaiki diri. Terdapat banyak cara bagi seorang muslim untuk memperbaharui dirinya. Antaranya ialah dengan sentiasa berzikir mengingat Allah Subhanahu Wata'ala, membaca al-Quran serta memahami erti isi kandungannya dan yang terpenting adalah melaksanakan ibadah sembahyang. Dengan demikian mampu menolong seseorang itu untuk sentiasa memperbaiki dirinya daripada melakukan dosa-dosa dan kejahatan.

Ketiga: Mengukuhkan hubungan sesama insan. Adapun antara amalan yang terpenting dalam ibadah sembahyang ialah melakukan sembahyang secara berjemaah. Sembahyang berjemaah itu mempunyai rahsianya yang sangat istimewa, antaranya ialah dapat menghidupkan rasa kesatuan yang sebenarnya di dalam jiwa umat Islam. Ini akan dapat membuahkan rasa kemesraan serta menyemarakkan semangat persaudaraan seagama.

Keempat: Membuahkan kejayaan dan keberkatan dalam kehidupan di dunia dan di akhirat. Di dalam al-Quran ada disebutkan tentang orang-orang beriman yang berjaya mencapai keselamatan hidup di dunia dan menikmati kebahagiaan yang kekal di akhirat kelak ialah mereka yang mengerjakan suruhanNya dan menjauhi laranganNya, iaitu dengan mengerjakan sembahyang dengan khusyuk, sebagaimana firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah al-mu'minun ayat 1 hingga 2:

Tafsirnya: Sesungguhnya berjayalah orang-orang beriman. (Iaitu) orang-orang yang khusyuk dalam sembahyang mereka.

Jemaah yang dirahmati Allah,

Balasan bagi orang yang sentiasa menjaga dan memelihara sembahyangnya maka sudah pasti Allah Subhanahu Wata'ala memberikan ganjaran syurga, sebagaimana firmanNya dałam Surah al-Mu'minun ayat 9 hingga 11:

Tafsirnya: Dan orang-orang yang tetap memelihara sembahyang mereka. Mereka itulah pewaris-pewaris. Yang akan mewarisi syurga Firdaus, mereka kekal di dalamnya.

Jelas sekali sembahyang adalah penentu segala-galanya. Di zaman yang serba moden ini, menjadikan kita semakin sibuk dengan hal ehwal duniawi. Akan tetapi janganlah kita jadikan kesibukan itu sebagai satu alasan untuk kita mencuaikan dan melalaikan ibadah sembahyang.

Ringan atau beratnya ibadah sembahyang itu bergantung pada keimanan seseorang. Oleh itu, semakin beriman seseorang itu bererti semakin mudahlah ia menunaikan dan mendirikan sembahyang akan tetapi jika kurangnya iman seseorang itu terhadap Allah Subhanahu Wata'ala maka akan berasa berat dan malaslah ia untuk menunaikan ibadah sembahyang.

Akhirnya, marilah kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintahNya dan menjauhi segala laranganNya, di samping kita mempertingkatkan usaha dalam mendidik anak-anak dan ahli keluarga kita agar tetap menyempurnakan kewajipan masing-masing terutama dalam ibadah sembahyang. Mudah-mudahan dengan yang demikian, kita semua akan terhindar dan tidak termasuk ke dalam neraka Saqar serta terhindar dari sebarang bahaya dan bala bencana. Amin Ya Rabbal Alamin.

Surah Taha ayat 132:

Tafsirnya: Dan perintahkanlah keluargamu mendirikan sembahyang, dan bersabarlah dalam menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki daripadaMu (bahkan) Kamilah yang mengurniakan rezeki kepadamu. Dan akibat (kesudahan yang baik) adalah bagi orang-orang yang bertaqwa.

24 Jan 2025 Malay.JPG 24 Jan 2025 Eng.JPG

Attachments