Jemaah yang dirahmati Allah,
Bertaqwalah kita ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala dengan meningkatkan keimanan kepadaNya. Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah Subhanahu Wata'ala ialah orang yang bertaqwa. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang sentiasa mengingati Allah Subhanahu Wata'ala, beroleh kejayaan dan keselamatan di dunia dan juga di akhirat.
Jemaah yang dirahmati Allah,
Allah Subhanahu Wata'ala mengurniakan harta dan wang ringgit kepada manusia untuk keperluan dan kesejahteraan hidup. Harta juga adalah anugerah Allah Subhanahu Wata'ala kepada hamba-hambaNya untuk menguji sejauh mana keimanan dan ketaqwaan mereka dalam menguruskan kurniaan ini.
Sesungguhnya harta dan wang ringgit yang kita miliki adalah amanah dan tanggungjawab yang perlu diurus, dirancang dan dibelanjakan menurut panduan syariat bagi menjamin kesejahteraan hidup kita di dunia dan kebahagiaan di akhirat. Setiap wang ringgit yang kita perolehi dan belanjakan pasti akan ditanya di akhirat kelak. Daripada Abu al-Barazah al-Aslami Radiallahu Anhuma, bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda:
Maksudnya: “Tidak akan berganjak kedua-dua kaki seorang hamba pada hari kiamat sehingga dia ditanya tentang umurnya pada urusan apa dihabiskan, tentang ilmunya apakah telah diamalkan, tentang hartanya dari mana diperolehi dan ke mana dibelanjakan dan tentang tubuh badannya pada perkara apa digunakan". (Hadis riwayat Imam Tirmizi)
Berdasarkan hadis tersebut, jelas bahawa setiap harta dan wang ringgit kita akan dipersoalkan kerana ia adalah amanah milik Allah Subhanahu Wata'ala yang dipinjamkan kepada kita. Oleh kerana itu kita perlu memastikan wang ringgit yang kita miliki diurus dengan tepat dan teratur.
Jemaah yang dirahmati Allah,
Antara langkah-langkah yang perlu dilaksanakan dalam perancangan kewangan setiap individu muslim ialah :
Pertama: Memastikan sumber pendapatan yang halal dan mengelakkan dari segala sumber yang haram seperti hasil rasuah, riba, judi, curi dan sebagainya. Langkah ini adalah amat penting untuk memastikan keberkatan hidup. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah al-Nahl ayat 114:
Tafsirnya: Maka makanlah yang halal lagi baik daripada rezeki yang Allah telah kurniakan kepada kamu (wahai orang-orang yang beriman) dan syukurilah ni'mat Allah itu jika benar kamu hanya beribadat kepadaNya.
Kedua: Mengawasi perbelanjaan dan mengawalnya dengan baik. Utamakan keperluan asas sebagai nafkah diri dan keluarga, seperti makan minum, tempat tinggal dan bayaran pinjaman bulanan sebelum berbelanja untuk kegunaan lain seperti aktiviti percutian dan hiburan. Senaraikan kos perbelanjaan yang utama untuk diselesaikan, setelah itu baki dari perbelanjaan tersebut barulah digunakan untuk perkara lain, sesuai dengan tahap kemampuan kewangan kita. Setiap ahli keluarga perlu dididik agar bijak berbelanja untuk mengelakkan pembaziran. Ketua keluarga hendaklah mengawal dan mengatur kewangan dan perbelanjaan ahli keluarganya. Allah Subhanahu Wata'ala berfirman dalam Surah an-Nisa ayat 5:
Tafsirnya: Dan janganlah kamu berikan kepada orang-orang safih harta (mereka yang ada dalam jagaan) kamu yang Allah telah jadikannya sebagai asas kehidupan kamu. Dan berilah mereka itu perbelanjaan dan pakaian daripada hasil harta mereka (yang kamu usahakan) dan katakanlah kepada mereka dengan kata-kata yang baik.
Ketiga: Peruntukkan sebahagian daripada harta kita untuk membuat kebajikan bagi menjadikan rezeki yang Allah Subhanahu Wata'ala kurniakan itu berkat. Lazimkan bersedekah, membantu kaum keluarga yang memerlukan, menyumbang untuk kegiatan agama dan kemasyarakatan dan sebagainya. Ingatlah bahawa dengan bersedekah rezeki kita akan bertambah dan diberkati. Daripada Abu Hurairah Radiallahu Anhuma, bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda:
Maksudnya: “Tidak berlalu suatu pagi bagi hamba Allah melainkan akan turun dua Malaikat (ke Dunia), maka salah satunya berdoa: “Ya Allah kurniakanlah gantian kepada orang yang menafkahkan hartanya). Lalu berdoa malaikat yang lain: "Ya Allah musnahkanlah harta orang yang bakhil." (Hadis riwayat Imam Bukhari)
Keempat: Peruntukkan sebahagian daripada wang yang diperolehi sebagai simpanan. Simpanan wang adalah perlu bagi menjamin kesejahteraan dan keselesaaan di waktu kesempitan. Setiap muslim perlu memastikan dirinya sentiasa bersedia menghadapi hari-hari depannya dengan perancangan dan persediaan yang rapi. Elakkanlah diri kita dari sikap meminta-minta dan menagih simpati orang lain di waktu terdesak. Dengan wang simpanan ini juga, kita dapat merancang ekonomi keluarga yang lebih baik.
Di samping itu, janganlah pula kita melupakan tanggungjawab kita terhadap harta yang dikurniakan Allah Subhanahu Wata'ala kepada kita iaitu kewajipan mengeluarkan zakat. Zakat berperanan membersihkan harta dan jiwa kita daripada noda dan dosa serta menambahkan keberkatan hidup di dunia dan di akhirat. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah at-Taubah ayat 103:
Tafsirnya: Ambillah sebahagian daripada harta mereka sebagai sedekah (zakat) supaya dengannya engkau membersihkan mereka (daripada dosa) dan mensucikan mereka. Dan doakanlah mereka kerana sesungguhnya doamu itu menjadi sebab ketenteraman jiwa mereka. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.
Jemaah yang dirahmati Allah,
Sesungguhnya harta dan wang ringgit adalah amanah Allah Subhanahu Wata'ala yang dipinjamkan kepada manusia sebagai wasilah untuk mencapai kehidupan yang sejahtera dan diberkati. Oleh itu, kita belanjakanlah mengikut jalan yang diredhai Allah Subhanahu Wata'ala. Mudah-mudahan kita semua bijak dalam merancang dan menggunakan harta yang kita miliki bagi menjamin kebahagiaan dan kejayaan di dunia dan di akhirat. Aamiin ya rabbal alamin.
Surah An-Anfal ayat 28:
Tafsirnya: Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah sebagai fitnah (ujian), dan sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar.
