بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم
Dalam masa kurang dua minggu sahaja lagi, masyarakat Islam di Negara Brunei Darussalam khasnya dan penduduk Islam dunia amnya akan menyambut Sambutan Maulud Nabi Muhammad Shallallahu 'Alaihi Wasallam bagi tahun 1446 Hijrah. Negara Brunei Darussalam akan mengadakan Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad Shallallahu 'Alaihi Wasallam secara besar-besaran untuk menyemarakkan dan menyebarkan lagi Syiar Islam di negara ini di samping memperingati akan kelahiran Baginda Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam pada setiap 12 Rabiulawal Tahun Hijrah.
Sehubungan dengan itu, Perhimpunan dan Perarakan Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad Shallallahu 'Alaihi Wasallam Peringkat Negara bagi Tahun 1446 Hijrah akan diadakan secara serentak di keempat-empat daerah dengan tumpuan utama di Taman Haji Sir Muda Omar 'Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan, pada Hari Isnin, 12 Rabiulawal 1446 Hijrah bersamaan 16 September 2024 Masihi, bertempat di Taman Haji Sir Muda Omar 'Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan, mulai Jam 7.00 pagi.
Di Daerah Belait akan diadakan di Padang Bandaran, Jalan Sultan Kuala Belait; Daerah Tutong, akan diadakan di Padang Kompleks Dewan Kemasyarakatan Daerah Tutong; dan Daerah Temburong akan diadakan di Padang Kompleks Dewan Kemasyarakatan Pekan Bangar.
Sementara itu, Latihan Penuh (Rehearsal) Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad Shallallahu 'Alaihi Wasallam Peringkat Negara bagi Tahun 1446 Hijrah bagi Daerah Brunei dan Muara akan diadakan pada hari Khamis, 12 September 2024.
Tema Sambutan Maulud Nabi Muhammad Shallallahu 'Alaihi Wasallam Peringkat Negara bagi Tahun 1446 Hijrah ialah "Memelihara Akal Berpandukan Sunnah Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam".
“ممليهارا عقل برفندوكن سنة رسول الله صلى الله عليه وسلم
Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad Shallallahu 'Alaihi Wasallam Peringkat Negara bagi Tahun 1446 Hijrah dikendalikan bersama oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama; Kementerian Pendidikan; Kementerian Pengangkutan dan Infokumunikasi serta Yayasan Sultan Haji Hasssanal Bolkiah.
Sama-samalah kita memperbanyakkan selawat ke atas Junjungan Besar kita Nabi Muhammad Shallallahu 'Alaihi Wasallam. Semoga kita semua mendapat keberkatan dan keredhaan daripada Allah Subhanahu Wa Ta'ala jua.