بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم
Bahagian Peperiksaan, Jabatan Pengajian Islam selaku Urus Setia Lembaga Peperiksaan Pelajaran Ugama Brunei (LPPUB) telah mengeluarkan keputusan peperiksaan Pemilihan Calon ke Sekolah Arab (PCKSA) tahun 1445H/2024M.
Seramai 1,651 orang calon telah menduduki peperiksaan PCKSA dan daripada jumlah tersebut, seramai 429 orang calon (25.98%) telah lulus dan akan mengikuti pengajian Tahun 5 di sekolah-sekolah Arab yang berkenaan bagi sesi pengambilan tahun 1446H/2025M berbanding seramai 611 orang (35.11%) lulus pada tahun 2023. Daripada jumlah berkenaan, seramai 213 orang (26.93%) adalah calon lelaki dan 216 orang (25.12%) adalah calon perempuan.
Ketua-ketua Guru Ugama Sekolah Rendah Kerajaan/Swasta yang berkenaan hendaklah mengambil keputusan calon bagi sekolah masing-masing pada hari Khamis, 12 Jamadilawal 1446H bersamaan 14 November 2024M di pejabat Bahagian Peperiksaan, Jabatan Pengajian Islam bertempat di Aras Bawah, Bangunan Kementerian Hal Ehwal Ugama, Jalan Dewan Majlis bermula pukul 9:00 pagi. Ibu bapa / penjaga calon bolehlah menghubungi pihak sekolah di mana anak mereka bersekolah untuk mengetahui keputusan anak masing-masing.
Sehubungan dengan itu, ibu bapa / penjaga bagi calon-calon yang LULUS dalam peperiksaan ini bolehlah mengambil BORANG PENDAFTARAN / KEMASUKAN KE SEKOLAH ARAB di sekolah-sekolah Arab berikut:
BIL | CALON | DARI DAERAH | TEMPAT MENGAMBIL BORANG |
i. | Lelaki | Brunei dan Muara | Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah |
ii. | Perempuan | Brunei dan Muara | Sekolah Persediaan Arab Bandar Seri Begawan (bangunan SUAMPRIPAD) |
iii. | Lelaki dan perempuan | Tutong | Ma'had Islam Brunei, Tutong |
iv. | Lelaki dan perempuan | Belait | Sekolah Arab Belait |
v. | Lelaki dan perempuan | Temburong | Sekolah Arab Temburong |
Borang berkenaan bolehlah diambil bermula hari Khamis, 12 Jamadilawal 1446H bersamaan 14 November 2024M pada hari bekerja (Isnin hingga Khamis) dari pukul 8:30 pagi hingga 12:00 tengah hari dan pukul 2:00 petang hingga 4:00 petang manakala Hari Sabtu dari pukul 8:30 pagi hingga 12:00 tengah hari, dan tarikh akhir mengembalikan borang adalah hari Sabtu, 21 Jamadilawal 1446H bersamaan 23 November 2024M.
Ibu bapa / penjaga pelajar dari Sekolah al-Falaah hendaklah mengambil BORANG PENDAFTARAN / KEMASUKAN KE SEKOLAH ARAB di Sekolah al-Falaah Sungai Akar bermula hari Khamis, 12 Jamadilawal 1446H bersamaan 14 November 2024M dan mengembalikan semula borang tersebut ke Sekolah al-Falaah Sungai Akar tidak lewat hari Khamis, 19 Jamadilawal 1446H bersamaan 21 November 2024M.
Bagi calon-calon peperiksaan, ibu bapa / penjaga yang ingin mendaftar untuk mendapatkan keputusan peperiksaan melalui perkhidmatan pesanan ringkas (SMS), bolehlah berbuat demikian melalui perkhidmatan SMS menggunakan telefon bimbit dengan menaip KHEU (jarak) REG (jarak) NOMBOR PUSAT PEPERIKSAAN (jarak) NOMBOR INDEKS CALON dan hantar ke 8885555 bagi pelanggan DST, 38666 bagi pelanggan Progresif Sdn Bhd atau 39966 bagi pelanggan Imagine Sdn Bhd. Keputusan peperiksaan SMS hanya akan dihantar kepada pelanggan yang berdaftar sahaja dengan dikenakan caj bayaran B$1.00 bagi setiap keputusan peperiksaan SMS yang diterima. Sehubungan dengan itu, dipohonkan kepada para pelanggan agar dapat memastikan telefon bimbit masing-masing mempunyai kredit yang mencukupi.