Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Jabatan Hal Ehwal Syariah ingin mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada terhadap sebarang ajaran atau kumpulan yang mungkin menyimpang daripada ajaran ugama Islam dan Hukum Syara'. Peringatan ini adalah berikutan dengan kes di negara jiran baru-baru ini, melibatkan sebuah entiti perniagaan yang dikaitkan dengan pertubuhan yang telah difatwakan sesat. Perkara tersebut mendapat perhatian serius daripada pihak berkuasa yang berautoriti di Negara ini.
Oleh itu, sebagai langkah berjaga-jaga, orang ramai diingatkan untuk berhati-hati dengan ajaran-ajaran yang mempunyai ciri-ciri antaranya:
- Fanatik dan taksub kepada individu tertentu termasuk amalan yang menunjukkan unsur-unsur penyimpangan, seperti menyimpan sisa tubuh sebagai azimat atau menggunakannya dalam urusan perniagaan.
- Kepercayaan dan fanatik yang melampau seperti mempercayai bahawa individu yang mereka sanjung sebagai ketua tidak mati tetapi dighaibkan dan dianggap sebagai Imam Al-Mahdi yang dinantikan.
- Pentafsiran dan pengambilan hukum secara salah termasuk pengenalan ritual yang tidak mempunyai asas dalam ajaran Islam, seperti pengamalan zikir yang menyanjung individu tertentu atau menjamak dan memendekkan (qasar) solat lima waktu dalam semua keadaan tanpa sebab yang dibenarkan oleh Hukum Syara',
- Mengasingkan diri daripada keluarga dan masyarakat serta mengabaikan tanggungjawab terhadap isteri dan anak-anak untuk menumpukan perhatian kepada sesuatu kumpulan tertentu, sedangkan Islam menganjurkan persaudaraan dan perpaduan.
- Permintaan sumbangan kewangan berulang kali tanpa tujuan yang jelas atau dengan unsur yang mencurigakan atau paksaan.
Perlu diperingatkan bahawa, di bawah Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah, adalah menjadi satu kesalahan bagi mana-mana individu yang mengajar atau menerangkan ajaran berkaitan ugama Islam dengan cara yang bertentangan dengan Hukum Syara', atau melaksanakan sesuatu upacara atau amalan yang bertentangan dengan Hukum Syara'. Jika sabit kesalahan, dikenakan hukuman denda hingga $20,000.00 (Dua Puluh Ribu Ringgit), penjara sehingga lima (5) tahun, atau kedua-duanya sekali.
Penguatkuasaan Ugama, Jabatan Hal Ehwal Syariah akan terus memantau sebarang aktiviti ajaran dan amalan yang menyeleweng di Negara ini. Pada masa yang sama, orang ramai disaran untuk melaporkan sebarang kegiatan mencurigakan serta merujuk mana-mana sebaran yang diragui kepada Unit Kawalan Akidah dan Penyelidikan, Jabatan Hal Ehwal Syariah di talian 8330080.