بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم
Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Bahagian Peperiksaan, Jabatan Pengajian Islam selaku Urus Setia Lembaga Peperiksaan Pelajaran Ugama Brunei (LPPUB) dengan kerjasama Datastream Digital Sdn. Bhd. (DST), Progresif Sdn. Bhd., Imagine Sdn. Bhd. dan Mach Telecommunications Systems Sdn. Bhd. (MachTel) ingin memaklumkan bahawa pendaftaran bagi mendapatkan keputusan peperiksaan-peperiksaan Pra-Sijil Tinggi Pelajaran Ugama Brunei (Pra-STPUB) dan Sijil Tinggi Pelajaran Ugama Brunei (STPUB) tahun 1445H / 2024M melalui Perkhidmatan Pesanan Ringkas (SMS) akan mula dibukakan.
Calon-calon peperiksaan, ibu bapa atau penjaga yang ingin melanggan perkhidmatan ini dikehendaki mendaftar terlebih dahulu melalui perkhidmatan SMS. Pendaftaran adalah percuma dan pelanggan boleh mula mendaftar pada hari Rabu, 22 Januari 2025, pukul 2:00 petang.
Pendaftaran melalui perkhidmatan SMS adalah dengan menaip KHEU (jarak) REG (jarak) NOMBOR PUSAT PEPERIKSAAN (jarak) NOMBOR INDEKS CALON (jarak) NOMBOR KAD PENGENALAN PINTAR dan hantar ke 8885555 bagi pelanggan DST, 38666 bagi pelanggan Progresif Sdn Bhd atau 39966 bagi pelanggan Imagine Sdn Bhd. Pendaftaran yang berjaya akan dimaklumkan kepada pelanggan melalui SMS tanpa sebarang kos kepada pelanggan.
Keputusan peperiksaan SMS hanya akan dihantar kepada pelanggan yang berdaftar setelah keputusan peperiksaan dikeluarkan dengan dikenakan caj bayaran B$1.00 bagi setiap keputusan peperiksaan SMS yang diterima. Sehubungan dengan itu, dipohonkan kepada para pelanggan agar dapat memastikan talian masing-masing mempunyai kredit yang mencukupi.
Melalui perkhidmatan ini nanti, diharapkan akan dapat memudahkan para calon, ibu bapa atau penjaga mengetahui keputusan peperiksaan-peperiksaan Pra-Sijil Tinggi Pelajaran Ugama Brunei (Pra-STPUB) dan Sijil Tinggi Pelajaran Ugama Brunei (STPUB) tahun 1445H / 2024M secara individu dengan lebih cepat dan tepat.
Bagi sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut mengenai kaedah pendaftaran serta terma dan syarat bagi perkhidmatan ini, bolehlah menghubungi Mach Telecommunications Systems Sdn. Bhd. melalui nombor talian: 8671355 atau e-mel: kheuresults@machbrunei.com.