بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم
Kementerian Hal Ehwal Ugama sukacita memaklumkan bahawa Kerajaan Arab Saudi melalui Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pelancongan telah mengeluarkan beberapa garis panduan dan makluman mengenai peraturan dan sekatan kemasukan ke Makkah bersempena dengan kedatangan Musim Haji 1446H /2025M bagi menjamin keselamatan, keselesaan dan kelancaran pergerakan para jemaah serta memastikan pengurusan operasi ibadah Haji dilaksanakan secara tersusun dan teratur sepertimana berikut:
1.1.Peraturan bagi Jemaah Umrah yang Menggunakan Visa Umrah.
•Tarikh akhir kemasukan ke Kerajaan Arab Saudi bagi tujuan ibadah Umrah adalah pada hari Ahad, 13 April 2025 bersamaan 15 Syawal 1446.
•Tarikh akhir keluar daripada Kerajaan Arab Saudi adalah pada hari Selasa, 29 April 2025 bersamaan 1 Zulkaedah 1446.
1.2.Penggantungan Pengeluaran Permit Umrah melalui Aplikasi "Nusuk".
•Bermula pada hari Selasa, 29hb April 2025 sehingga hari Selasa, 10hb Jun 2025 (1 Zulkaedah - 14 Zulhijjah 1446), pengeluaran permit Umrah melalui aplikasi rasmi Nusuk akan ditangguhkan buat sementara waktu seperti yang dimaklumkan oleh Kementerian Dalam Negeri, Kerajaan Arab Saudi.
1.3.Larangan Masuk dan Penginapan di Makkah bagi Pemegang Visa Bukan Haji.
•Kementerian Dalam Negeri, Kerajaan Arab Saudi seterusnya mengumumkan bahawa bermula pada hari Selasa, 29 April 2025 bersamaan dengan 1 Zulkaedah 1446, individu yang memasuki Arab Saudi menggunakan sebarang jenis visa selain visa Haji adalah dilarang sama sekali untuk memasuki atau menetap di Makkah. Ini termasuk visa pelancongan, visa lawatan keluarga, visa kerja, dan lain-lain visa bukan Haji.
1.4.Peraturan Kementerian Pelancongan Berkaitan Penginapan di Makkah.
•Kementerian Pelancongan, Kerajaan Arab Saudi mengumumkan bahawa bermula 29 April 2025 bersamaan dengan 1 Zulkaedah 1446, semua hotel dan premis penginapan di Makkah dilarang menerima tetamu yang tidak mempunyai permit Haji atau permit kemasukan ke Makkah yang sah.
•Mana-mana pengusaha hotel atau individu yang melanggar peraturan ini akan dikenakan tindakan undang-undang yang tegas di bawah Akta Pelancogan Arab Saudi.
1.5.Kesimpulan
•Pihak Kerajaan Arab Saudi menekankan bahawa semua peraturan ini perlu dipatuhi sepenuhnya oleh semua individu serta organisasi yang berhasrat untuk berada di Makkah sepanjang musim Haji. Semua agensi pelancongan, syarikat pengendali Umrah, dan pengusaha premis penginapan disarankan untuk mengambil langkah persediaan awal serta menyampaikan maklumat ini kepada pelanggan masing-masing.
•Sebarang kegagalan untuk mematuhi arahan ini boleh mengakibatkan tindakan penguatkuasaan yang ketat, termasuk penalti, pembatalan visa, dan larangan memasuki negara tersebut di masa hadapan.
•Sehubungan dengan itu, pihak Konsulat Agung Negara Brunei Darussalam di Jeddah menyarankan agar individu yang berhasrat untuk menunaikan ibadah Umrah menggunakan visa pelancong sebelum 29 April 2025M bersamaan 1 Zulkaedah 1446H, untuk membuat tempahan permit melalui aplikasi Nusuk seperti yang telah disyorkan oleh pihak 'Tourism Centre', Kerajaan Arab Saudi. Langkah ini bertujuan untuk mengelakkan sebarang kesulitan semasa ketibaan di Makkah, khususnya sebelum memasuki musim Haji.