Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman

BERWASPADA TERHADAP PENGAJIAN AGAMA TANPA KEBENARAN DAN FAHAMAN YANG MENYIMPANG

Hasil pemantauan dan penelitian yang dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasaan Ugama, Jabatan Hal Ehwal Syar'iah, Kementerian Hal Ehwal Ugama mendapati terdapat kecenderungan segelintir individu atau kumpulan menggunakan pendekatan pengisian kerohanian, pengajian agama, media sosial serta pelbagai platform dalam talian bagi membina jaringan dan mempengaruhi masyarakat. Pendekatan tersebut lazimnya dilaksanakan secara berperingkat melalui hubungan peribadi, pengajian tertutup, program keagamaan, pembangunan belia serta usaha mendapatkan penerimaan daripada individu atau institusi tertentu sebelum memperluaskan pengaruh kepada masyarakat umum.

Sehubungan itu, Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Jabatan Hal Ehwal Syari'ah ingin menasihatkan orang ramai terutama masyarakat Islam agar sentiasa berhati-hati sebelum menyertai atau mengikuti mana-mana program keagamaan atau kerohanian, lebih-lebih lagi dengan akses yang semakin meluas kepada pelbagai ceramah, kelas bimbingan dan program keagamaan sama ada secara bersemuka mahupun dalam talian (Online).

Orang ramai disarankan supaya meneliti terlebih dahulu latar belakang penceramah, kandungan ceramah, kelas bimbingan serta program keagamaan atau kerohanian yang ditawarkan. Di samping itu, orang ramai juga hendaklah memastikan bahawa program berkenaan telah mendapat kebenaran daripada Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Dalam pada itu, turut ditegaskan supaya berwaspada terhadap mana-mana program keugamaan atau kerohanian yang mempunyi ciri-ciri seperti berikut:

a)Dikendalikan tanpa kebenaran Majlis Ugama Islam Brunei;

b)Menggunakan nama, imej atau hubungan dengan tokoh agama atau institusi tertentu bagi memberikan gambaran seolah-olah telah mendapat pengiktirafan rasmi;

c)Menyampaikan fahaman, tafsiran atau amalan yang bercanggah dengan Hukum Syara' serta pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah;

d)Menyalahgunakan pendekatan kerohanian, tasawuf atau tazkiyatun nafs bagi membentuk kelompok eksklusif, membina pengaruh atau menyebarkan fahaman yang bercanggah dengan Hukum Syara' dan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah;

e)Menggalakkan ketaksuban yang melampau terhadap guru atau individu tertentu; atau 

f)Mengutip bayaran atau sumbangan bagi tujuan yang tidak jelas, tidak telus atau mecurigakan.

Orang ramai juga diingatkan bahawa mana-mana individu yang mengajar atau menyampaikan apa-apa perkara berkaitan Ugama Islam di Negara Brunei Darussalam hendaklah terlebih dahulu memperoleh kebenaran bertulis daripada Majlis Ugama Islam Brunei, kecuali sebagaimana yang diperuntukkan oleh undang-undang. Kegagalan mematuhi peruntukan tersebut merupakan suatu kesalahan di bawah Bab 229, Kanun Hukuman Jenayah Syariah, Penggal 275, dan boleh dikenakan denda tidak melebihi BND8,000.00, dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun, atau kedua-duanya sekali.

Selain itu, mana-mana individu yang mengajar, menyampaikan atau menyebarkan ajaran, atau melaksanakan upacara atau amalan yang bercanggah dengan Hukum Syara' juga boleh dikenakan tindakan di bawah bab 207, Kanun Hukuman Jenayah Syariah, Penggal 275.

Kementerian Hal Ehwal Ugama juga ingin menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpengaruh dengan program keagamaan atau kerohanian yang tidak diketahui latar belakang penganjurnya, mendapatkan ilmu agama daripada guru atau institusi yang tidak diiktiraf oleh pihak berkuasa yang berkenaan. 

Di kesempatan ini, Kementerian Hal Ehwal Ugama ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada orang ramai atas maklumat berhubung perkara tersebut. Bagi orang ramai yang ingin menyalurkan sebarang maklumat mengenai sebarang aktiviti keagaman atau kerohanian yang mencurigakan bolehlah menghubungi Unit Kawalan Akidah dan Penyelidikan, Bahagian Penguatkuasaan Ugama, Jabatan Hal Ehwal Syar'iah melalui talian hotline 8330080.​


Attachments