Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Titah

Titah KDYMM Sempena Majlis Sambutan Isra' dan Mi'raj Peringkat Negara Bagi Tahun 1436H / 2015M

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA

SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADDIN WADDAULAH
IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR 'ALI SAIFUDDIEN
SA'ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM


DI MAJLIS SAMBUTAN ISRA' DAN MI'RAJ
PERINGKAT NEGARA BAGI TAHUN 1436H / 2015M


Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahir Rahmanir Rahim

Alhamdulillahi Rabbil 'Aalameen, Wabihee Nasta'eenu 'Alaa Umuuridddunya Waddeen, Wassalatu Wassalamu 'Ala Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa'alaa Aalihiee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.

Beta bersyukur Kehadrat Allah Subahanahu Wata'ala, kerana dengan izinNya jua, dapatlah kita hadir di Majlis yang berkebajikan ini, sempena Sambutan Isra' dan Mi'raj yang tidak pernah pudar dalam ingatan dan hati kita umat Islam.

Peristiwa Isra' dan Mi'raj Nabi Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wasallam, adalah cukup untuk memberikan gambaran dan iktibar kepada kita.

Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam telah diundang secara langsung oleh Allah Subhanahu Wata'ala untuk menerima perintah melaksanakan sembahyang lima waktu sehari semalam. Ini adalah berbeza dengan ibadat-ibadat lain, yang disyari'atkan melalui khidmat Malaikat Jibril 'Alaihissalam.

"Sembahyang Adalah Penyelamat Kita". Demikian bunyi tema Sambutan Isra' dan Mi'raj pada tahun ini. Ia sangat berkaitan dengan usaha kita untuk membina atau membangun generasi yang berakhlak mulia dan beramal saleh. Ibadat sembahyang adalah jaminan ke arah itu, sebagaimana Allah telah menegaskan perkara ini dalam Surah Al-'Ankabut ayat 45, tafsirnya: "Sesungguhnya sembahyang itu mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar".

Firman Allah ini adalah isyarat, bahawa ibadat sembahyang itu adalah benar-benar berperanan sebagai penyelamat, bukan sahaja menyelamatkan diri kita daripada api neraka, malahan juga menyelamatkan umat daripada terjerumus kepada kemungkaran dan keruntuhan akhlak.

Selaras dengan hakikat, sembahyang itu sebagai penyelamat, maka kita adalah perlu untuk mempastikannya menjadi tonggak kepada sekolah-sekolah ugama.

Beta sangat gembira mengetahui, bahawa murid-murid di sekolah ugama adalah sedang diterapkan dengan pelbagai aktiviti keugamaan, termasuk membuat catitan atau rekod menunaikan sembahyang, dengan tujuan, supaya murid-murid itu benar-benar terdedah kepada ibadat ini dan konsisten melakukannya.

Perkara yang sama boleh saja dilaratkan kepada sekolah-sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi untuk memberikan ruang masa yang khas kepada para penuntut dan mahasiswa bagi menghayati kewajipan ini. Demikian juga bagi premis-premis kerajaan dan swasta adalah tidak ada masalahnya jika mereka itu juga berbuat perkara yang sama, seperti menyediakan kemudahan-kemudahan atau lain-lain yang bersesuaian.
Ilmu ugama dan Al-Qur'an adalah 'ilmu agung', perlu dicari dan dikarihi. Ia agak unik dan tersendiri, kerana itu memerlukan perhatian yang khusus lagi serius. Jika perhatian itu hanya ala kadar, maka hasilnya pun mungkin ala kadar juga.

Ilmu ugama dan Al-Qur'an yang dimiliki dengan ala kadar, tidak akan membantu melahirkan generasi yang hebat, kerana yang hebat itu ialah ugama dan Al-Qur'an jua. Sebab itu Beta sering menekankan supaya ugama dan Al-Qur'an dipelajari dengan bersungguh-sungguh. Tentukanlah dasar dan matlamat yang hendak dituju, bukan membuat dasar yang melemahkan ugama.

Kita tidak ada kebanggaan lain melainkan lebih berpusat kepada ugama dan Al-Qur'an jua. Kerana itu, sangat mustahak ia dijaga dan dipelajari dengan sempurna-sempurnanya.

Kita dan generasi masa kini adalah perlu melihat dengan kacamata kesedaran, bahawa ugama itu adalah tonggak segala kebaikan. Ia tidak boleh ditukar ganti dengan yang lain-lain.

Ugama tidak boleh lemah, atau kita letak ia dibawah. Jika ia lemah atau letaknya dibawah, itulah punca, umat atau bangsa akan menjadi lemah dan bahkan binasa.

Inilah yang berlaku dimana-mana dikalangan umat Islam. Sayugia ia menjadi iktibar atau pengajaran kepada kita.

Semoga dengan berkat Nabi kita, Sayyidina Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wasallam dan juga berkat peristiwa Isra' dan Mik'raj baginda, kita umat Islam akan sentiasa diberi petunjuk oleh Allah untuk lebih bersatu padu serta dilimpahi dengan rahmat berupa keselamatan, keamanan dan kemakmuran. Amin.

Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah, Wasalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Attachments