Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Titah

Titah KDYMM Sempena Majlis Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Dari Musim Pemesyuaratan Kesebelas Majlis Mesyuarat Negara 2015

TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADDIN WADDAULAH
IBNI AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR 'ALI SAIFUDDIEN
SA'ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM


SEMPENA

MAJLIS PEMBUKAAN RASMI MESYUARAT PERTAMA DARI
MUSIM PERMESYUARATAN KESEBELAS MAJLIS MESYUARAT NEGARA 2015

TAHUN 1436 HIJRAH / 2015 MASIHI


PADA HARI KHAMIS
14HB. JAMADILAWAL 1436
05HB. MAC 2015


Beta besyukur kehadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana dengan izinNya jua dapatlah kita berkumpul di Majlis Istiadat Pembukaan Rasmi Bagi Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Kesebelas Majlis Mesyuarat Negara pada hari ini.

Beta terlebih dahulu, ingin mengucapkan tahniah kepada Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib, di atas perlantikannya sebagai Yang Dipertua Majlis Mesyuarat Negara yang baru.

Beta berharap Yang Dipertua Majlis akan dapat menjalankan tugas dan tanggungjawabnya sebaik mungkin, demi mempertingkatkan lagi martabat Majlis Mesyuarat Negara dalam melaksanakan peranannya sebagai sebuah institusi penting dalam pembangunan Negara.

Di kesempatan ini juga, Beta juga ingin merakamkan penghargaan kepada Pehin Orang Kaya Laila Setia Bakti Diraja Dato Laila Utama Haji Awang Isa bin Pehin Datu Perdana Mantari Dato Laila Utama Haji Awang Ibrahim di atas khidmat bakti, tenaga dan buah fikiran yang telah disumbangkannya selama menjadi Yang Dipertua Majlis Mesyuarat Negara.

Majlis Mesyuarat Negara, tidak syak lagi, berperanan besar dalam memacu pembangunan Negara.

Menyebut Majlis Mesyuarat Negara, dengan sendirinya, kita juga akan mahu tahu siapakah ahli-ahlinya. Mereka ini tentu saja tokoh-tokoh yang berkaliber, yang mampu untuk mengetengahkan pendekatan-pendekatan terbaik untuk pembangunan.

Di antara pendekatan itu ialah penyerapan 'positive mindset' kepada rakyat, supaya mereka lebih matang bertindak, selaras dengan tuntutan zaman.

Ahli Majlis yang berpandangan jauh, kita yakin, akan dapat menghidangkan 'idea-idea besar' mereka untuk kemajuan Negara.

Penghijrahan mindset, daripada semata-mata suka bergantung kepada bantuan kepada lebih berdikari dan berusaha adalah suatu kelebihan yang perlu dihuraikan oleh Majlis ini.

Kita adalah dikehendaki peka degan situasi yang ada hari ini, khasnya dalam perkara ekonomi global yang sedang menunjukkan penurunan ketara, seperti harga minyak yang jauh merudum. Situasi ini sepatutnya akan menambahkan lagi keazaman kita untuk lebih memperkukuhkan asas-asas atau fundamental ekonomi Negara.

Di antara usaha pengukuhan itu, termasuklah memperkasa sektor awam, dengan menjadikannya lebih berkesan dan berkualiti di dalam perkhidmatan untuk orang ramai. Demikan juga, ia sangat diperlukan untuk merangsang iklim perniagaan dan perekonomian yang lebih kondusif.

Dari aspek kewangan, kita juga perlu mengekalkan dasar kestabilan fisikal atau 'fiscal stability', terutamanya dalam mempertimbangkan peruntukan kewangan dan perbelanjaan Negara yang menitikberatkan perbelanjaan berhemah dan 'value for money'. Dengan amalan seperti ini, insya Allah, akan membolehkan Negara menjimatkan perbelanjaan dan mampu untuk menabung lebihan pendapatan bagi menampung peruntukan-peruntukan di saat yang memerlukan.

Perkara ini juga perlu berlaku dalam pengurusan perbelanjaan diperingkat individu dan keluarga.

Di bidang perkerjaan pula, perhatian perlulah bulat untuk menggerakkan anak-anak tempatan bagi mengisi peluang-peluang yang ada. Kita mesti mengkaji dengan saksama, dimana dan berapa lama lagi anak-anak tempatan kita harus tercicir tidak diberi kesempatan untuk memenuhi peluang-peluang yang ada itu? Di sektor industri yang menjadi nada ekonomi Negara, berapa banyak peluang atau jawatan penting yang masih dimonopoli oleh pekerja-pekerja asing, sekalipun kita telah melalui masa yang begitu panjang. Ini semua, tidak patut dipandang dengan sebelah mata sahaja, tetapi perlu di pantau dan dimuhasabah.


Beta melihat, perkara ini juga, turut memerlukan perhatian Majlis.

Satu lagi bidang yang penting untuk diberikan perhatian ialah bidang keusahawanan. Ia mustahak seimbang, dalam makna, ia tidak boleh diceburi hanya oleh segelintir pihak tertentu sahaja, tetapi biarlah ramai, kerana ramai itu menterjemahkan adanya kemajuan.

Para usahawan mesti bergerak mengembangkan perniagaan dan industri masing-masing tanpa terhenti setakat tangga pertama sahaja, tetapi perlu mendakinya sehingga sampai kepuncak.


Semua ini Beta timbulkan ialah bagi menarik perhatian Majlis, supaya tetap fokus kepada perkara-perkara besar dan mencabar, bukannya yang membawa kita leka dan lemah.

Akhirnya, Beta menyeru kepada semua pihak yang berkenaan, supaya dalam memeduli semua permasalahan rakyat dan penduduk, kita hendaklah mengambil perspektif yang benar-benar diyakini dapat menolong memajukan mereka.

Apa jua isu atau permasalahan, kita tangani ia dengan baik, melalui perundingan.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah Wassalamu 'Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

 

Attachments