Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Titah

Titah KDYMM Sempena Keberangkatan Baginda Ke Ibu Pejabat Polis Diraja Brunei

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR 'ALI SAIFUDDIEN SA'ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM


SEMPENA
KEBERANGKATAN BAGINDA
KE IBU PEJABAT POLIS DIRAJA BRUNEI


PADA HARI SELASA
10HB. JAMADILAKHIR 1436
31HB. MAC 2015

Beta bersyukur ke hadrat Allah Subahanahu Wata'ala kerana dapat meluangkan masa untuk berkunjung ke Ibu Pejabat Polis Diraja Brunei dan seterusnya mengadakan perjumpaan dengan pegawai-pegawai polis pada hari ini.

Polis adalah satu jawatan yang mulia, jawatan yang dihormati oleh segenap lapisan masyarakat. Polis juga merujuk kepada pasukan yang menjaga keamanan Negara, penguatkuasa undang-undang dan dipanggil juga sebagai "mata-mata".

Polis itu terdiri dari beberapa bahagian yang dipadankan dengan tugas dan tanggungjawab masing-masing, seperti:

1.    Polis Hutan, iaitu pasukan polis yang ditugaskan untuk menjaga keamanan di bahagian sempadan.

2.   Polis Lalulintas atau Trafik iaitu pasukan polis yang ditugaskan untuk mengawal keselamatan lalulintas.

3.    Polis Pencegah Rusuhan, iaitu pasukan polis untuk mencegah keadaan huruhara yang berpunca daripada rusuhan atau tunjuk perasaan dan lain-lain.

4.    Polis Rahsia, iaitu pasukan polis untuk mencari atau mendapatkan rahsia.

Semua kategori ini adalah hebat-hebat belaka, dengan tugas dan tanggungjawab mereka pula sangatlah mulia. Kerana itulah kerjaya polis, sememangnya wajar untuk dihargai dan dihormati.

Bagaimana ia tidak patut dihargai, bukankah polis itu tunggak harapan bagi semua orang? Semua kita ini, tanpa ada kecualinya adalah bergantung harapan kepada polis. Polislah yang mengawal segalanya: mengawal Bandar, mengawal desa dan malah mengawal Negara beserta isi didalamnya.

Ini tidak diragukan lagi adalah, sebagai satu kelebihan atau keutamaan jawatan polis itu. Kelebihan atau keutamaan ini tidak dimiliki oleh lain-lain jawatan, melainkan hanya tertentu kepada jawatan polis sahaja.

Kerana itu, penyandang-penyandang jawatan ini mustahaklah mengekalkan prestasi mereka, dan dalam masa yang sama, mesti pula mengamalkan sikap tegas dan amanah.

Polis tidak boleh lemah. Sikap dan pendirian mereka mesti kuat, tidak boleh dirayu atau dipujuk-pujuk untuk mendapatkan simpati. Lebih-lebih lagi, penjawat polis, sama sekali tidak boleh curang terhadap tugasnya.

Bilakah seorang polis itu boleh dianggap curang?

Macam-macam sebab seorang polis boleh dianggap curang, seperti tidak bersungguh-sungguh menjalankan tugas, dalam makna mengabaikan tugas, atau apabila seorang polis melakukan perkara-perkara yang menyalahi undang-undang, padahal polis adalah penguatkuasa undang-undang itu.

Ini, sudah banyak berlaku, seperti polis menerima atau meminta suapan daripada pesalah-pesalah, padahal pada awalnya polis telah bertindak betul dengan menahan pesalah-pesalah itu, tetapi sayang, dengan tidak malu-malu, mengubah pula pendirian mereka untuk menerima atau meminta suapan, sebagai balasan bagi melepaskan pesalah daripada dibawa ke pengadilan, seperti pesalah-pesalah lalulintas umpamanya.

Ada juga yang lebih mengaibkan, seperti polis melindungi pesalah-pesalah khalwat, dengan menutupi kes tersebut dari dilaporkan, sebaik-baik sahaja bersetuju menerima suapan daripada pesalah.

Atau satu lagi kes yang paling memalukan ialah, apabila polis berpangkat tinggi telah terlibat secara tidak jujur untuk menerima suapan berupa sebuah kereta daripada seorang warga asing yang menjalankan aktiviti haram di Negara ini.

Memang amat dikesali apabila pegawai-pegawai polis itu menerima suapan daripada penjenayah atau kumpulan penjenayah sebagai 'protection money' bagi melindungi para penjenayah itu daripada diambil tindakan undang-undang.

Dan lebih malang lagi, jika polis sendiri turut terbabit secara langsung dengan jenayah atau aktiviti yang tidak bermoral. Perkara seumpama ini boleh saja berlaku atau memang sudah berlaku, seperti jenayah judi, jenayah minum minuman keras, jenayah menyeludup barang-barang terlarang dan lain-lain.

Elemen-elemen jenayah seumpama ini, jika turut dilakukan oleh polis, maka ia akan melemahkan pasukan polis sendiri. Kita khuatir sindrom lemah ini memang sudah berlaku menjangkiti pasukan polis kita, buktinya, dari statistik Keadaan Jenayah Tahun 2014, sebanyak 6,824 jenayah telah direkodkan, tetapi cuma 1,228 atau 21% kes sahaja yang berjaya diselesaikan. Mana lagi baki sebanyak 5,596 kes yang tidak didengar ceritanya?

Ini belum lagi mengenai kes-kes berat, yang pihak polis belum lagi berjaya memberkas pelaku-pelakunya, seperti kes-kes bunuh dan rompak.

Kegagalan menangani kes-kes jenayah ini, tidak syak lagi, adalah kerana kelemahan jua, dan kelemahan itu tentu saja berpunca dari pelbagai sebab, seperti anggota-anggota polis kurang cekap, tidak amanah, curang dan tidak ber-integriti. Misalnya kes-kes jenayah itu ada yang tidak dapat diselesaikan kerana barang-barang rampasan operasi sering kali dilaporkan hilang, sama ada disebabkan kecuaian atau mungkin juga kerana angkara tangan-tangan yang curang.

Demikian juga, banyak kes jenayah tidak dapat diangkat ke mahkamah, kerana fail-fail siasatan hilang. Mengapa hilang? Tidakkah mungkin ia sengaja dihilangkan untuk menghapuskan bahan-bahan bukti siasatan ataupun kerana kecuaian pegawai – pegawai penyiasat?

Semua perkara yang disebutkan di atas adalah bukti wujudnya ketidakcekapan, disamping kejadian membabitkan jenayah rasuah: rasuah dalam bentuk benda dan rasuah dalam bentuk penyalahgunaan kuasa untuk kepentingan peribadi.

Rasuah tidak syak lagi adalah merbahaya kepada Negara. Disebabkan rasuah, jentera kerajaan terganggu, maka khidmat kepada rakyat pun akan tergendala, dan apabila khidmat tergendala, maka kehidupan yang bahagia yang sekian lama kita nikmati, pastinya akan bertukar jadi malapetaka.

Kerana itulah, terhadap rasuah itu, ugama kita adalah sangat mengutuknya. Allah Subhanahu Wata'ala telah melaknat pemberi dan penerima rasuah serta menjanjikan kepada mereka itu neraka-Nya.

Oleh itu, janganlah latih diri mengamalkan rasuah, tetapi perangilah rasuah secara habis-habisan. Selamatkan bangsa dan Negara dari rasuah. Rasuah adalah penyakit. Rasuah adalah pemusnah kebahagiaan. Mereka yang melakukan rasuah adalah penjenayah. Hukumlah mereka seadilnya.

Menyebut tentang perasuah dihukum, Beta suka mengingatkan, supaya hukuman itu hendaklah adil. Rasuah biasanya dilakukan oleh dua pihak: penerima dan pemberi. Tetapi yang Beta sering dapati dalam siaran-siaran, cuma penerima sahaja yang diseret ke pengadilan dan dihukum, sementara pemberinya pula tidak kedengaran.

Adakah pemberi itu dilindungi, kerana mereka misalnya, bertindak memberikan maklumat bahawa mereka telah diminta atau dipaksa oleh si polan supaya memberi suapan, lalu dengan itu penerima pun diberkas, sementara si pemberi pula dilepaskan begitu saja kerana kita menganggap, tindakan mereka memberi maklumat itu adalah satu jasa dalam bentuk kerjasama, yang membolehkan mereka berhak untuk diberikan perlindungan?

Kalau ini betul berlaku, maka tindakan melepaskan pemberi rasuah dan hanya menghukum penerima rasuah adalah satu tindakan berat sebelah, yang tidak menepati prinsip keadilan, kerana apapun keadaan, penerima dan pemberi rasuah adalah sama-sama bersalah dan sama-sama dijanjikan dengan neraka Allah.

Jadi Beta berharap, perkara ini akan mendapat perhatian sewajarnya dari pihak – pihak berkenaan mengenainya.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu 'Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

 

Attachments