Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Titah

Titah KDYMM Sempena Majlis Musabaqah Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Bagi Tahun 1436 Hijrah / 2015 Masihi

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA

SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR 'ALI
SAIFUDDIEN SA'ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG
DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM


DI MAJLIS MUSABAQAH MEMBACA AL-QUR'AN
BAHAGIAN DEWASA PERINGKAT AKHIR KEBANGSAAN BAGI
TAHUN 1436 HIJRAH / 2015 MASIHI

(MALAM KETIGA)


Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahir Rahmanir Rahim

Alhamdulillahi Rabbil 'Aalameen, Wabihee Nasta'eenu 'Alaa Umuuridddunya Waddeen, Wassalatu Wassalamu 'Ala Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa'alaa Aalihiee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.

Alhamdulillah, Beta bersyukur kehadhrat Allah Subhanahu Wata'ala, kerana dapat pula hadhir di majlis yang berkebajikan ini, Majlis Musabaqah Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1436 Hijrah bersamaan 2015 Masihi bagi kali yang ke-55 tahun.

Al-Qur'an diturunkan oleh Allah kepada Nabi kita, Sayyidina Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wasallam, selaku kitab terakhir yang turun ke dunia ini.  Ia adalah sangat suci dan agung, sehingga dengan membacanya sahaja pun sudah dikira satu ibadat besar, pahalanya sangat lumayan disisi Allah.

Selain dari membaca, juga telah menjadi keutamaan ialah memahami isi kandungannya. Maka untuk itu Kerajaan Beta, melalui Kementerian Hal Ehwal Ugama telah mengungkayahkan Mushaf Brunei Darussalam Dan Terjemahannya (Edisi lengkap 30 Juzu') yang telah dilancarkan pada tahun 2014, bagi tujuan, supaya orang-orang Islam di negara ini dapat menggunakannya sebagai rujukan bagi memahami isi kandungan Al-Qur'an.

Tema musabaqah membaca Al-Qur'an pada tahun ini ialah "Membina Generasi Al-Qur'an".  Apakah yang dimaksudkan dengan Membina Generasi Al-Qur'an itu?  Maksudnya ialah melahirkan generasi celik Al-Qur'an yang serba serbi celik.  Celik dalam makna pandai membaca, dan selepas pandai membaca, dikehendaki juga jika boleh, untuk menjadi pakar dalam semua bidang ilmu yang berkaitan dengan Al-Qur'an. Inilah maksud Membina Generasi Al-Qur'an yang seideal-idealnya.

Semua ajaran Al-Qur'an adalah untuk mencetuskan amal saleh, sementara amal saleh pula menjadi punca kepada 'ganjaran baik' di akhirat.

Salah satu isyarat dari ajaran Al-Qur'an dan juga dari hadits Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam ialah membina masjid, iaitu tempat orang-orang Islam beribadat.  Amalan membina masjid ini adalah satu 'amal besar' yang mendatangkan ganjaran sangat lumayan.

Bersesuaian dengan ajaran ini dan juga mengambil sukut baik di saat yang penuh berkat, maka Beta dengan amat sukacita memaklumkan di sini, bahawa Beta telahpun memperkenankan Penubuhan Tabung Dana Bagi Pembinaan Masjid dengan mengikut kaedah dan peraturan yang diperuntukkan mengenainya.

Tabung Dana ini akan menjadi wadah kekal bagi orang-orang Islam untuk menabung pahala kerana membina masjid.  Ia akan berlaku secara konsisten sebagai satu peluang keemasan bagi orang-orang Islam untuk bertanam saham di akhirat.  Saham itu sifatnya unik sehingga tidak terjangkau oleh akal, manakala Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda, maksudnya:  "Barangsiapa membina masjid kerana Allah, sekalipun hanya seperti sarang burung, maka Allah akan membina untuknya rumah di dalam syurga."

Inilah janji Allah Subhanahu Wata'ala kepada orang-orang yang membina masjid, dan adapun Tabung Dana yang ada ini, insya Allah akan memungkinkan kita orang-orang Islam di negara ini untuk berkongsi harapan bagi memperolehi janji tersebut.

Adalah Beta difahamkan, semua kutipan yang terkumpul akan dimanfa'atkan sebaiknya untuk membina masjid baru, termasuk seperti memperbaiki masjid yang sedia ada dan sebagainya.  Namun dalam pada itu, tanggungjawab kerajaan dalam perkara membina dan mengurus masjid, adalah tetap berjalan sebagaimana biasa.

Akhirnya dalam kesempatan ini, Beta sukacita merakamkan tahniah kepada peserta-peserta disemua peringkat pertandingan, khasnya peserta yang sampai ke Peringkat Akhir Kebangsaan pada tahun ini.  Kepada peserta Qari dan Qariah yang akan mewakili negara ke Musabaqah Tilawah Al-Qur'an Peringkat Antarabangsa di Kuala Lumpur nanti, Beta berharap mereka itu akan dapat berusaha dengan lebih gigih lagi untuk mencapai mutu bacaan yang lebih baik.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wasalamu 'Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Attachments