Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Titah

Titah KDYMM Sempena Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran Bagi Tahun 1436 Hijrah / 2015 Masihi

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI
BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MAHRUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DIPERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
PADA MAJLIS SAMBUTAN NUZUL AL-QURAN BAGI TAHUN 1436 HIJRAH / 2015 MASIHI.


PADA JUMAAT, 17 RAMADHAN 1436H / 3 JULAI 2015M

DI PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA, BERAKAS.



Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahir Rahmanir Rahim
Alhamdulillahi Rabbil'alameen, Wabihee Nasta'eenu 'Alaa Umuriddunyaa Waddeen, Wassalaatu Wassalaamu 'Alaa Asyrafil Mursaleen,
Sayyidina Muhammadin, Wa'alaa Aalihee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.

ALHAMDULILLAH, beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana dengan limpah rahmat-Nya jua, dapatlah kita sama-sama hadir di majlis yang penuh berkat ini. Tambahan lagi ia berlaku dalam bulan Ramadan yang Mubarak.

Bulan Ramadan adalah bulan rahmat, bulan maghfirah (keampunan) dan bulan yang membawa pelbagai keberuntungan. Salah satu peristiwa besar yang berlaku di dalamnya, ialah turunnya Kitab Suci Al-Qur'an, yang dikenali sebagai 'Nuzul Al-Qur'an'. Peristiwa ini dirakamkan oleh Al-Qur'an sendiri, sebagaimana firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al-Baqarah ayat 185 tafsirnya : ''(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah pada) Bulan Ramadan yang diturunkan padanya Al-Qur'an sebagai petunjuk bagi manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk itu serta menjelaskan perbezaan antara yang benar dengan yang salah.''

Al-Qur'an adalah cahaya Allah Subhanahu Wata'ala. Turunnya ke alam ini, menjadikan kegelapan bertukar jadi cahaya. Dunia yang sebelumnya gelap-gelita, menjadi terang-benderang kerananya. Inilah keramah dan mukjizat Al-Qur'an itu.

Oleh itu, setiap kita, janganlah mengabaikan cahaya ini, tetapi mesti sama-sama merebut peluang memilikinya. Cara untuk dapat memiliki itu, tidak lain, dari pandai dan rajin membacanya. Tanpa pandai dan rajin membaca, cahaya itu tidak akan mungkin diperolehi.

Alhamdulillah, di Negara Brunei Darussalam, tempat untuk belajar membaca Al-Qur'an, tidaklah sukar untuk didapati, seperti di masjid, surau, balai ibadat, institusi pendidikan kerajaan mahupun swasta. Mata Pelajaran Tafsir Al-Qur'an juga turut diadakan di setiap peringkat persekolahan.

Ini adalah bertujuan, supaya generasi kita, bukan saja pandai membaca Al-Qur'an itu, tetapi juga mampu untuk memahami isi kandungannya.

Beta sangat gembira, bahawa usaha-usaha untuk memartabatkan Al-Qur'an di negara ini telah banyak diungkayahkan, seperti melalui penubuhan Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, menganjurkan musabaqah membaca dan menghafaz Al-Qur'an secara berterusan, dan malah kita juga telah melibatkan diri dalam musabaqah-musabaqah membaca dan menghafaz yang diadakan di luar negara, sama ada di peringkat serantau mahupun antarabangsa. Di dalam penyertaan-penyertaan itu kita juga turut meraih beberapa pencapaian yang baik yang mengharumkan nama negara.

Tema sambutan pada hari ini berbunyi : 'Al-Qur'an Penawar dan Rahmat'. Tema ini adalah merujuk kepada fungsi Kitab Suci Al-Qur'an sendiri, iaitu selain ianya petunjuk, ia juga adalah penawar dan rahmat, sebagaimana firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al-Isra' ayat 82 tafsirnya : ''Dan Kami turunkan daripada Al-Qur'an itu penawar (bagi penyakit-penyakit rohani dan jasmani) dan rahmat bagi orang-orang yang beriman.''

Dari mafhum ayat ini, perkara yang penting itu di sini ialah iman. Kita membaca, menghafaz dan mengambil pengajaran daripadanya hendaklah dengan iman. Imanlah syarat tunggal untuk kita dapat memperolehi penawar dan rahmat tersebut.

Iman itu ialah dalam makna, percaya dan mematuhi dengan sepenuh hati akan segala suruhan dan tegahan Allah tanpa sebarang keraguan atau bantahan.

Inilah ciri orang beriman itu. Jika ini ada, insyaaAllah, Al-Qur'an yang kita baca atau hafaz akan jadi penawar dan rahmat kepada kita.

Mengambil kesempatan di sini, beta sangat berbesar hati untuk mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada para peserta yang telah berjaya mendapat tempat di Musabaqah Menghafaz Al-Qur'an Berserta Pemahamannya Peringkat Negara dan juga Peringkat Negara Anggota MABIMS.

Terutama para peserta di bawah umur, beta adalah melihat, bahawa mereka ini mempunyai masa depan yang cerah dalam bidang Al-Qur'an. Semoga mereka akan terus berkembang untuk meraih kegemilangan lebih bermakna, selaku anak bangsa mewakili zamannya.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu 'Alaikum Warahamtullahi Wabarakatuh.

Attachments