Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Titah

Titah KDYMM Sempena Majlis Sambutan Hari Raya ‘Idil fitri Tahun 1436 Hijrah / 2015 Masehi Anjuran Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah

Titah
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda
Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin
Waddaulah Ibni
Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul
Khairi Waddien,
Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Sempena
Majlis Sambutan Hari Raya 'Idil fitri
Tahun 1436 Hijrah / 2015 Masehi
Anjuran Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah

Pada Hari Rabu
19hb. Syawal 1436 bersamaan 5hb. Ogos, 2015.

Bertempat
Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas,
Negara Brunei Darussalam


Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillahi  Rabbil 'Alameen, Wabihiee Nasta'eenu 'Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu' Wassalaamu 'Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa'alaa Aalihee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.

Kita bersyukur kehadrat Allah Subhanahu Wata'ala diatas limpah rahmat-Nya mengurniakan 'Idil Fitri untuk diraikan setelah umat islam berjaya menyempurnakan ibadat puasa pada bulan Ramadhan.

Beta difahamkan, Sambutan Hari Raya 'Idil fitri Anjuran Yayasan pada tahun ini, menampilkan golongan istimewa yang mempunyai kelainan upaya, berserta para pegawai dan kakitangan Jabatan Kerajaan dan ahli-ahli persatuan-persatuan NGO yang berkenaan dalam memberikan khidmat kepada mereka. Beta sangatlah mengalu-alukan penyertaan mereka ini.

Sudah sememangnya, turut menjadi tanggungjawab kita untuk memberikan perhatian khusus kepada golongan istimewa tersebut, khasnya dibidang pendidikan termasuk pendidikan rohani dan lain-lain yang diperlukan.


Ugama Islam sendiri menyuruh supaya memberikan perhatian kepada golongan ini, berdasarkan Surah 'Abasa ayat 1 hingga 11, melalui satu peristiwa, bahawa Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam pada suatu hari didatangi oleh Abdullah bin Ummu Maktum iaitu seorang yang cacat penglihatan untuk meminta bimbingan, sedang pada ketika itu juga Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam sibuk melayani pembesar-pembesar Quraisy, sambil bertujuan mendakwah mereka kepada ugama islam. Melihat kehadiran Abdullah bin Ummu Maktum ini, Baginda kelihatan memalingkan muka Baginda daripadanya kerana semata-mata ingin menumpukan perhatian kepada pembesar-pembesar Quraisy tersebut. Dalam Surah ini, Ayat 1 hingga 11, Allah Subhanahu Wata'ala telah menegur Nabi-Nya dengan berfirman, tafsirnya: "Dia (Nabi Muhammad) telah memasamkan muka sambil berpaling, kerana dia didatangi oleh orang buta (Abdullah bin Ummu Maktum). Dan tahukah engkau (wahai Muhammad bahawa tujuan orang ini) boleh jadi dia mahu membersihkan hatinya (dengan pelajaran ugama yang diambil daripadamu), supaya pengajaran itu memberikan manfa'at kepadanya. Adapun orang yang merasa dirinya sudah cukup (tidak berhajat lagi kepada petunjuk), lalu engkau melayaninya, padahal, tidaklah menjadi kesalahan keatasmu jika dia (ketua kaum Quraisy) itu tidak mahu membersihkan dirinya (daripada keingkarannya). Dan adapun orang yang bersegera datang kepadamu (untuk mendapatkan pengajaran), sedang dia itu takut (kepada Allah), tetapi (sayang) engkau telah mengabaikannya. Janganlah sekali-kali (engkau melakukan perkara yang sedemikian itu), sesungguhnya ayat-ayat Al-Qur'an adalah peringatan".


Demikian isyarat Al-Qur'an bagaimana perlunya melayani orang yang berlainan upaya.

Alhamdulillah, untuk kebajikan mereka ini, pihak Kerajaan telah pun menyediakan peruntukan dan beberapa skim, serta program bantuan, bimbingan dan latihan bagi meningkatkan lagi keupayaan golongan ini. Selain bantuan sara hidup, Kerajaan juga turut menitikberatkan hal ehwal pendidikan mereka. Misalnya, Kerajaan telah menubuhkan Unit Pendidikan Khas di bawah Kementerian Pendidikan pada tahun 1994, bagi tujuan untuk memberikan peluang kepada kanak-kanak golongan berkenaan untuk mengikuti program pendidikan formal yang bersesuaian.

Beta juga menyambut baik inisiatif Yayasan Beta dalam memberikan sumbangan, bantuan dan sokongan kepada golongan orang-orang yang berlainan upaya melalui persatuan-persatuan NGO dan pihak-pihak yang berkenaan yang mengendalikan program pembangunan dan pemulihan untuk mereka.

Bantulah mereka untuk meneruskan kehidupan yang sama atau seimbang dengan anggota masyarakat yang lain. Do'akan juga mereka untuk sama-sama mengecapi kemakmuran dan kebahagiaan yang dirasai oleh seluruh rakyat dan penduduk negara ini. Demikian harapan tinggi kita bagi mereka.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu 'Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Attachments