TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR 'ALI SAIFUDDIEN SA'ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM.
SEMPENA
MAJLIS SAMBUTAN HARI GURU KE-25
BAGI TAHUN 1436 HIJRAH / 2015 MASIHI
PADA HARI RABU
23 SEPTEMBER 2015 / 9 ZULHIJJAH 1436
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa
Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina
Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Beta bersyukur kehadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dapat hadir di
Majlis Sambutan Hari Guru Ke-25 Tahun 2015 pada pagi ini.
Di kesempatan ini, Beta sukacita mengucapkan Selamat Hari Guru kepada
semua warga guru, sama ada yang bertugas di sektor kerajaan mahu pun
swasta.
Beta turut mengambil maklum bahawa Sambutan Hari Guru pada tahun ini
membawa tema : “Guru Pemangkin Insan Berwawasan”.
Ini selaras dengan wawasan Paduka Ayahnda Beta, Almarhum Sultan Haji
Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien yang telah mentransformasi
pendidikan itu sebagai peluang untuk semua lapisan masyarakat dapat merebutnya.
Baginda menitikberatkan pendidikan secara holistik, di mana pembelajaran ugama
Islam diberikan keutamaan.
Pandangan jauh Baginda ini membawa cemerlang syiar Islam dan memberi
impak kepada kemakmuran.
Pendekatan pendidikan holistik ini, kita perkukuhkan lagi dengan
menjadikan mata pelajaran Pengetahuan Ugama Islam sebagai salah satu mata
pelajaran teras dalam sistem pendidikan negara dan pelaksanaan Perintah
Pendidikan Ugama Wajib 2013. Oleh yang demikian Beta mengingatkan, supaya
dasar-dasar ini jangan saja ia berdaulat di atas kertas, tetapi hendaklah
benar-benar dilaksanakan.
Matlamat kita ialah melahirkan generasi berugama dan progresif. Maka
untuk tujuan ini, tidak diragukan lagi, turut di perlukan ialah guru-guru
berwawasan, yang memiliki ciri-ciri kepimpinan berkesan.
Sehubungan ini, Beta menyambut baik inisiatif berterusan Kementerian
Pendidikan untuk memantapkan kualiti kepimpinan di peringkat sekolah.
Bagi kepentingan ini, pembangunan melalui latihan guru juga adalah
perlu, kerana kualiti seorang guru bukan saja diukur dari kebolehannya mengajar
dengan pedagogi, malahan turut menyangkut juga ialah faktor kerohanian, selaku
sifatnya role model kepada pelajar. Oleh itu, keberkesanan pendidikan atau
latihan perguruan itu perlulah diteliti dan dinilai selalu.
Atas asas ini, Beta turut mengalu-alukan langkah Kementerian Pendidikan
untuk menilai kompetensi guru-gurunya melalui Teacher Performance Appraisal
atau TPA yang dibentuk dengan merujuk kepada Brunei Teacher Standard yang
dilancarkan pada tahun 2014. Dengan inisiatif ini, para guru akan lebih
mengetahui sejauh mana tahap kebolehan mereka dalam menghasilkan pengajaran dan
pembelajaran yang berkesan.
Dalam hubungan ini, Beta ingin menyarankan supaya pembangunan guru dapat
dilakukan dari awal pengambilan guru lagi. Dengan ini, Institute Pendidikan
Sultan Hassanal Bolkiah di Universiti Brunei Darussalam dan Kolej Universiti
Perguruan Ugama Seri Begawan, perlulah senantiasa memastikan program-program
mereka adalah berkualiti tinggi.
Akhirnya, Beta sekali lagi mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua
warga guru di negara ini dan berdo’a semoga segala penat lelah, pengorbanan dan
sumbangan para guru sekalian akan mendapat ganjaran setimpal daripada Allah
Subhanahu Wata’ala jua.
Kepada para penerima Anugerah Hari Guru pada tahun ini, Beta mengucapkan
setinggi-tinggi tahniah dan berharap, anugerah seumpama ini akan turut menjadi
inspirasi dan motivasi bagi guru-guru yang masih berkhidmat pada masa
ini.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi
Wabarakatuh.