TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR 'ALI SAIFUDDIEN SA'ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN
DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM.
SEMPENA
MENYAMBUT AWAL TAHUN BARU HIJRAH 1437
TAHUN 1437 HIJRAH / 2015 MASIHI
PADA HARI SELASA
13 OKTOBER 2015 / 29 ZULHIJJAH 1436
Assalamu’alaikum Warahmatullahi
Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil
‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu
‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee
Ajma’een, Waba’du.
Marilah kita banyak-banyak
bersyukur kerana dapat pula menyambut dan memasuki tahun baru hijrah dengan
segala keselesaan.
Acara utama kita pada setiap
menjelangnya awal hijrah ialah membaca do’a akhir dan awal tahun di
masjid-masjid, surau-surau dan balai-balai ibadat.
Acara ini sangat unik dan
penting, kerana tidak ada yang lebih penting dari marafa’kan do’a ke hadhrat
Allah Subhanahu Wata’ala. Do’a itu adalah perkara agong, kerana apabila
berdo’a, bererti kita adalah sedang berurusan dengan Allah Ta’ala, siapa yang
Maha Agong.
Kita memohon di dalam tahun baru
ini supaya Allah memeliharakan kita daripada syaitan.
Do’a ini adalah “do’a besar”.
Jika Allah menerimanya, bermakna kita dan negara Insya Allah, akan bebas
daripada segala macam pesona syaitan, pembantu-pembantu dan askar-askarnya
serta bebas daripada asakan-asakan nafsu ammarah (nafsu yang jahat), yang
menjerumuskan manusia kepada pelbagai kejahatan dan dosa.
Oleh itu, marilah kita
bersungguh-sungguh menghayati do’a awal tahun, dengan niat semata-mata untuk
mengharapkan kurnia Allah jua, siapa yang ditangan-Nya terkumpul segala kuasa
dan kemurahan. Semoga kita sekalian tidak dihampakan.
Sementara do’a akhir tahun pula,
kita ada menyebut perkara-perkara yang telah lalu. Kita munajat kepada Allah,
sekiranya terdapat sebarang perbuatan yang menyalahi tegahan-Nya, yang
dilakukan di sepanjang tahun dan kita pula belum lagi bertaubat, maka dengan
segala reda diri kitapun memohonkan belas kasihan-Nya supaya menerima taubat
dan mengampunkan dosa-dosa kita.
Pada hemat Beta, do’a kita pada
setiap tahun itu adalah benar-benar menjadi punca kepada kebajikan bersama.
Dengan rahmat-Nya jua, negara ini benar-benar bebas daripada sebarang kemelut.
Rakyat hidup bersatu hati, tiada pergaduhan atau pertelingkahan yang
membebankan, bahkan semuanya adalah berjalan dengan baik.
Yang kita tahupun, do’a akhir dan
awal tahun itu hanyalah rutin biasa saja. Tetapi Beta penuh yakin, bahawa rutin
inilah satu kelebihan untuk kita, di mana impaknya adalah sangat hebat, mampu
untuk menjadikan negara dan kehidupan sejahtera.
Betapa tidak, isi kedua-dua do’a
tersebut, jika Allah memperkenankan-Nya, tidak diragukan lagi, semua kebaikan
adalah milik kita. Di dalam do’a akhir tahun kita meminta supaya Allah
mengampunkan segala dosa dan menerima taubat kita, sementara dalam do’a awal tahun
pula kita memohon agar Allah melindungi kita daripada kejahatan syaitan,
pembantu-pembantu dan askar-askarnya serta meminta supaya jangan dipesongkan
oleh nafsu yang jahat. Andainya do’a-do’a ini diterima oleh Allah, maka
tidakkah ini satu jaminan untuk kita meraih segala kebaikan berupa keselamatan,
kebahagiaan, kemakmuran dan lain-lain?
Beta penuh percaya, do’a kita ini
telah dimakbulkan oleh Allah. Lalu kerana itu, berlakulah apa yang patut
berlaku: Negara jadi aman, rakyat dan penduduk hidup bahagia dibawah pengurusan
dan pemerintahan yang adil saksama, kerana, syaitan
dan konco-konconya telah tewas, tidak dapat mencampuri segala urustadbir
kehidupan di negara ini. Allahu akbar, Maha Besar Allah yang mengurniakan semua
ini.
Tidak syak lagi, do’a adalah
survival kita, survival negara. Makanya tradisi mengisi tahun baru hijrah
dengan do’a ini adalah wajar diteruskan dan malah dikekalkan.
Akhirnya, mengambil kesempatan di
sini, Beta dan keluarga Beta sukacita mengucapkan Selamat Tahun Baru Hijrah
1437 kepada semua lapisan rakyat dan penduduk di mana saja mereka berada,
dengan harapan semoga kita semua dapat berjumpa lagi di tahun hadapan. Amin.
Sekian,
Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.