TITAH KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADDIN WADDAULAH IBNI AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR 'ALI SAIFUDDIEN SA'ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM.
BERSEMPENA
HARI PERKHIDMATAN AWAM BAGI KALI KE-22,
TAHUN 1437 HIJRAH / 2015 MASIHI
PADA HARI SELASA
12HB SAFAR 1437
24HB NOVEMBER 2015
BERTEMPAT
DI DEWAN PLENARY, PUSAT PERSIDANGAN
ANTARABANGSA, BERAKAS,
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah
Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden,
Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin,
Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Beta
bersyukur kehadrat Allah Subhanahu Wata’ala, kerana dapat pula
berkumpul dalam Majlis Hari Perkhidmatan Awam Kali Ke-22 pada pagi ini.
Selaku tulang belakang kerajaan, warga perkhidmatan awam berperanan besar untuk memperkemas dan memperlicin urustadbir negara.
Salah
satu faktor kearah itu, ialah dengan mengukuhkan kepimpinan. Dalam
konteks perkhidmatan awam, kepimpinan adalah sangat penting disamping
kemahiran.
Pemimpin
yang berkualiti bukan saja mempunyai wawasan dan hala tuju yang jelas,
tetapi juga mempunyai kerajinan dan kesungguhan untuk melakukan apa saja
pembaikan atau pembaharuan yang perlu. Mereka sanggup turun padang
untuk melihat apa-apa yang perlu ditangani dan diperbaiki.
Inilah sifat pemimpin atau pegawai yang bagus.
Kejayaan
pemimpin atau pegawai dapat diukur dari cara mereka menangani tugas dan
membimbing orang-orang dibawah mereka. Ini sangat penting, bagi
memastikan segala rancangan dan matlamat dapat dicapai dengan
sempurna.
Dalam
aktiviti perekonomian umpamanya, warga perkhidmatan awam sangat perlu
memahami keperluan orang ramai, terutama para usahawan dan pelabur.
Mereka ini sentiasa berhajatkan layanan dan pimpinan terbaik, sempurna
dan cepat. Jika kita gagal, bererti ini adalah kegagalan kerajaan.
Dalam
kesempatan ini Beta ingin menyebut tentang Lapuran Bank Dunia keatas
peningkatan kedudukan terkini negara dalam Index Ease of Doing Business.
Kedudukan negara kita dikatakan meningkat daripada 105 anak tangga
kepada 84 anak tangga. Ini tidak syak lagi adalah satu pencapaian yang
menggalakkan.
Beta
mengucapkan tahniah kepada pihak-pihak yang bekerja keras dalam
memperbaiki kedudukan tersebut, khususnya peneraju-peneraju dan Unit
PENGGERAK Jabatan Perdana Menteri. Kita memang berhajat untuk
benar-benar pro-business dan dikenali sebagai negara terbaik bagi
perniagaan.
Kunci
utama untuk itu ialah ‘budaya suka berubah’. Ia perlu
untuk penjawat-penjawat awam. Jika budaya ini gagal diterapkan, maka
agensi-agensi kerajaan tidak akan dapat memperkemas kerja masing-masing
kearah yang lebih baik dan cemerlang.
Dunia
kita sekarang sedang berada dalam kemelut ekonomi. Inilah masanya warga
perkhidmatan awam mempelopori langkah berjimat cermat, disamping
meningkatkan komitmen dan usaha memajukan negara untuk hari ini dan juga
untuk masa depan anak cucu kita.
Dari
aspek pelaksanaan dasar-dasar negara pula, Beta mengulangi lagi supaya
kementerian-kementerian bersikap lebih pro-aktif dengan meningkatkan
penyelarasan melalui pendekatan ‘whole-of-nation’ di semua peringkat.
Namun
semua ini memerlukan pemantauan yang rapi, untuk mengetahui maklumat,
data dan perangkaan yang lengkap dan tepat. Oleh itu, semua agensi perlu
meningkatkan kapasiti masing-masing dalam pengumpulan dan penganalisaan
maklumat itu.
Dalam
menjalani budaya kerja, turut dipentingkan ialah prestasi dan
produktiviti. Sistem penilaian prestasi adalah bertitik tolak pada
pencapaian hasil kerja. Jika ia baik dan memuaskan, maka itulah prestasi
yang cemerlang.
Beta
berasa gembira dan mengalu-alukan usaha Jabatan Perdana Menteri dan
Jabatan Perkhidmatan Awam, meneliti sistem penilaian prestasi yang baru,
termasuk menyesuaikannya dengan amalan-amalan terbaik atau
best-practices. Sistem penilaian ini diharapkan akan dapat membantu
perubahan minda perkhidmatan awam yang lebih kompetitif dan seterusnya
meningkatkan lagi produktiviti kerajaan. Beta berharap sistem baru ini
akan digunapakai secepat mungkin.
Dalam
hubungan ini, para penyandang Anugerah Pekerja Cemerlang Perkhidmatan
Awam dan Anugerah Kumpulan Kerja Cemerlang yang kita raikan hari ini,
adalah merupakan contoh terbaik untuk jadi ikutan bagi setiap penjawat
awam. Beta tidak lupa merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada
mereka.
Tidak lupa
juga sekalung penghargaan kepada warga perkhidmatan awam yang telah
bersara diatas segala khidmat bakti mereka kepada kerajaan dan negara.
Semoga Allah Subhanahu Wata’ala jua yang akan membalas mereka dengan
ganjaran yang sebaik-baiknya.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.