Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Titah

Titah KDYMM Sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam Tahun 1437 Hijrah / 2015 Masihi

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA

SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR 'ALI SAIFUDDIEN SA'ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM.


SEMPENA
SAMBUTAN MAULUD NABI MUHAMMAD
SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASALLAM
TAHUN 1437 HIJRAH / 2015 MASIHI


Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah  Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Sebagai hamba Allah yang tahu menghargai nikmat Allah terhadapnya, maka kita sangatlah wajar bersyukur diatas limpah kurnia Allah mengutus Nabi-Nya Yang Mulia, Sayyidina Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam ke alam maya ini. 

Dengan kelahiran Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam, dunia ini telah bertukar rupa, dari gelap gelita kepada terang benderang. Jiwa buas manusia dapat dijinakkan menjadi lebih tenang dan bertimbang rasa. 

Inilah berkat kerasulan Nabi Muhammad selaku pelita dan rahmat. Baginda     benar-benar menjadi rahmat kepada seluruh alam [Rahmatan Lil’aalamin]. Inilah rahsia Allah mengutus Baginda.
 
Kita yang menerima rahmat dan nikmat ini, tidak ada sebab untuk tidak memperingati hari keputeraan Baginda, selaku pembawa rahmat tersebut. Inilah namanya kita bersyukur sambil mengenang jasa. 

Orang yang bersyukur dan pandai mengenang jasa adalah orang baik, dan malah Allah sangat menyukai mereka. Lagipun apabila kita memperingati detik bersejarah ini, kita bukan mengisinya dengan perkara sia-sia, tetapi dengan perkara-perkara yang disuruh oleh ugama sendiri, seperti berselawat dan berzikir atau mengadakan majlis-majlis ceramah dan kuliah. 

Jadi kalau ada pendapat yang tidak bersetuju kita memperingati hari keputeraan Nabi dan lain-lain hari kebesaran Islam, seperti menyambut Awal Tahun Hijrah, adalah itu pendapat yang ‘lemah’. 

Beta terus mengingatkan, supaya jangan berhenti dari melakukan amalan tradisi memperingati hari-hari kebesaran Islam, biarpun orang lain tidak melakukannya. Kita melakukan ini adalah sebagai usaha untuk memperkaya semangat kita sendiri dalam menjulang Islam dimata dunia, disamping mengambil munafa’at daripadanya. 

Islam adalah ugama tertinggi yang menghulurkan kebajikan kepada siapa saja. Ia perlu terus dilihat dan dikenali sebagai ugama terbaik. Kerana itu jangan takut mempromosikan Islam, sebagaimana Allah sendiri mempromosinya didalam Surah Aali ‘Emran ayat 19 tafsirnya : “Sesungguhnya ugama (yang benar dan diredhai) di sisi Allah ialah Islam”. 

Ini adalah promosi mutlak daripada Allah mengenai Islam. Ia sudah tidak boleh dipertikaikan lagi, kerana pengakuan ini bukannya dari siapa-siapa melainkan daripada Allah sendiri. Jika ada orang yang mahu menyangkalnya, maka itu adalah satu ‘keceluparan’ disisi Maha Pencipta. 

Islam selama-lamanya adalah benar, dan Islam selama-lamanya tidak pernah membuat sebarang kesalahan. Adapun yang bersalah itu ialah orang. Jadi yang dicela bukanlah Islam, tetapi patut dicela ialah siapa yang mencela Islam. 

Ini mustahak difahami oleh setiap individu, khasnya orang-orang Islam sendiri, supaya tidak berbangkit, akan ada pihak-pihak yang keliru yang memandang serong kepada Islam. 

Islam tidak terlibat, atau sama sekali tidak boleh dilibat-libat dengan keburukan. Ia tetap ugama samawi, yang semata-mata hanya menjana kebaikan. Jika terjadi sebarang keburukan, seperti jenayah dan lain-lain, maka itu bukanlah dari ajaran Islam. Ajaran Islam adalah sebaliknya, sangat kuat memelihara darah, nyawa, keturunan, harta benda dan maruah. 

Siapa yang mengenalkan semua ini kepada kita? Jawabnya tidak lain ialah Nabi Pesuruh Allah, Sayyidina Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam. 

Oleh itu, sangatlah perlu Baginda itu dikenang selalu, untuk mengilhami kita meneruskan usaha-usaha suci memelihara Islam dan kesejahteraan sejagat. 

Semoga dengan berkat niat baik kita ini, Brunei Darussalam akan terus dilimpahi dengan rahmat, berupa keamanan, kesejahteraan dan kemakmuran. 

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. 

Attachments