Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Titah

TITAH KDYMM Sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Angkatan Bersenjata Diraja Brunei Kali-54

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA 
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR 'ALI SAIFUDDIEN SA'ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

 SEMPENA
SAMBUTAN  HARI ULANG TAHUN ANGKATAN BERSENJATA DIRAJA BRUNEI

 PADA:
HARI AHAD
31HB MEI 2015

 Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala, kerana dengan limpah rahmat-Nya jua, dapatlah kita berhimpun lagi pada pagi ini, bagi memperingati Hari Ulang Tahun Angkatan Bersenjata Diraja Brunei Ke-54 Tahun.

Berkat kesepaduan dan komitmen seluruh rakyat dan agensi-agensi kerajaan, serta peranan angkatan tentera yang berkesan, maka negara kita alhamdulillah sentiasa berada dalam suasana aman dan sejahtera.

Tetapi walaupun begitu, kesiap-siagaan untuk menghadapi sebarang ancaman adalah memerlukan angkatan tentera yang cekap lagi berkeupayaan. Ini termasuk bagi menghadapi dan menangani kejadian-kejadian di luar dugaan yang berlaku di dalam mahupun di luar negara.

Kita masa ini tidak ketinggalan turut menjalin kerjasama pertahanan dan juga telah terpanggil untuk menghulurkan bantuan-bantuan kemanusiaan serta operasi keamanan di luar negara.

Ini semua, tentu saja memerlukan peningkatan 'Pengurusan Pertahanan' dan 'Pembangunan Keupayaan Tentera' Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.

Keperluan ini lebih dirasakan lagi, apabila sering terjadi pergolakan-pergolakan luar yang sering menggegarkan keselamatan. Semua itu tidak dapat dinafikan sebagai boleh mendedahkan kita kepada ancaman-ancaman yang bersifat conventional dan non-conventional.

Berlandaskan senario ini, Beta berharap Angkatan Bersenjata Diraja Brunei akan sentiasa waspada dan berpandangan jauh terhadap masa depan pertahanan dan keselamatan negara.

Kita perlu bijak membuat perancangan berupa penyediaan force structure yang robust dan berkesan.

Ke arah ini, Beta percaya inisiatif yang diambil oleh Kementerian Pertahanan dalam mengendalikan 'Defence Review' adalah bertepatan dan mampu untuk menghasilkan kesan yang positif.

Tidak dapat dinafikan, kemantapan dan kesinambungan angkatan tentera adalah didukung oleh anggota-anggotanya yang mencukupi dan berkualiti.

Angkatan Bersenjata Diraja Brunei perlu mempunyai strategi pengambilan sumber manusia yang proaktif, yang boleh menarik minat para belia yang berkelayakan dan celik teknologi.

Aspek-aspek disiplin dan integriti juga perlu ditekankan sebagai elemen penting dalam pengurusan sumber manusia.

Seluruh warga tentera hendaklah memperkukuhkan semangat cintakan institusi, sambil menjaga imej dan nama baik Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.

Tindakan terhadap anggota yang melanggar undang-undang dan disiplin, walau sekecil manapun, hendaklah dilaksanakan, kerana jika tidak, ia akan menjadi 'duri dalam daging' kepada institusi ketenteraan.

Dalam pada itu, semua peringkat kepimpinan adalah bertanggungjawab untuk memperkasa jiwa dan kerohanian setiap anggota, yang berlandaskan nilai-nilai teras Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, iaitu Taqwa, Setia, Berani dan Professional.

Akhir kata, beta mengucapkan selamat menyambut Hari Ulang Tahun Angkatan Bersenjata Diraja Brunei Ke-54 dan semoga seluruh warga Angkatan Bersenjata Diraja Brunei akan sentiasa berada di bawah perlindungan dan pertunjuk Allah Subhanahu Wata'ala jua.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.



Attachments