Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Titah

Titah Perutusan KDYMM Sempena Hari Raya 'Idil Fitri

​ Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah  Rabbil 'Alameen, Wabihiee Nasta'eenu 'Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu' Wassalaamu 'Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa'alaa Aalihee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.

Marilah kita sama-sama merafa'kan syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala, kerana dikurniakan nikmat menyambut Hari Raya.

Sesungguhnya Hari Raya adalah detik yang ditunggu-tunggu setelah kita berjaya melaksanakan kewajipan berpuasa.

Inilah kejayaan paling agung, yang namanya kejayaan melawan hawa nafsu. Perjuangan ini tidak boleh putus atau terhenti setakat cuma sebulan Ramadhan sahaja, tetapi perjuangan melawan hawa nafsu dikehendaki mesti berterusan untuk selama-lama.

Disinilah 'ujian' sebenar bagi kita umat Islam.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.

Demikian juga ketika kita merayakan Hari Raya, perjuangan melawan hawa nafsu mesti diteruskan, seperti melawan hawa nafsu yang menyuruh kita membazir dan melawan hawa nafsu yang menyuruh kita lari daripada ugama ketika merayakan Hari Raya.

Kita merayakan Hari Raya tidak sama dengan orang lain merayakan Hari Raya. Kita merayakan Hari Raya tetap terikat kepada ugama. Ketika berhari raya, kita tidak boleh meninggalkan atau terlepas dari kewajipan sembahyang, ketika berhari raya kita juga tidak boleh terlalu lalai atau asyik sehingga terjebak kepada dosa.

Inilah unik dan sucinya Hari Raya kita. Mula-mula perayaan dibuka ialah dengan takbir, dengan kalimat suci “ALLAHU AKBAR", dan kemudian dengan tahlil “LAILAHA ILLALLAH", dan ditutup pula sekali lagi dengan “ALLAHU AKBAR" dan “WALILLAHIL HAMD".

Kemudian kita bergerak ke masjid untuk terus melakukan takbir dan seterusnya sembahyang sunat Hari Raya.

Lihatlah, betapa suci dan indahnya Hari Raya kita.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.

Selepas itu kita akan bergerak menemui ibu bapa untuk memohonkan kema'afan mereka, menemui sanak saudara, sahabat handai dan kawan-kawan. Semua pertemuan ini berkonsepkan ziarah menziarahi yang sangat-sangat digalakkan oleh Islam, dan juga satu cara untuk menjalinkan silaturahim.

Beta gembira dengan keadaan dan suasana dalam negara kita yang cukup mengizinkan untuk rakyat dan penduduk dapat menikmati Hari raya dengan penuh keriangan dan kebahagiaan. Mudah-mudahan keadaan seperti ini akan terus berkekalan hendaknya.

Untuk akhirnya, Beta dan keluarga Beta dengan hati yang jernih putih serta sukacita mengucapkan selamat Hari Raya 'Idil Fitri  kepada semua lapisan rakyat dan penduduk dimana sahaja mereka berada, semoga kita sama-sama didalam aman sejahtera, Amin ya rabbal 'alamin.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah,  Wassalamu 'Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
 ​

Attachments